DANNY mahu bersara jika tidak menunjukkan peningkatan pada CIMB Classic.
DANNY mahu bersara jika tidak menunjukkan peningkatan pada CIMB Classic.
Farah Azharie dan Saiful Affendy


PEMAIN golf profesional negara Danny Chia hanya akan memikirkan soal persaraan apabila permainannya tidak lagi menunjukkan peningkatan.

Danny yang terikat di tangga ke-11 di TPC Yeangder, Taiwan minggu lalu, masih ghairah untuk memperbaiki prestasinya dan ia menjadi bekalan buatnya menjelang CIMB Classic minggu ini.

Pemain 45 tahun itu berkata, setiap hari dia berusaha gigih memperbaiki permainannya dan selagi dia mampu menunjukkan peningkatan, tidak ada sebab buatnya untuk bersara.

“Jika saya terus berusaha, saya mempunyai peluang untuk meningkatkan permainan saya terutama pada usia begini, dan jika saya tidak terus menunjukkan peningkatan, saya akan bersara dalam masa terdekat.

Jadi untuk memastikan ia tidak berlaku, saya perlu bekerja keras setiap hari,” kata Danny.

“Saya cuba untuk menjadi pemain golf yang semakin baik setiap hari, Danny Chia yang lebih baik setiap hari dan itu yang akan saya lakukan.”

Pencapaian terbaik Danny di CIMB Classic ialah terikat di tangga ke-13 pada tahun 2011 tetapi juara Taiwan Masters 2015 itu berkata, kali ini cabarannya berbeza kerana ia berlangsung di lapangan berbeza.

“Ketika edisi 2011 saya sudah biasa dengan (Kelab Golf dan Resort) Mines, saya belum biasa dengan TPC tetapi semakin selesa kerana saya mula bermain di sini sejak setahun setengah lalu.

“Permukaan green sangat lancar dan saya sukakannya,” kata Danny.

Musim ini saja menyaksikan Danny dua kali menamatkan kejohanan dalam kelompok 10 terbaik - terikat di tangga kesembilan di Queen’s Cup Koh Samui dan terikat di tangga ke-10 di Take Solution Masters, India.

Danny akan disertai dua lagi pemain negara, Nicholas Fung yang masih segar dengan gelaran Jelajah Asia pertamanya apabila menjuarai Queen’s Cup dan Juara Taiwan Masters 2017 Gavin Green untuk membawa cabaran Malaysia di CIMB Classic.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Oktober 2017 @ 7:48 PM