AG GHANI (dua dari kiri) menyampaikan cenderakenangan kepada CEO Burnley, Neil Hart sambil diperhatikan Lawrence (dua dari kanan) dan Joehari (kanan).
AG GHANI (dua dari kiri) menyampaikan cenderakenangan kepada CEO Burnley, Neil Hart sambil diperhatikan Lawrence (dua dari kanan) dan Joehari (kanan).
Ryan Stanley


PERSATUAN Bola Sepak Sabah (SAFA) bakal menubuhkan akademi bola sepak sendiri tahun depan , kata Timbalan Presiden 2 SAFA, Datuk Lawrence Gimbang.

Menurut Lawrence, Akademi SAFA berkenaan dibiayai PETRONAS dan dijangka ditubuhkan awal tahun depan.

“Ini antara usaha kita memantapkan lagi program pembangunan  bola sepak di negeri ini," katanya selepas merasmikan Karnival Bola Sepak Sekolah Kebangsaan (SK) Api Api bersama SAFA, di Luyang, dekat sini, semalam.

Turut hadir, Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang juga Naib Presiden SAFA, Joehari Ayub, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) kelab Liga Perdana Inggeris Burnley, Neil Hart dan Guru Besar SK Api Api, Ag Ghani Ag Bakar.  

Lawrence berkata, penubuhan akademi itu juga selari dengan pembinaan padang latihan milik SAFA sendiri iaitu di kawasan Kompleks Sukan Kota Kinabalu yang dijangka siap pertengahan tahun depan.

Terdahulu, beliau berkata karnival yang diadakan semalam adalah sebahagian daripada program pembangunan persatuan berkenaan dan dilaksanakan hasil kerjasama pihak sekolah yang dijadikan sekolah angkat badan induk bola sepak negeri.

SK Api Api adalah sekolah angkat ketiga SAFA selepas SK Sri Gaya dan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (SRJK) Chung Hwa Likas, di sini.

Antara pengisian karnival yang turut disertai pemain dari SK Sri Gaya dan SRJK Chung Hwa itu adalah pertandingan bola sepak serta klinik-klinik bola sepak.

Lawrence berkata, kehadiran pegawai dari Burnley itu adalah bagi membantu menjayakan program berkenaan dan sebagai suntikan galakan kepada pemain-pemain muda.

Difahamkan, usaha kini sedang dilakukan oleh SAFA dan Burnley bagi menjalinkan kerjasama dalam program pembangunan bola sepak di negeri ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Oktober 2017 @ 10:56 AM