NAJIB (tengah kanan) dan Khairy (tengah kiri) bergambar bersama skuad akuatik Sukan Sea negara Majlis SHAKAM Untuk Sukan SEA Dan Sukan Para Asean KL di Arena Axiata Bukit Jalil. -Foto LUQMAN HAKIM ZUBIR
NAJIB (tengah kanan) dan Khairy (tengah kiri) bergambar bersama skuad akuatik Sukan Sea negara Majlis SHAKAM Untuk Sukan SEA Dan Sukan Para Asean KL di Arena Axiata Bukit Jalil. -Foto LUQMAN HAKIM ZUBIR
Aida Adilah Mat


ATLET negara yang cemerlang di temasya Sukan SEA Kuala Lumpur (KL2017) dan Sukan Para ASEAN (Para2017) menerima habuan bernilai lebih RM5.5 juta pada Majlis Penyampaian Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM), sebentar tadi.

Majlis yang berlangsung di Arena Axiata, Bukit Jalil itu diadakan khas bagi meraikan kejayaan meraih 145 emas, 92 perak dan 86 gangsa di KL2017 serta 90 emas, 85 perak dan 84 gangsa di temasya Para2017.

Bukan hanya pemenang pingat emas, malah atlet yang meraih perak serta gangsa juga diraikan melalui pemberian insentif khas.

Atlet para wanita negara, Nur Azlia Syafinaz Mohd Zais muncul penerima insentif terbesar dengan habuan RM53,000 .

Nur Azlia meraih lima emas dalam acara 1km ujian masa; pecut; individu; 3,000 kejar-mengejar dan lebuh raya serta satu perak dalam acara ujian masa.

Ia diikuti dengan Mohd Najib Turano yang menjadi penerima kedua tertinggi dengan ganjaran RM50,000 selepas meraih empat emas dalam acara berbasikal para.

Sementara atlet renang, Welson Sim dan ratu gimrama, Koi Sei Yan dipilih sebagai atlet lelaki serta atlet wanita terbaik KL2017.

Welson menerima RM33,000 selepas meraih dua pingat emas, satu perak dan satu gangsa serta mencipta dua rekod kejohanan dalam acara 200 dan 400 meter gaya bebas.

Manakala Sei Yan cemerlang meraih empat pingat emas - dua acara aparatus gelung dan belantan, selain emas berpasukan dan emas individu keseluruhan, untuk menerima insentif tertinggi berjumlah RM49,500.

Pada majlis itu, S Thavanesvaran dinobatkan selaku atlet lelaki terbaik para selepas menghadiahkan tiga pingat emas dan satu perak, manakala Nur Azlia dipilih sebagai para wanita terbaik.

DARI kiri Thavaneswaran, Nurazlia, Sie Yan dan Welson bersama trofi selepas Majlis SHAKAM untuk Sukan SEA Dan Sukan Para Asean KL di Arena Axiata Bukit Jalil. -Foto LUQMAN HAKIM ZUBIR
DARI kiri Thavaneswaran, Nurazlia, Sie Yan dan Welson bersama trofi selepas Majlis SHAKAM untuk Sukan SEA Dan Sukan Para Asean KL di Arena Axiata Bukit Jalil. -Foto LUQMAN HAKIM ZUBIR

Atlet dari Segamat, Johor itu yang beraksi dalam acara 100 meter, 200 meter dan 400 meter kategori T44 menerima ganjaran RM40,750.

Insentif kendalian Majlis Sukan Negara (MSN) itu menawarkan ganjaran RM20,000 kepada emas pertama bagi setiap atlet bagi acara individu dan RM10,000 untuk emas seterusnya.

Ganjaran RM20,000 juga diberikan bagi saingan berpasukan yang kurang daripada lima atlet dan RM5,000 seorang bagi pasukan yang melebihi lima atlet.

Malah, tambahan RM1,000 turut diberikan pemecah rekod kejohanan dengan atlet negara melakarkan 18 rekod Sukan SEA menerusi memanah (lima), olahraga (empat), menembak (enam) dan renang (tiga).

Insentif kemenangan disampaikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan diiringi Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Oktober 2017 @ 11:04 PM