THOMAS (kiri), Gavin (kanan) dan Schauffele lahir pada tahun 1993.
THOMAS (kiri), Gavin (kanan) dan Schauffele lahir pada tahun 1993.
Farah Azharie dan Saiful Affendy


JUSTIN Thomas, Xander Schauffele dan Gavin Green, kesemuanya lahir pada tahun 1993, mempunyai sasaran masing-masing tahun ini tetapi akan memburu trofi yang sama menjelang CIMB Classic hujung minggu ini.

Thomas Pemain Terbaik Jelajah PGA tahun ini, Schauffele pemain baru terbaik dan Gavin, pendahulu Jelajah Asia, akan turun dalam kumpulan sama untuk dua hari pertama kejohanan Jelajah PGA tunggal di Asia Tenggara itu.

Thomas, juara paling muda di CIMB Classic pada usia 22 tahun, enam bulan dan tiga hari pada tahun 2015, akan mempertahankan kejuaraannya buat kali kedua berturut-turut di lapangan TPC Kuala Lumpur bermula esok.

Bagaimanapun pemain ranking keempat dunia itu tidak mahu terlalu ghairah memburu hatrik kejuaraan sebaliknya hanya mahu beraksi pada tahap terbaiknya di kejohanan yang menawarkan AS$7 juta (RM25.9 juta) itu.

“Satu lagi minggu, satu lagi kejohanan, ia berbeza tetapi cukup dekat dengan saya - memenanginya dua kali berturut-turut,” kata Thomas yang muncul juara pada edisi 2015 dan 2016.

“Tetapi saya hanya teruja untuk keluar dan bermain sebaik mungkin, sama ada dapat mempertahankan kejuaraan sekali lagi atau menamatkannya dalam kelompok 10 terbaik atau 30 teratas,” kata Thomas.

Schauffele akan turun bersama Thomas selepas kedua-duanya bersaing di Kejuaraan Jelajah bulan lalu. Pada pertandingan itu Schauffele muncul juara dan memenangi trofi, manakala Thomas dinobatkan juara Piala FedEx untuk musim 2016/2017.

“Saya amat teruja, saya tidak pernah bermain bersamanya (Thomas) sebelum ini dan ia cukup baik apabila dapat beraksi dengan pemain kelompok teratas dunia yang berada pada kemuncak prestasi mereka,” kata Schauffele yang mempunyai dua gelaran siri Jelajah PGA.

Selain gandingan Thomas-Schauffele-Gavin, juara 21 kali Jelajah PGA Davis Love III juga akan beraksi di CIMB Classic selepas hanya beberapa minggu namanya diabadikan dalam Dewan Kemasyhuran, sebaris dengan Seve Ballesteros, Fred Couples, Ernie Els, Nick Faldo, Phil Mickelson dan Greg Norman.

Kali terakhir Love III menyertai CIMB Classic ialah pada tahun 2014 di mana dia menamatkan saingan terikat di tangga kelapan dengan Billy Hurley III, Prom Meesawat, Angelo Que dan Rory Sabbatini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Oktober 2017 @ 10:37 PM