JELLSON (kanan) dan Sie Yan dinobatkan anugerah olahragawan dan olahragawati pada majlis Anugerah Gemilang SSBJ 2017 di Dewan Olimpik SSBJ. FOTO/OWEE AH CHUN
JELLSON (kanan) dan Sie Yan dinobatkan anugerah olahragawan dan olahragawati pada majlis Anugerah Gemilang SSBJ 2017 di Dewan Olimpik SSBJ. FOTO/OWEE AH CHUN
Mohd Kharie Khalid


MESKIPUN masih mempunyai tempoh enam bulan sebelum Sukan Komanwel Gold Coast, Australia 2018 membuka tirainya, namun Koi Sie Yan cukup bersedia untuk tampil kali pertama di temasya berkenaan.

Pemenang empat pingat emas dan dua perak acara gimrama di Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) itu sudah pun menjalani latihan kerana misinya adalah untuk meraih pingat di Sukan Komanwel.

SIE Yan melakukan disiplin Ribbon individu gimnastik berirama wanita Sukan Sea KL2017 di MITEC. FOTO/MUHD ZAABA ZAKERIA
SIE Yan melakukan disiplin Ribbon individu gimnastik berirama wanita Sukan Sea KL2017 di MITEC. FOTO/MUHD ZAABA ZAKERIA

Meskipun sedar saingan sengit yang bakal ditempuh dalam penampilan sulung di temasya itu, namun Olahragawati Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) itu enggan merendah diri sebelum bertanding.

“Selepas Sukan SEA, tumpuan saya kini terarah kepada Sukan Komanwel 2018. Ini kerana, saya mahu membawa balik apa saja pingat kembali ke bumi Malaysia.

“Mengenai persediaan, sebenarnya ia masih belum bermula (secara rasmi) tetapi saya sudah menjalani latihan bersungguh-sungguh.

“Januari nanti, kami akan menjalani latihan sama ada ke Russia atau di negara lain,” kata Sie Yan, 18, ketika ditemui pada Majlis Anugerah Gemilang SSBJ 2017, di Dewan Olimpik SSBJ, hari ini.

Pada majlis itu, Sie Yan (gimrama) dinobatkan selaku Olahragawati selepas mengenepikan empat lagi calon, iaitu Lee Hui Xian (wushu), Lai Wen Li (skuasy), Izzah Amzan (gimrama) dan Grace Wong Xiu Mei (olahraga).

SIE Yan melakukan disiplin Clubs berpasukan gimnastik berirama wanita Sukan Sea KL2017 di MITEC. FOTO/MUHD ZAABA ZAKERIA
SIE Yan melakukan disiplin Clubs berpasukan gimnastik berirama wanita Sukan Sea KL2017 di MITEC. FOTO/MUHD ZAABA ZAKERIA

Gelaran Olahragawan pula menjadi milik penerjun negara, Jellson Jabilin.

Dia menyingkirkan empat lagi calon yang disenaraikan iaitu Gabriel Gilbert Daim (akuatik - terjun), Tan Cheong Wan (wushu), Hanis Nazirul Jaya Surya (akuatik - terjun) dan Muhamad Nazri Mustafa (olahraga).

Siow Yee Xian daripada sukan skuasy pula menerima anugerah atlet terbaik keseluruhan (ARSA), selepas mengetepikan Muhammad Zakariya Minsuri dari olahraga.

SIE Yan memenangi pingat emas dalam acara gimnastik berirama individu keseluruhan wanita Sukan Sea KL2017. FOTO/MUHAIZAN YAHYA
SIE Yan memenangi pingat emas dalam acara gimnastik berirama individu keseluruhan wanita Sukan Sea KL2017. FOTO/MUHAIZAN YAHYA

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Oktober 2017 @ 3:23 PM