PROGRAM Asasi TVET mampu memberikan pendedahan awal dalam bidang TVET. Gambar hiasan
PROGRAM Asasi TVET mampu memberikan pendedahan awal dalam bidang TVET. Gambar hiasan
Suliati Asri


JABATAN Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) memperkenalkan Program Asasi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bermula sesi pengambilan hujung bulan ini.

Penawaran Program Asasi TVET ini bertujuan memperluas akses pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang memenuhi syarat-syarat ditetapkan untuk mengikuti program persediaan sebelum melanjutkan pengajian di peringkat ijazah sarjana muda di mana-mana Rangkaian Universiti-universiti Teknikal Malaysia (MTUN).

Universiti berpaksikan teknikal di bawah MTUN ialah Universiti Malaysia Pahang (UMP), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) dan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).

Bukan itu saja, melalui program ini persediaan awal dan fokus dapat diberikan kepada pelajar yang cenderung dalam bidang TVET.

Sebagai permulaan, lima politeknik iaitu Politeknik Premier Ungku Omar, Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin, Politeknik Merlimau, Politeknik Sultan Ahmad Shah dan Politeknik Tun Syed Nasir akan menjadi perintis bagi pengambilan pertama pada Sesi I 2023/2024.

Pengarah Politeknik Merlimau Melaka (PMM) Norizam Sekak berkata, langkah itu adalah inisiatif yang baik dari pihak Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) untuk memberi peluang kepada lepasan SPM mengikuti pengajian yang menjurus ke arah pembangunan TVET.

Menurutnya, tawaran yang diberikan KPT menerusi lima Politeknik itu juga adalah alternatif baharu dalam mencapai atau mengubah TVET negara terutama apabila pelajar-pelajar lepasan SPM ini memasuki satu aliran khusus untuk TVET.

"Program ini juga adalah satu langkah yang baik untuk masa depan negara kerana melalui Program Asasi TVET ini, pelajar berpeluang meluaskan lagi kemahiran mengenai asas pengenalan TVET di peringkat politeknik dan seterusnya berpeluang menyambung pengajian di peringkat Ijazah sarjana muda di universiti MTUN.

"Program ini juga adalah laluan yang sangat tepat bagi tempoh masa panjang, kita mahu melahirkan lebih ramai kelompok graduan TVET yang bukan saja kompeten tetapi juga mencapai pemikiran dan kepakaran TVET negara," katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

"Inisiatif ini juga saya lihat memberi peluang kepada kepada calon SPM dan peluang yang baik untuk pembangunan negara," tambahnya.

Pembangunan kurikulum Program Asasi TVET ini direka bentuk dengan memberi penekanan kepada elemen amali dan praktikal.

Manakala fokus bidang Asasi TVET yang ditawarkan adalah mengikut keperluan industri semasa sepanjang setahun atau dua semester tempoh pembelajaran.

Sesi I 2023/2024 untuk Program Asasi TVET akan membabitkan 500 pelajar sebagai kumpulan pertama yang akan memenuhi kekosongan di lima politeknik ini.

Bagaimanapun, kata Norizam, pihaknya sudah menerima lebih daripada 200 pelajar yang mengisi memilih PMM sebagai pilihan pertama untuk program terbabit.

Bukan itu saja, katanya sambutan yang diberikan terhadap program ini juga sangat menggalakkan bukan saja daripada pelajar tetapi juga ibu bapa yang mencari program terbaik untuk anak mereka.

"Walaupun baru sahaja diperkenalkan, program ini sudah mendapat sambutan yang cukup memberangsangkan. Ini dapat dilihat ketika kami membuka reruai di Karnival Jom Masuk U baru-baru ini, ramai pelajar dan ibu bapa yang datang bertanya perkembangan program ini.

"Di PMM sendiri contohnya, sambutannya juga sangat memberangsangkan apabila lebih daripada 200 pelajar memilih PMM sebagai pilihan pertama untuk program terbabit walaupun kita hanya menawarkan 100 kekosongan," katanya.

Kumpulan pertama pelajar yang akan memulakan program ini dijangka akan mendaftar pada 24 Julai ini. Mengulas mengenai persediaan dari pihak PMM, Norizam berkata, secara keseluruhan pihaknya sudah bersedia untuk melaksanakan Program Asasi TVET ini.

"Di peringkat PMM, semua persediaan sudah dilakukan terutama dalam proses pembelajaran dan pengajaran serta tenaga pengajar. Kemudahan seperti bilik kuliah dan lain-lain juga sudah di lakukan.

"Sesi 'brainstorming' (sumbang saran) juga sentiasa dilakukan di semua peringkat sama ada di politeknik mahupun JPPKK dalam mendapatkan satu titik mula pada perancangan yang lebih mantap untuk program ini," katanya yang mempengerusikan sendiri mesyuarat jawatankuasa tindakan khas Program Asasi TVET di peringkat PMM baru baru ini.

Ditanya mengenai harapannya terhadap program ini, Norizam berkata, secara peribadi, beliau melihat Program Asasi TVET ini adalah satu jalan yang terbaik untuk negara melahirkan tenaga kerja TVET di masa akan datang di semua peringkat.

"Jika di peringkat politeknik, kita menawarkan diploma dalam semua bidang TVET yang juga satu usaha yang berterusan sejak sekian lama.

"Kemudian, dengan adanya Program Asasi TVET ini, sekaligus menjadikan program ini lebih kompetitif selain memperkukuhkan ekosistem TVET agar lebih komprehensif serta memperluaskan akses dan mengoptimumkan enrolmen kapasiti institusi.

"Oleh itu, saya berharap dengan program ini, ia menjadi wadah baru kepada pembangunan TVET negara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Julai 2023 @ 7:00 AM