GRADUAN sidang pertama Majlis Graduasi Kumpulan MSU College Ke-24.
GRADUAN sidang pertama Majlis Graduasi Kumpulan MSU College Ke-24.
Suliati Asri


SHAH ALAM: Seramai 2,014 graduan daripada 24 program pengajian membabitkan 1,447 graduan peringkat diploma dan 567 graduan peringkat sijil dari 10 kampus serta satu pusat pembelajaran dirai pada Majlis Graduasi Kumpulan MSU College (MSUC) ke-24 selepas dua tahun tertangguh akibat pandemik Covid-19.

Berlangsung di Dewan Canselor Management and Science University (MSU), bilangan graduan terbesar adalah daripada program Sijil Pengurusan seramai 325 graduan, Diploma Pengurusan (315) serta Diploma Seni Kulinari (300).

Turut diraikan adalah graduan sulung bagi dua program pengajian iaitu Sijil Pengurusan Spa dan Kecantikan dan Sijil Pastri, Bakeri dan Konfeksionari.

Majlis yang diadakan mengikut pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) dan arahan Majlis Keselamatan Negara, Kementerian Kesihatan serta Kementerian Pengajian Tinggi itu disempurnakan oleh Presiden Kumpulan MSUC Profesor Tan Sri Datuk Wira Dr Mohd Shukri Ab Yajid.

Turut hadir Naib Canselor MSU Profesor Puan Sri Datuk Dr Junainah Abd Hamid serta pengurusan kanan Kumpulan MSUC dan MSU.

Sebanyak empat kategori dianugerahkan kepada 18 graduan sebagai pengiktirafan pencapaian mereka dalam aspek akademik dan kemahiran insaniah.

Majlis graduasi kali ini juga turut membabitkan 54 graduan Diploma Pengurusan Hotel yang juga adalah anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), markas pengkalan Lumut, Perak.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Mac 2022 @ 6:40 AM