KECANGGIHAN teknologi memudahkan pembelajaran. - FOTO Google
KECANGGIHAN teknologi memudahkan pembelajaran. - FOTO Google
Suliati Asri


Kesediaan universiti tempatan dalam menawarkan program pengajian secara digital dijangka mampu menarik pelajar antarabangsa untuk menyambung pengajian di negara ini pada masa akan datang.

Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Profesor Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran berkata, secara umumnya, universiti awam (UA) dan swasta di Malaysia sudah bersedia untuk menyediakan platform digital dalam pengajaran dan pembelajaran (PdP) menerusi mod pembelajaran terbuka dan jarak jauh (ODL).

Menerusi penyediaan mod ODL secara berkesan katanya, diharap akan mampu menarik minat pelajar asing untuk melanjutkan pengajian tinggi di universiti tempatan.

"Apabila mengikuti pengajian secara ODL, pelajar antarabangsa mempunyai pilihan untuk tidak berada di Malaysia secara fizikal dan boleh belajar dari negara masing-masing.

"Kemudahan di universiti yang disokong kerajaan dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) juga akan menjadi daya penarik buat pelajar di samping kos pengajian serta sara hidup yang berpatutan di Malaysia," katanya.

Ditanya mengenai tahap PdP dalam talian di Malaysia, Dr Mohammad Shatar berkata, jika dilihat secara umum, pandemik Covid-19 secara tidak langsung mempercepatkan lagi proses penyediaan, pelengkapan kemudahan yang diperlukan untuk tujuan dalam talian di institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta di negara ini.

"Kalau dilihat, proses pendigitalan di Malaysia ini semakin rancak berlaku selepas pandemik Covid-19 melanda negara. Sebelum ini, kita sudah bersedia, tetapi agresifnya kita menambah baik adalah selepas pandemik.

"Dalam kalangan IPT swasta pula, sudah pasti mereka sentiasa bersedia dan mereka berada dalam laluan yang betul. Sama ada pandemik atau tidak mereka sudah bersedia.

"Tetapi, dalam kalangan IPT awam pula, kita juga berada dalam keadaan sama cuma pandemik ini membolehkan kita mempercepatkan proses pendigitalan terbabit," katanya.

Komitmen daripada KPT di bawah kepemimpinan Datuk Seri Dr Noraini Ahmad akui Dr Mohammad Shatar, juga sudah menyediakan pelbagai kemudahan dan tambahan peruntukan untuk tujuan digital dalam PdP.

"Jadi, secara umumnya kita boleh menyatakan bahawa IPT awam dan swasta sudah bersedia dan akan terus bersedia serta melengkapkan, memperkasakan, memperkuat pendigitalan atau proses digital dalam PdP di Malaysia.

DENGAN pengajian secara ODL, pelajar antarabangsa mempunyai pilihan untuk tidak berada di Malaysia secara fizikal dan boleh belajar dari negara masing-masing. - Gambar hiasan
DENGAN pengajian secara ODL, pelajar antarabangsa mempunyai pilihan untuk tidak berada di Malaysia secara fizikal dan boleh belajar dari negara masing-masing. - Gambar hiasan

"Saya juga yakin dengan komitmen kementerian dan kerajaan untuk terus menerbangkan PdP dalam konteks pendigitalan ini akan berlaku dari semasa ke semasa kerana ia bukan satu titik penamatan, tetapi ia adalah satu proses yang berterusan.

"Bermakna penambahbaikan akan sentiasa dilakukan demi mencapai hasrat dan cita-cita negara menjadi hab pendidikan global pada masa akan datang," katanya.

Sebagai entiti dan agensi yang mengawal selia kualiti pendidikan tinggi negara, kata Dr Mohammad Shatar, pihaknya melihat pendigitalan adalah salah satu komponen baharu dalam era ini untuk menarik lebih ramai pelajar dari luar menimba ilmu di Malaysia.

Oleh itu, menurutnya sudah pasti elemen pendigitalan ini adalah komponen yang sangat penting.

"Hari ini dengan teknologi yang ada, jarak dan fizikal bukan lagi faktor utama ataupun faktor yang menjadi penghalang kepada warga dunia untuk melanjutkan pengajian di mana juga.

"Justeru, dengan penambahbaikan, kehebatan dan kekuatan pendigitalan dalam konteks PdP di Malaysia, pastinya kita boleh menawarkan pengajian kepada warga dunia yang ingin melanjutkan pengajian tanpa perlu hadir ke sini secara fizikal kerana ia boleh dibuat secara dalam talian dengan kehebatan pendigitalan dalam konteks PdP.

"Pastinya MQA sebagai agensi yang berusaha untuk memartabatkan dan meningkatkan kualiti pendidikan negara berharap supaya pendigitalan dalam konteks PdP ini mampu menjadi daya tarikan luar biasa kepada pelajar antarabangsa. Perkara ini juga adalah satu komitmen yang akan diberikan perhatian serius oleh pihak MQA," katanya.

Sementara itu, dalam membincangkan pendidikan digital masa depan di Malaysia, Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Ts Dr Mohd Ekhwan Toriman berkata, KPT sudah merencanakan agenda pendigitalan sejak awal di bawah 10 lonjakan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 Pendidikan Tinggi (PPPM PT) dan Kerangka Pengajian Tinggi Malaysia 4.0.

Beliau berkata, dengan polisi di bawah lonjakan ketujuh dan kesembilan PPPM (PT), Malaysia akan jadi hab bagi pembelajaran digital masa depan, namun lebih utama ialah bagaimana untuk melaksanakan kurikulum bersifat organik di bawah inisiatif kurikulum tersedia untuk masa depan.

Katanya, dalam inisiatif itu, universiti memerlukan lonjakan terutama membabitkan penilaian berterusan yang mana pelajar akan didedahkan dengan pelbagai jenis penilaian yang tidak bergantung kepada kaedah konvensional.

JARAK dan fizikal bukan lagi faktor utama penghalang warga dunia untuk melanjutkan pengajian di mana juga. - Gambar hiasan
JARAK dan fizikal bukan lagi faktor utama penghalang warga dunia untuk melanjutkan pengajian di mana juga. - Gambar hiasan

"Kami yakin pembelajaran secara digital di Malaysia akan terus berkembang dan digitalisasi masa depan dalam konteks pembelajaran akan menekankan kepada kemahiran tersendiri yang menepati revousi industri 4.0 (IR4.0) dan inovasi masa depan.

"Inovasi itu membabitkan tiga aspek iaitu pertama, dunia fizikal (penggunaan teknologi IR4.0 seperti pengendali dron, pemprograman robot), kedua dunia digital (program bersifat realiti maya (VR) dan realiti tambahan (AR) dan ketiga, dunia biologikal," katanya ketika menjadi panelis pada Seminar Pendidikan Digital Masa Depan di Minggu Pendidikan Ekspo 2020 Dubai.

Selain Mohd Ekhwan, dua lagi panelis seminar itu ialah Naib Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM), Profesor Dr Roziah Mohd Janor dan Dekan Pusat Pengajian Siswazah Universiti Teknologi Petronas (UTP), Profesor Madya Ir Dr Rosdiazli Ibrahim.

Seminar berkenaan dikendalikan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Profesor Datuk Dr Husaini Omar sebagai moderator.

Dr Roziah berkata, pihaknya sudah merangka Pelan Tindakan Kampus Digital UiTM, Education5.0@UiTM bagi menjadikan UiTM sebagai universiti terkemuka global (GRU) menjelang 2025.

Menurutnya, UiTM sudah melaksanakan persediaan yang dijadualkan akan dilaksanakan sepenuhnya menjelang 2025.

"Ironinya, Pelan Tindakan Digital yang disasarkan untuk dicapai pada 2025 sudah dikontrak dan diaktifkan dalam tempoh dua tahun selepas pandemik Covid-19 berlaku menjadikan kami bersedia sebelum 2025, sekali gus mempercepatkan proses untuk mencapai aspirasi GRU menjelang 2025.

"Kami hanya mempunyai dua minggu untuk menyelesaikan pendigitalan PdP menyebabkan UiTM melanjutkan semester untuk menguruskan ODL, namun kami mengalu-alukan langkah yang tidak dijangka ini dalam menerima pendigitalan PdP kerana ia membantu kami untuk memudahkan dan menguruskan 186, 000 pelajar di 35 lokasi seluruh negara.

"Ini bermakna kami kini sudah memulakan sepenuhnya pengurusan ruang digital," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Disember 2021 @ 7:00 AM