Soon Huat (kiri) dan Shevon berjaya ke separuh akhir selepas benam cabaran wakil tuan rumah di suku akhir. -Foto fail
Soon Huat (kiri) dan Shevon berjaya ke separuh akhir selepas benam cabaran wakil tuan rumah di suku akhir. -Foto fail
Helmi Talkah


BEREGU campuran negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie terus mengibarkan bendera Malaysia dalam saingan Terbuka Denmark apabila mengesahkan tempat ke separuh akhir, awal pagi tadi.

Kejayaan itu hadir selepas naib juara Malaysia Masters 2016 itu mencatatkan kemenangan ke atas beregu tuan rumah, Niclas Nohr-Sara Tygesen 23-21, 21-12 dalam aksi suku akhir yang berlangsung dalam tempoh 41 minit.

Mereka akan membuat perhitungan dengan pilihan pertama kejohanan dari China, Zheng Siwei-Chen Qingchen bagi perebutan tempat ke final malam ini.

Ini adalah pencapaian terbaik Soon Huat-Shevon yang mula digandingkan hujung tahun lalu dengan kali pertama mara ke separuh akhir kejohanan bertaraf Siri Super Premier.

Soon Huat-Shevon menjadi wakil tunggal negara yang masih terus bersaing selepas barisan pemain Malaysia terkandas awal termasuk jaguh perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei yang tersingkir di pusingan kedua.

Mereka mempamerkan aksi konsisten sepanjang kejohanan termasuk ketika melakar kejutan menyingkirkan pilihan keenam dari China, Wang Yilyu-Huang Dongping di pusingan kedua.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Oktober 2017 @ 2:44 PM