SAHRUDDIN (dua, kiri) mendengar penerangan daripada Afif (kanan) mengenai teknologi IoT. FOTO Bernama
SAHRUDDIN (dua, kiri) mendengar penerangan daripada Afif (kanan) mengenai teknologi IoT. FOTO Bernama
BERNAMA

Bukit Kayu Hitam: Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) akan memperluaskan penggunaan teknologi untuk aktiviti penanaman nanas di negara ini yang mampu memberikan impak positif kepada produktiviti pengeluaran nanas negara.

Pengerusi LPNM Datuk Dr Sahruddin Jamal berkata, ia sejajar dengan hasrat kerajaan dalam usaha mendepani cabaran Revolusi 4.0 yang sedang berkembang pesat di seluruh dunia termasuk dalam sektor pertanian.

Beliau berkata, teknologi yang sesuai digunakan untuk penanaman nanas adalah Internet of Things (IoT) seperti dibangunkan oleh Syarikat Singularity Aerotech Asia Sdn Bhd bagi meningkatkan kecekapan dalam pertanian.

"Apa yang paling penting bagi teknologi IoT ini adalah ia secara keseluruhannya dapat menjimatkan kos operasi ladang melalui data keperluan sebenar yang tepat seperti diperlukan oleh tanaman nanas," katanya kepada pemberita ketika melawat ladang nanas Ber One Agro di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Pembangunan) LPNM Mohd Khairuzamri M Salleh dan Ketua Pembangunan Perniagaan Singularity Aerotech Asia Sdn Bhd Afif Badhrulhisham.

SAHRUDDIN (tiga, kiri) melihat tanaman nanas menggunakan kaedah IoT di Changlun bersama Zulkafli (dua, kanan). FOTO Bernama
SAHRUDDIN (tiga, kiri) melihat tanaman nanas menggunakan kaedah IoT di Changlun bersama Zulkafli (dua, kanan). FOTO Bernama

Ladang nanas Ber One Agro seluas 16.187 hektar (40 ekar) itu adalah yang pertama di Kedah menggunakan teknologi IoT sejak enam bulan lepas.

Sahruddin berkata ladang nanas yang menggunakan sistem Smart Tani itu membolehkan data berkaitan agronomi tanaman seperti peratusan kandungan baja, pH tanah, kelembapan, suhu serta taburan hujan diperoleh bagi menentukan keperluan sebenar tumbesaran pokok nanas melalui IoT.

"Dengan sistem Smart Tani ini, data-data lokal yang dikumpul oleh sensor di plot tanaman akan dihantar ke satu sistem rangkaian Sigfox Cloud yang kemudiannya dihimpunkan di dalam satu platform dinamakan Satu Dashbord.

"Semua data dapat dilihat dan dinilai dengan mudah hanya melalui aplikasi telefon pintar atau tablet walau di mana jua kita berada bagi menentukan keperluan sebenar di lapangan.

"Dengan cara demikian, pemilik ladang dapat melaksanakan keperluan kerja di ladang melalui arahan kepada pekerja mereka walaupun tanpa beliau turun ke ladang," katanya.

Beliau berkata, penggunaan teknologi terkini yang dibantu dengan teknologi digital seperti IoT mampu meningkatkan keluasan tanaman nanas negara kepada 20,000 hektar sejajar dengan sasaran LPNM dalam Rancangan Malaysia Ke-12 bagi tempoh 2021 hingga 2025 berbanding 16,000 hektar pada 2019.

"Teknologi dalam sektor tanaman nanas juga merangkumi aspek teknikal dalam pengurusan tanaman seperti pembajaan menggunakan dron, kaedah pembajaan seperti penggunaan baja foliar sepenuhnya, penggunaan kejenteraan seperti boom sprayer, teknologi aruhan, pendebungaan, pengurusan kawalan rumpai, pengurusan lepas tuai dan lain-lain," katanya.

AFIF menunjukan teknologi IoT yang  digunakan untuk penanaman nanas di Changlun. FOTO Bernama
AFIF menunjukan teknologi IoT yang digunakan untuk penanaman nanas di Changlun. FOTO Bernama

Sementara itu, Mohd Khairuzamri berkata, setakat ini penggunaan teknologi IoT telah diperluas bagi penanaman nanas di Negeri Sembilan dan Selangor selain Kedah maka beliau mengharapkan lebih ramai pengusaha ladang nanas di negara ini mengguna pakai teknologi berkenaan.

"Ini penting untuk faedah jangka panjang kepada pemilik ladang nanas dalam pengurusan ladang mereka melalui pendekatan menggunakan IoT ini," katanya sambil menambah pengusaha ladang yang berminat dengan penggunaan IoT boleh merujuk kepada LPNM sebagai pengantara dalam usaha mendapatkan teknologi berkenaan.

Dalam pada itu, pemilik ladang nanas Ber One Agro merangkap Pengarah Ber One Agro Sdn Bhd Zulkafli Saidin berkata, selepas memasang teknologi IoT di ladangnya, kerja pengurusan ladang menjadi sangat mudah.

Zulkafli berkata sebelum penggunaan tekonologi itu, pihaknya hanya membuat jangkaan namun kini boleh mendapatkan data tepat termasuk daripada segi kandungan baja dan juga pH tanah selain suhu.

"Semua di hujung jari sahaja... saya buka telefon sahaja boleh tengok data-data penting yang mana contohnya pH tanah, selain itu kalau buah nanas saya tidak manis, saya boleh buka balik data untuk melihat kenapa boleh menyebabkan keadaan itu berlaku," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 April 2021 @ 5:30 PM