FALCAO (dua dari kanan) jaring gol tunggal Monaco ketika menentang Besiktas. -Foto AFP
FALCAO (dua dari kanan) jaring gol tunggal Monaco ketika menentang Besiktas. -Foto AFP
Reuters

MONACO: AS Monaco yang melangkah ke separuh akhir Liga Juara-Juara musim lalu kini berisiko gagal layak ke pusingan kalah mata apabila terus mempamerkan kemerosotan prestasi.

Dalam saingan awal pagi tadi, masalah itu cukup ketara apabila tewas 1-2 kepada Besiktas, sekali gus menyukarkan laluan untuk melepasi peringkat Kumpulan G.

Radamel Falcao membuka jaringan buat Monaco, namun Cenk Tosun tampil cemerlang apabila menghasilkan dua gol buat pelawat.

Keputusan itu membolehkan Besiktas meraih mata maksimum dalam tiga perlawanan untuk mendahului saingan kumpulan.

Selepas cemerlang menyertai kelompok empat pasukan terbaik musim lalu, Monaco kini berdepan nasib berbeza apabila menghuni tangga tercorot, sekadar meraih satu mata.

Terdahulu, Monaco terpaksa menunggu minit ke-30 untuk berada di depan selepas penyerang Colombia, Falcao mudah melakukan penyudah mengatasi penjaga gol Besiktas, Fabri.

Bagaimanapun, kelab Turki itu pantas bertindak balas dan jaringan pendahuluan Monaco hanya bertahan empat minit apabila menyaksikan Tosun menanduk masuk hantaran lintang Ricardo Quaresma.

Sembilan minit selepas babak kedua bersambung, Ryan Babel melakukan umpanan menarik untuk Tosun sekali lagi pamer sentuhan penyudah tajam untuk memastikan kemenangan buat pasukannya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Oktober 2017 @ 10:20 AM