MBAPPE dikaitkan dengan kelab PSG, Real Madrid.
MBAPPE dikaitkan dengan kelab PSG, Real Madrid.
AFP

Monaco: Jurulatih AS Monaco, Leonardo Jardim menegaskan beliau tidak bimbang mengenai spekulasi berhubung penyerang bintang Kylian Mbappe berikutan laporan dia semakin hampir menyertai Paris Saint-Germain.

“Saya tidak akan mengulas mengenai spekulasi. Saya kekal fokus terhadap kerja saya dan membantu pasukan untuk terus meningkat,” kata Jardim semalam.

Mbappe, 18, menjaringkan 15 gol buat Monaco dalam laluan merangkul kejuaraan Perancis musim lalu namun secara konsisten dikaitkan dengan perpindahan pada musim panas ini.

Real Madrid dan PSG kedua-duanya dilaporkan terdesak untuk mengikat pemain muda kebangsaan Perancis itu, yang dinilai pada harga 180 juta euro (RM914.5 juta).

Difahamkan pemain itu sendiri lebih suka menyertai PSG, yang mana dia akan berganding di bahagian serangan dengan Neymar, yang diikat minggu lalu dengan harga rekod dunia 222 juta euro (RM1.1 bilion). Mbappe berasal dari pinggir bandaraya Paris.

Mengenai kemungkinan Mbappe menyertai kelab yang diatasi Monaco bagi kejuaraan Ligue 1 Mei lalu, Jardim mengimbau hari yang mana “seorang pengarah sebuah kelab Portugal yang saya temui berkata kepada saya: ‘Pasaran perpindahan bukan hanya untuk mengukuhkan pasukan anda tapi juga melemahkan lawan anda.’

“Saya fikir ia strategi yang digunakan banyak kelab. Tapi saya tetap tenang.”

Pada musim panas ini Monaco sudah menjual Tiemoue Bakayoko, Bernardo Silva, Benjamin Mendy dan Valere Germain, semuanya pemain utama dalam laluan menjulang kejuaraan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Ogos 2017 @ 11:30 AM