PENYERTAAN belia rendah dalam industri ternakan mungkin disebabkan pelbagai kekangan.
PENYERTAAN belia rendah dalam industri ternakan mungkin disebabkan pelbagai kekangan.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin


Landskap digital penternakan negara dapat direalisasikan melalui pendedahan pemain industri terhadap kepentingan teknologi.

Terdapat tiga elemen utama dalam pendigitalan ini iaitu penderia biometrik ('biometric sensor'), data raya ('big data') dan rantai blok ('block chain').

Melalui penderia biometrik, teknologi pendigitalan melalui kecekapan 5G dapat membantu penternak meningkatkan produksi dan kecekapan operasi penternakan dengan menyediakan akses kepada data berkaitan suhu persekitaran kandang, kesihatan, pergerakan serta perilaku ternakan dalam masa nyata (real-time).

Setiausaha, Kluster Pertanian dan Sekuriti Makanan, Majlis Profesor Negara Profesor Dr Anjas Asmara Samsudin berkata, teknologi pendigitalan berperanan penting dalam pengoperasian ladang pintar melalui penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam memantau dan mengawal aktiviti ternakan.

Beliau berkata, kepantasan dan latensi rendah 5G membolehkan aliran data pantas daripada sensor ternakan dan kamera ke sistem AI yang boleh mengesan sebarang isyarat kesihatan tidak normal serta memberi amaran kepada penternak.

"Justeru itu, tindakan segera yang boleh dilakukan penternak terbabit ialah dengan cara mengasingkan ternakan sakit supaya tidak menjangkiti ternakan lain yang sihat.

"Langkah mitigasi yang pantas melalui masa nyata ini membolehkan sebarang kerugian disebabkan kematian ternakan dapat dielakkan bagi mengurangkan pembaziran sumber.

"Selain itu, bagi mengekal aliran bekalan makanan ternakan, pendigitalan membolehkan penggunaan sistem pengurusan inventori yang lebih efisien," katanya.

Menurutnya, penggunaan penderia pada stok makanan, ternakan dan alat kawalan inventori bersepadu membolehkan pengurusan persediaan makanan ternakan melalui teknologi pemakanan persis ('precision feeding') dapat dijalankan dengan berkesan. Ini juga dapat mengurangkan pembaziran serta kos.

Jelasnya, data yang dicerap melalui penderiaan biometrik akan disimpan dalam bentuk data raya. Di sini penggunaan algoritma diperlukan dalam membuat ramalan dan corak aktiviti serta peri laku ternakan supaya kecekapan pengurusan dapat dipertingkatkan lagi pada masa akan datang.

"Teknologi pendigitalan rantai blok digunakan dalam aktiviti penjejakan ('traceability') dan kebolehkesanan ('tracking') produk ternakan sepanjang rangkaian bekalan bagi membolehkan pengedaran dan logistik yang lebih efisien.

"Melalui penjejakan ini, ia boleh meningkatkan keselamatan makanan sekiranya berlaku sebarang kerosakan produk dan keracunan disebabkan mengandungi bahan memudaratkan. Maka kita boleh menjejak daripada mana sumber itu dihasilkan.

Dr Anjas Asmara yang juga Pensyarah Jabatan Sains Haiwan, Fakulti Pertanian, Universiti Putra Malaysia berkata, cabaran utama mengintegrasikan teknologi 5G dalam sektor penternakan adalah kos infrastruktur 5G dan perolehan peranti berteknologi tinggi.

Katanya lagi, isu keselamatan data dan perlindungan privasi juga adalah faktor penting yang harus diambil kira dalam pelaksanaan teknologi 5G terhadap sektor penternakan.

"Tahap kesediaan pengguna untuk teknologi ini juga amat penting. Penternak juga mungkin memerlukan pendidikan dan latihan tambahan untuk memahami dan mengendalikan teknologi digital itu.

"Menurut statistik tenaga buruh yang dikeluarkan Jabatan Statistik Negara pada 2021, daripada 15.06 juta penduduk yang bekerja hanya 10.3 peratus terbabit dalam sektor pertanian.

Manakala majoriti dalam sektor perkhidmatan (64.9 peratus) dan pembinaan (16.6 peratus).

"Daripada keseluruhan 44 peratus golongan belia dalam negara, hanya 15 peratus sahaja yang terbabit dalam sektor pertanian (DAN2.0)," katanya.

Beliau berkata, sebagai contoh, majoriti pengusaha industri ternakan terutama ternakan ruminan semasa terdiri daripada mereka yang berusia melebihi 50 tahun.

"Golongan ini menyebabkan penggunaan teknologi moden tidak dioptimumkan dalam sektor pengeluaran makanan, sekali gus membantutkan pengeluaran secara komersial.

"Penyertaan yang rendah oleh golongan belia mungkin disebabkan pelbagai kekangan seperti persepsi kurang baik terhadap sektor agro makanan.

"Selain itu, persekitaran kurang kondusif dari segi cabaran mendapatkan bantuan kewangan untuk membeli peralatan dan mesin yang menggunakan teknologi digitalisasi ini seperti dron, sensor, jentera tanpa pemandu dan sebagainya," katanya.

Tambahnya, oleh yang demikian pemodenan landskap industri ternakan melalui penggunaan digitalisasi turut disokong penggunaan Internet pelbagai benda (IoT), kecerdasan buatan dan teknologi terkini, dilihat mampu meningkatkan pembabitan golongan muda.

"Ini sekali gus akan meningkatkan kecekapan dan mengurangkan kos pengeluaran bagi menjana pendapatan yang lebih tinggi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Disember 2023 @ 6:55 AM