KOTA KINABALU 28 FEBRUARI 2018. Ahli Majlis Tertinggi SAFA, Predeep Shamsuddin menunjuk perbezaan antara tiket tulen (kiri) dan palsu yang digunakan ketika aksi liga antara Sabah dan Sarawak di Stadium Likas, Sabtu lalu. STR/RYAN STANLEY.RYAN STANLEY
KOTA KINABALU 28 FEBRUARI 2018. Ahli Majlis Tertinggi SAFA, Predeep Shamsuddin menunjuk perbezaan antara tiket tulen (kiri) dan palsu yang digunakan ketika aksi liga antara Sabah dan Sarawak di Stadium Likas, Sabtu lalu. STR/RYAN STANLEY.RYAN STANLEY
Ryan Stanley


Persatuan Bolasepak Sabah (SAFA) memberi amaran kepada penjual atau pemilik tiket palsu supaya membatalkan hasrat mereka untuk memasuki Stadium Likas atau berdepan tindakan tegas.

Timbalan Presiden 2 SAFA, Datuk Lawrence Gimbang berkata, kawalan lebih ketat akan dilakukan di semua pintu masuk stadium termasuk aksi pusingan kedua Piala FA antara Sabah menentang pendahulu Liga Super, Johor Darul Ta'zim (JDT), Sabtu ini.

"Kita menjangkakan orang ramai akan membanjiri Stadium Likas dan kita sama sekali tidak akan membenarkan pemilik tiket palsu menembusi pintu masuk seperti sebelum ini," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat bersama petugas perlawanan di pejabat SAFA, hari ini.

Turut hadir, Ahli Majlis Tertinggi SAFA, Predeep Shamsuddin.

Lawrence berkata, pihaknya mengesan sebanyak 10 tiket palsu digunakan untuk memasuki stadium pada aksi liga bertemu Sarawak, Sabtu lalu.

"Tiga daripadanya dikesan di pintu masuk manakala tujuh lagi selepas pemeriksaan lanjut terhadap bahagian tiket yang telah dikoyak dan ini bermakna tujuh tiket palsu digunakan pada perlawanan itu.

"Taktik kumpulan ini (pemilik tiket palsu) adalah dengan melalui pintu masuk yang agak gelap dan kita akan mengatasinya pada perlawanan akan datang dengan menyediakan lampu tambahan di pintu masuk terbabit," katanya sambil menambah pihak SAFA telah membuat laporan polis berhubung perkara itu, semalam.

Dalam perkembangan lain, Lawrence berkata, sebanyak 21,000 tiket akan dijual sempena aksi pusingan kedua Piala FA Sabah bertemu JDT.

"Sebanyak 10,000 tiket akan dijual Jumaat ini bermula jam 10 pagi hingga 9 malam di kaunter tiket Stadium Likas manakala selebihnya dijual pada hari perlawanan mulai jam 10 pagi.

"Orang ramai dinasihatkan membeli tiket awal dan seboleh-bolehnya mengelak membawa anak kecil ke stadium kerana kita jangka stadium akan sesak dan jika mahu bawa (anak kecil) mereka terpaksa membeli tiket untuk anak mereka," katanya.

Tambah beliau, hanya 10 tiket dibenarkan untuk setiap individu di kaunter tiket bagi mengelak aktiviti 'ulat tiket'.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Februari 2018 @ 7:24 PM