AFP

MEXICO CITY: Lewis Hamilton (gambar) tidak mahu terlalu berasa selesa pada hujung minggu ini apatah lagi dia kini sedang memburu penamat kelima terbaik di Grand Prix (GP) Mexico bagi menjamin gelaran juara dunia keempat dirinya sekali gus meletakkan namanya sebaris pemandu terhebat dalam sejarah Formula Satu (F1).

Reputasinya semakin meningkat dari semasa ke semasa dan ia mencapai kemuncak baharu apabila Hamilton meraih kemenangan kesembilan musim ini di GP Amerika Syarikat.

Ketua pasukan Mercedes, Toto Wolff mengesahkan pemandunya itu berada di landasan tepat untuk menjadi ‘pemandu terbaik yang pernah ada’ manakala veteran Brazil, Felipe Massa yang terlepas gelaran pada 2008 berkata, dia sudah pun berada dalam senarai terhebat di samping Michael Schumacher dan Ayrton Senna.

Satu lagi gelaran akan menjulang namanya mengatasi Jackie Stewart - yang meraih tiga kejuaraan - selaku pemandu British paling berjaya sekali gus meletakkan dirinya dalam senarai pemandu yang pernah meraih empat gelaran selain Alain Prost dan seteru terdekatnya, Sebastian Vettel.

Schumacher adalah satu-satunya pemandu yang pernah meraih tujuh gelaran manakala Juan Manuel Fangio, lima kejuaraan.

Bagaimanapun Hamilton enggan memikirkan tentang rekod dan berkata, tumpuannya kini hanya untuk memenangi perlumbaan Ahad ini di hadapan penonton di Autodromo Hermanos Rodriguez.

“Masih berbaki tiga perlumbaan,” kata pemandu berusia 32 tahun itu. “Dalam pemikiran saya, saya masih mempunyai tiga perlumbaan untuk dimenangi. Masih banyak mata yang ditawarkan - sehinggalah kejuaraan sudah terjamin, anda tidak boleh berasa selesa.”

Tumpuannya itu amat jelas apatah lagi dia dan Mercedes sedar dengan cabaran selekoh perlahan dan panjang di Mexico selain suhu yang mungkin lebih memihak buat pasukan seteru Ferrari.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Oktober 2017 @ 2:34 PM