PERKONGSIAN pengalaman pelajar PMM di Politeknik Negeri Bali, Muhammad Haqim.
PERKONGSIAN pengalaman pelajar PMM di Politeknik Negeri Bali, Muhammad Haqim.
HM Digital

POLITEKNIK Merlimau (PMM) bersama pelajar antarabangsa di Politeknik Negeri Bali (PNB), Indonesia berjaya menganjurkan Webinar Antarabangsa yang disiarkan secara langsung menerusi Facebook Live PMM.

Ia bagi berkongsi mengenai pengalaman pelajar yang sudah merasai program pertukaran pelajar antara kedua-dua negara.

Pengarah PMM Mohd Hatta Zainal berkata, webinar antarabangsa ini sangat bermanfaat sebagai platform perkongsian mengenai latihan industri di bawah program Southeast Asian Ministers of Education Organization Technical and Vocational Education and Training atau singkatannya SEAMEO SEA TVET.

"Untuk mempromosikan institusi Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) di peringkat antarabangsa dan memanfaatkan daya saing global serta kemahiran abad ke-21 pelajar TVET di negara Asia Tenggara, Pertubuhan Menteri Pendidikan Asia Tenggara (SEAMEO) bekerjasama dengan Kementerian Pengajian Tinggi dan kementerian berkaitan serta institusi TVET di Asia Tenggara.

"Antara matlamatnya membangunkan Jaringan Politeknik SEAMEO pada April 2016 sebagai sebahagian daripada Konsortium SEA-TVET.

"Rangkaian ini bertujuan meningkatkan pengantarabangsaan dan perkongsian institusi TVET (universiti, politeknik dan kolej) di rantau ini melalui program pertukaran merentas negara dan kolaborasi lain," katanya.

TVET adalah inisiatif yang mempersiapkan golongan muda dengan pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan di tempat kerja.

Tujuh kementerian di Malaysia menyediakan program TVET di peringkat sijil, diploma dan ijazah, termasuk Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) iaitu politeknik yang bernaung di bawah KPT.

WEBINAR Antarabangsa yang dianjurkan PMM melalui ‘Facebook Live’.
WEBINAR Antarabangsa yang dianjurkan PMM melalui ‘Facebook Live’.

Pengerusi Jawatankuasa Pengantarabangsaan PMM, Simmathiri Applanaidu berkata, latihan industri siri keempat pelajar SEAMEO SEA TVET terbabit berlangsung pada 2019 bermula dari Ogos hingga Oktober. PMM menghantar seramai lima pelajar ke Indonesia dan menerima tiga pelajar pertukaran dari Indonesia.

"Webinar antarabangsa ini memberi platform kepada pelajar kedua-dua negara untuk berkongsi pengalaman mengenai pendidikan TVET semasa berada di negara terbabit.

"Contohnya, pelajar pertukaran dari PNB, Reni Budiyadnyani berkongsi mengenai pengalamannya semasa praktikal di Commerce Bistro dan Poly Cuisine Bakery, PMM.

"Reni banyak belajar mengenai bagaimana pelajar PMM boleh menghasilkan aneka roti sendiri dan dapat dipasarkan kepada orang ramai, disiplin diri, keupayaan untuk menyesuaikan diri dalam persekitaran baharu dan mencuba makanan baharu di Melaka," katanya.

Sementara itu, bagi Muhammad Haqim Hairul Nizam yang juga pelajar pertukaran ke Politeknik Negeri Bali, dia bersyukur dan teruja untuk meneroka budaya negara lain.

"Melalui latihan industri di Bank Perkreditan Rakyat Cahaya Bina Putera, saya dapat belajar mengenai cara menguruskan kewangan, berkomunikasi dengan efisien dan beradaptasi dengan persekitaran baharu.

"Program ini memantapkan mental dan fizikal diri saya sekali gus memberi manfaat apabila saya bekerja kelak," katanya.

Webinar antarabangsa itu berlangsung lebih sejam yang disaksikan pelayar Facebook kedua-dua negara di laman Facebook PMM.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Mac 2021 @ 6:35 AM