SPURS benam Real 3-1 dalam aksi kumpulan. -Foto AFP
SPURS benam Real 3-1 dalam aksi kumpulan. -Foto AFP
AFP

LONDON: Tottenham Hotspur membuktikan betapa mereka kini adalah calon utama menjuarai Liga Juara-Juara susulan kejayaan menumbangkan Real Madrid 3-1 dalam aksi peringkat kumpulan, awal pagi tadi.

Muncul sebagai pasukan paling konsisten di England sejak dua tahun lalu, Spurs hanya tidak bernasib baik untuk terlepas gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL) 2015/16 kepada Leicester dan Chelsea pada kempen 2016/17.

Untuk musim ini, Spurs masih ketinggalan lapan mata di belakang Manchester City tetapi skuad kendalian Mauricio Pochettino itu memberi isyarat jelas bahawa mereka kini wajar diberi perhatian.

“Sebuah pasukan yang memiliki pengurus hebat bersama kumpulan pemain muda yang hebat,” kata bekas penyerang Arsenal, Ian Wright.

“Mereka membelasah Real Madrid dan ia sebuah pasukan dengan banyak potensi.

“Sebagai peminat Arsenal, ia adalah prospek menakutkan untuk melihat perkembangan mereka."

Ia bukan kemenangan nasib apabila Spurs banyak menyerang sebelum mengesahkan kemaraan ke pusingan 16 terakhir Liga Juara-Juara.

Dele Alli mencuri tumpuan dengan dua gol dan walaupun Harry Kane gagal menemui sasaran tetapi hantaran sempurnanya membawa kepada jaringan Christian Eriksen untuk gol ketiga Spurs.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 November 2017 @ 10:14 PM