KURZAWA ledak hatrik bantu PSG ke saingan kalah mati. FOTO/REUTERS
KURZAWA ledak hatrik bantu PSG ke saingan kalah mati. FOTO/REUTERS
AFP

PARIS: Layvin Kurzawa menjaringkan hatrik ketika Paris Saint-Germain melangkah ke pusingan 16 terakhir Liga Juara-Juara awal pagi tadi dengan membenam Anderlecht 5-0, manakala Bayern Munich turut menyertai mereka ke peringkat kalah mati.

Marco Verratti melencongkan gol pembukaan menarik - gol pertamanya di Eropah sejak September 2014 - selepas setengah jam di Parc des Princes manakala bintang Brazil, Neymar menambah gol kedua sebelum rehat.

KURZAWA ketika menjaringkan gol keempat PSG.  FOTO/REUTERS
KURZAWA ketika menjaringkan gol keempat PSG. FOTO/REUTERS

Pemain termahal dunia itu terbabit dengan gol ketiga PSG apabila sepakan percumanya ditepis ke tiang gol sebelum pemain kebangsaan Perancis, Kurzawa menampan masuk bola muntah.

Pertahanan kiri itu kemudiannya menanduk masuk hantaran silang Dani Alves dan melengkapkan hatrik tidak disangka dengan rembatan padu ketika PSG meningkatkan kutipan gol kepada 17 - dengan tidak dibolosi - dalam empat perlawanan Kumpulan B.

HEYNCKES (kiri) lega anak buah benam Celtic.
HEYNCKES (kiri) lega anak buah benam Celtic.

“Terima kasih kepada rakan sepasukan kerana hatrik ini. Saya bangga dan gol ini memberikan saya keyakinan,” kata Kurzawa.

Kelab gergasi Perancis itu mengungguli kumpulan mereka dengan 12 mata maksimum manakala pendahulu Bundesliga, Bayern turut layak bersama mereka selepas menang 2-1 ke atas Celtic di laman lawan.

COMAN (kanan) ledak gol pertama Bayern.
COMAN (kanan) ledak gol pertama Bayern.

Kingsley Coman mengatasi kedegilan benteng Celtic apabila menerima hantaran jauh daripada penjaga gol Sven Ulreich sebelum menggelecek Craig Gordon dan menyepak masuk ke pintu gol ternganga pada minit ke-22.

Callum McGregor menyamakan kedudukan pada babak kedua namun tandukan berani Javi Martinez - yang menyebabkan pemain Sepanyol itu berdarah - membantu kelab Jerman itu layak di Glasgow.

“Saya sedar hari ini pasti sukar, perlawanan yang tegang. Kami berdepan jadual padat akhir-akhir ini,” kata jurulatih Bayern, Jupp Heynckes.

“Penting kami layak, tapi sukar untuk berakhir sebagai juara kumpulan kerana rekod pertemuan kami.”

MOURINHO bangga anak buah berjaya rebut slot kalah mati selepas menewaskan Benfica.
MOURINHO bangga anak buah berjaya rebut slot kalah mati selepas menewaskan Benfica.

Manchester United kendalian Jose Mourinho perlu menanti kemaraan ke pusingan berikutnya sekalipun menang 2-0 ke atas Benfica.

Pemain Benfica, Mile Svilar, yang muncul penjaga gol termuda dalam sejarah Liga Juara-Juara dua minggu lalu, mengalami nasib malang lagi di Old Trafford ketika gol sendirinya membantu United mendahului pada minit ke-45.

BLIND (kiri) lengkapkan kemenangan United. FOTO/AFP
BLIND (kiri) lengkapkan kemenangan United. FOTO/AFP

Pemain berusia 18 tahun itu, yang dipersalahkan ketika kalah 0-1 di Lisbon, menebus kesilapan itu apabila menyelamatkan sepakan penalti Anthony Martial, namun Svilar tidak dapat berbuat apa-apa apabila rembatan leret Nemanja Matic terkena tiang sebelum terkena lengannya dan meleret melepasi garisan gol.

Daley Blind melengkapkan kemenangan itu menerusi sepakan penalti pada minit ke-78 selepas Marcus Rashford dikasari.

“Kami mesti meraih mata daripada dua baki perlawanan,” kata Mourinho. “Saya terlalu gembira.”

SVILAR (jersi kuning) ketika menyelamatkan penalti Martial. FOTO/AFP
SVILAR (jersi kuning) ketika menyelamatkan penalti Martial. FOTO/AFP

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 November 2017 @ 10:07 AM