UNSWORTH akan memulakan tugas dengan hadapi Piala Liga.
UNSWORTH akan memulakan tugas dengan hadapi Piala Liga.
Reuters

PENGURUS skuad bawah 23 tahun (B-23) Everton, David Unsworth dilantik sebagai jurulatih sementara The Toffees selepas pemecatan Ronald Koeman.

Ujian pertama bekas pertahan Everton itu adalah untuk mempersiapkan pasukan bagi mengharungi pertemuan dengan juara Liga Perdana, Chelsea dalam saingan Piala Liga di Stamford Bridge, Khamis ini.

“Everton boleh mengesahkan David Unsworth akan menggalas tugas sementara dalam skuad utama, bermula dengan pertandingan Piala Carabao (Piala Liga),” kata kelab itu dalam Twitter rasmi mereka, sebentar tadi.

Unsworth, 44, membuat 314 penampilan bersama kelab dan meledak 40 gol.

Dia kembali ke kelab sebagai jurulatih pada tahun 2013.

Everton memecat Koeman, semalam selepas pasukan itu jatuh ke zon penyingkiran Liga Perdana susulan kekalahan besar 5-2 kepada Arsenal di gelanggang sendiri, kelmarin.

Jurulatih kelahiran Belanda itu membimbing pasukan sejak 16 bulan lalu dan membelanjakan sejumlah besar wang untuk membaik pulih skuad dalam jendela perpindahan.

Bagaimanapun, Everton hanya memenangi dua daripada sembilan perlawanan liga yang menyaksikan permulaan musim terburuk mereka sejak 2005-06.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Oktober 2017 @ 7:36 PM