NURZAHRA Alyaa (tiga dari kanan) memenangi ketiga-tiga kategori yang dipertandingkan pada Program Penilaian Karya Penerbitan Muda.
NURZAHRA Alyaa (tiga dari kanan) memenangi ketiga-tiga kategori yang dipertandingkan pada Program Penilaian Karya Penerbitan Muda.
Suliati Asri

Dalam usaha berterusan menggalakkan minat menghasilkan karya kreatif, Universiti Islam Selangor (UIS) menganjurkan Program Penilaian Karya Penerbitan Muda.

Penilaian Karya Penerbit Muda adalah program inisiatif Jabatan Bahasa Inggeris dan Komunikasi, Fakulti Pengurusan dan Muamalah.

Selain salah satu usaha berterusan menggalakkan minat untuk menghasilkan karya kreatif dalam kalangan pelajar, program ini juga dianjurkan bagi mengesan bakat penerbit muda, sekali gus mengiktiraf pelajar yang prolifik dan mapan.

Melalui program ini juga, bakat dan hasil karya pelajar dalam bidang penyiaran diraikan dan diiktiraf berdasarkan beberapa kategori iaitu Suara Latar terbaik, Karya Suntingan terbaik dan Karya Penerbit Muda terbaik.

Penilaian Karya Penerbitan Muda UIS ini adalah program yang diberi nafas baharu selepas hampir dua tahun pelajar terkekang akibat pandemik Covid-19, sekali gus pembelajaran hanya berorentasikan secara dalam talian.

Dengan pelaksanaan program ini pelajar di lihat lebih produktif dan agresif untuk menonjolkan bakat masing-masing dari aspek persembahan karya.

Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Fakulti Pengurusan dan Muamalah UIS, Dr Hazlin Falina Rosli berkata, program ini diadakan untuk meraikan dan memberi pengiktirafan kepada pelajar.

Dr Hazlin yang juga penyelaras program berkata, program ini dianjurkan bagi menonjolkan kreativiti serta bakat yang ada sepanjang tempoh pengajian untuk diaplikasikan melalui program ini.

"Untuk program kali ini, seramai 20 pelajar terbabit dengan membawa genre dokumentari, laporan khas dan majalah TV.

"Ketiga-tiga anugerah itu dimenangi pelajar semester enam Ijazah Sarjana Muda Komunikasi (Penyiaran), Nurzahra Alyaa Noordin, sekali gus melayakkannya membawa pulang hadiah berupa wang tunai RM300 beserta piala pusingan dan sijil," katanya.

Program kali ini diadili tujuh juri termasuk seorang juri jemputan iaitu Dzulkarnain Abdullah dan pensyarah penyiaran daripada UIS.

Selain itu, perkongsian berkaitan Revolusi Media turut diselitkan dalam program terbabit bagi mencambahkan ilmu serta pendedahan berkaitan industri penyiaran semasa kepada pelajar.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Mei 2023 @ 6:45 AM