POAD sambut baik hasrat KOM untuk menghantar Khairul Hafiz ke Jerman.
POAD sambut baik hasrat KOM untuk menghantar Khairul Hafiz ke Jerman.
Mohd Khairie Khalid

PETALING JAYA: Jurulatih olahraga negara Mohd Poad Md Kassim menyambut baik hasrat Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) untuk menghantar raja pecut Asia Tenggara, Khairul Hafiz Jantan menjalani latihan di Mannheim, Jerman, menjelang Kejohanan Dalam Dewan Dunia di Birmingham, Mac depan.

Poad menyambut baik perkara itu kerana menyifatkan latihan di Jerman yang dijadual bermula Februari depan mempunyai kemudahan yang baik serta mereka pernah menjejakkan kaki ke sana ketika berlatih sempena Kejohanan Remaja Dunia IAAF di Bydgoszcz, Poland tahun lalu.

“Saya memilih latihan di Jerman untuk persiapan Kejohanan Dalam Dewan kerana kami pernah berlatih di sana. Kemudahannya cukup bagus jadi kami dapat gunakan dengan sebaiknya untuk latihan yang dijangka berlangsung selama sebulan.”

“Bagi saya apa-apa juga kejohanan yang besar seperti di Birmingham, saya harap dia dapat buat yang terbaik dan kejar catatan masa yang ditetapkan. “Buat masa ini hanya Khairul Hafiz akan dapat berlatih di Jerman namun saya harap KOM dapat menimbang untuk membawa sekali pelari yang berada dalam kuartet 4x100 meter supaya mereka dapat turut dan menjalani latihan bersama,” kata Poad.

Sebelum ini media melaporkan Presiden KOM, Datuk Karim Ibrahim meminta Poad menilai semula program latihan di Jepun kerana pihaknya bersetuju menghantar Khairul Hafiz menjalani latihan di Mannheim, Jerman sebagai persiapan ke Kejohanan Dalam Dewan Dunia di Birmingham dari 1 hingga 4 Mac 2018.

Perancangan awal untuk menghantar Khairul ke Jepun dilaporkan menelan kos tinggi selain terlalu suntuk berlatih bersama jaguh pecut muda Jepun, Abd Hakim Sani Brown.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Oktober 2017 @ 10:02 PM