THOMAS ketika sidang media. FOTO/FAIL
THOMAS ketika sidang media. FOTO/FAIL
Farah Azharie


BAGI bekas pemain nombor satu dunia, Justin Thomas, Malaysia mempunyai tempat istimewa di hatinya memandangkan kemenangan sulungnya adalah ketika CIMB Classic 2015 di Kuala Lumpur.

Juara dua kali berturut-turut CIMB Classic itu (tahun 2015 dan 2016) akan sentiasa mengimbau kenangan manis di Kuala Lumpur setiap kali dia melihat trofi kejohanan yang disimpan rapi di rumahnya di Florida.

“Ia akan sentiasa menjadi tempat istimewa buat saya,” kata Thomas. “Ia adalah tempat saya merangkul kejuaraan Jelajah PGA pertama saya dan ia amat istimewa.

"Setiap kali saya melihat trofi di rumah saya, ia menggamit banyak memori hebat, setiap kali saya melihat video atau rakamannya. Ia detik bermakna dalam karier saya, itu sudah pasti.”

Dengan hanya dua kemenangan dalam Jelajah PGA (Honda Classic dan Jemputan WGC-Bridgestone) tahun ini, pemain 25 tahun itu mengakui masih banyak yang perlu diperbaiki dan halangan utamanya minggu ini ialah bermain mengikut peraturan ball down (menyambung permainan di mana bola berada) berbanding preferred lie (bola boleh dialih ke titik berhampiran ia jatuh).

“Bermain mengikut peraturan ball down membawa perbezaan besar. Anda mendapat permukaan baik jika bola berada di atas fairway, jika tidak besar bezanya berbanding dengan preferred lie.

"Sebelum ini pukulan seperti di atas tee. Apabila terlepas green, di atas green, kami melakukan perkara sama dan kini anda perlu mengikut kedudukan di mana bola berada.

“Jika bola berada di permukaan kurang baik di luar green, di atas fairway, pukulan yang mudah akan menjadi sukar,” katanya.

Thomas akan turun di samping Pat Perez dan Ryan Moore dalam kumpulan 19 esok.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Oktober 2018 @ 5:03 PM