GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Prof Ts Dr Rusli Abdullah


Kuala Lumpur: Pertanian pintar (smart agriculture) merujuk kepada penggunaan dan pengintegrasian teknologi terkini dalam bidang pertanian.

Ia selari dengan perkembangan revolusi perindustrian (IR) 4.0 yang bertujuan membantu pihak berkepentingan seperti petani, pentadbir, dan semua entiti di dalam ekosistem atau industri pertanian supaya saling bekerjasama bagi meningkatkan kualiti dan kuantiti penanaman dan pengeluaran hasil ke tahap optimum.

Penggunaan teknologi terkini di dalam pertanian bermula di peringkat merancang, melaksana dan memantau aktiviti pada setiap masa, di mana-mana saja dengan menggunakan sistem aplikasi pengurusan maklumat (Agriculture Information System – AIS) yang dipasang ke peranti komputer atau telefon pintar.

Sistem AIS turut digunakan untuk mengumpul, menyimpan serta memproses data ke dalam pelbagai bentuk maklumat agar dapat digunapakai oleh pihak berkepentingan bagi tujuan membuat keputusan sama ada secara dalam talian atau masa nyata.

Dalam konteks pertanian pintar di Malaysia, terdapat pelbagai teknologi yang boleh digunakan untuk pemerkasaan aktiviti pertanian seperti robot atau dron bermula dari sistem pengesanan berasaskan Internet kebendaan (Internet of things) bagi tujuan perkiraan cuaca hingga memantau tanaman dan hasil terutama di kawasan luas seperti sistem perladangan berskala besar.

Malaysia harus mencontohi Australia, China serta negara jiran kita Thailand dan Singapura yang melancarkan pelbagai inisiatif untuk mengintegrasikan teknologi pertanian pintar di dalam kehidupan seharian.

Ini termasuklah mempromosikan industri pertanian berbentuk pertanian bandar (urban agriculture) seperti hidropinik, hortikultur dan sistem akuaponik.

PROF Ts Dr Rusli Abdullah.
PROF Ts Dr Rusli Abdullah.

Selaras dengan perkembangan teknologi komunikasi tanpa wayar terkini seperti 5G, ia juga turut menyumbang ke arah pemerkasaan pertanian pintar yang membolehkan pengguna mempelajari ilmu pertanian baharu dan terkini secara maya atau masa nyata yang bersifat Augmented Reality dan Virtual Reality.

Malah penggunaan data raya (big data) dan kecerdasan buatan (artificial intelligence) berupaya mengintegrasikan sistem pengurusan maklumat pertanian turut menyumbang kepada analisis data raya secara analitik.

Ia bagi proses pemantauan dan peramalan data untuk meningkatkan pengeluaran dan pemasaran hasil pertanian di peringkat hiliran dan huluan sama ada secara dalam talian atau elektronik.

Sehubungan dengan itu, bagi memastikan penggunaan teknologi pertanian pintar berfungsi dengan lestari lagi berkualiti, kajian menunjukkan bahawa penggunaan teknologi pintar memerlukan penyediaan prasarana ekosistem yang sistematik seperti plug and play.

Ia akan memudahkan semua pihak melakukan proses perancangan dan pelaksanaan tanaman serta proses penuaian menjadi lebih mudah dan efektif.

Peranan yang dimainkan oleh pengusaha atau semua pemegang taruh di dalam konteks pertanian pintar juga turut menyumbang kepada pertanian digital yang menggalakkan penggunaan teknologi aplikasi mudah alih dapat digunapakai dan dicapai di mana-mana secara sistem berawan (cloud-based system) pada setiap masa iaitu hanya melalui satu tekanan butang sistem di hujung jari saja.

Maka bagi memastikan industri pertanian pintar dapat dilestarikan dengan berkesan dan efisien, agensi kerajaan, swasta serta petani perlu melihat kepentingan penggunaan teknologi terkini IR4.0 di dalam segenap aspek industri pertanian mereka.

Sebagai pusat pusat pengajian tinggi, Universiti Putra Malaysia (UPM) juga mengambil inisiatif bagi memastikan graduan yang dikeluarkan berpengetahuan dan berkemahiran terutamanya bagi aspek keilmuan berasaskan teknologi pintar ini.

Dengan itu, industri pertanian negara akan menjadi lebih maju ke hadapan di samping meningkatkan hasil pertanian ke arah pertanian mampan dan jaminan keselamatan makanan lestari untuk semua.

Penulis adalah Prof di Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat dan Penyelidik Bersekutu di Institut Pengajian Sains Sosial (IPSAS) UPM

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Oktober 2021 @ 4:16 PM