Goh Soon Huat dan Nur Izwani Azman tidak langgar perintah berkurung.
Goh Soon Huat dan Nur Izwani Azman tidak langgar perintah berkurung.
BERNAMA

PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) menafikan dakwaan sesetengah pihak kononnya penjaga gol skuad futsal wanita kebangsaan, Nur Izwani Azman melanggar perintah berkurung yang ditetapkan pada kem fasa akhir perhimpunan atlet Malaysia untuk Sukan SEA 2017 di Hotel Renaissance Kuala Lumpur, Jumaat lalu.

Sebaliknya, Setiausaha Agung FAM Datuk Hamidin Mohd Amin menegaskan, pemain berkenaan meninggalkan lobi hotel selepas berjumpa saudaranya dan menuju lif kira-kira 10.55 malam untuk ke biliknya.

Katanya, maklumat itu diperoleh selepas mendapat penjelasan pemain berkenaan, ketua jurulatih skuad futsal wanita kebangsaan Muizzudin Haris dan pengurus pasukan Shafizah Umamah Abdul Mutalib serta rakaman kamera litar tertutup (CCTV).

"Ia bercanggah dengan aduan dan dakwaan pihak tertentu sebelum ini, kononnya Nur Izwani dilihat masih berada di lobi hotel sekitar 12.30 tengah malam,” jelas Hamidin dalam kenyataan hari ini.

Beliau memaklumkan selepas melihat rakaman CCTV, Nur Izwani disahkan masuk ke biliknya kira-kira 11.11 malam, jelas tidak melanggar perintah berkurung.

Beliau berkata badan induk itu kecewa dengan tuduhan berkenaan sehingga mendorong Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Low Beng Choo membuat kenyataan media beberapa atlet negara melanggar perintah berkurung yang ditetapkan kepada atlet negara yang berkampung di hotel berkenaan.

Hamidin berkata, beliau menghubungi Beng Choo bagi menjelaskan situasi sebenar dan turut menghantar surat penjelasan bagi memastikan isu berkenaan dihentikan.

Beliau pada masa sama turut mengesahkan bahawa Nur Izwani masih berada dalam senarai 16 pemain akhir skuad kebangsaan pada Sukan SEA nanti.

Dalam perkembangan sama, Presiden Persatuan Badminton Malaysia Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria memaklumkan pemain beregu campuran negara, Goh Soon Huat sudah memberi penjelasan kepadanya berhubung tindakan pemain berkenaan yang dikatakan melanggar perintah berkurung.

Mohamad Norza yang ditemui pemberita selepas majlis undian Kejohanan Badminton Dunia 2017 di sini, memaklumkan isu berkenaan sengaja ditimbulkan pihak tidak bertanggungjawab.

Isnin lalu, Beng Choo dilaporkan mengesahkan dua atlet negara, iaitu dar skuad futsal dan badminton melanggar perintah berkurung di Hotel Renaissance Kuala Lumpur, yang menjadi penginapan rasmi kontinjen negara.

Lebih 700 atlet berada di hotel berkenaan untuk kem persiapan terakhir kontinjen negara menjelang Sukan SEA dan sepanjang tempoh penginapan di situ, termasuk ketika temasya itu bermula 19 hingga 30 Ogos ini, mereka tidak dibenar keluar selepas 11.30 malam.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Ogos 2017 @ 9:55 PM