KOLAM tadahan yang menggunakan KL-4 sedang mengepam air ke lokasi ladang.
KOLAM tadahan yang menggunakan KL-4 sedang mengepam air ke lokasi ladang.
Mohamad Hussin

Sumber bekalan air antara terpenting bagi tanaman dalam meningkatkan tahap kesuburan tanah, sekali gus turut meningkatkan hasil tanaman.

Selain kebergantungan kepada hujan, langkah awal perlu diambil sekiranya terputus bekalan air apabila berlaku musim kemarau dan fenomena cuaca El Nino.

Menyedari hakikat itu, Koperasi Ladang Pekebun-Pekebun Kecil Malaysia Berhad (KLPKM) mengambil inisiatif mewujudkan sistem teknologi pengairan bersepadu sebagai sumber bekalan air bagi tanaman kelapa sawit.

Penggunaaan KL Green pam (KL-4) adalah pam air yang menggunakan kuasa tujahan air manakala KL solar pam iaitu pam air dengan menggunakan solar termasuk penggunaan jentera Shakerator.

KL Green Pam sedang beroperasi.
KL Green Pam sedang beroperasi.

Projek yang dijalankan sejak dua tahun lalu itu berjaya membekalkan sumber bekalan air membabitkan keluasan 1,965.32 hektar ladang membabitkan empat blok iaitu blok A, B, C dan D di Estet Koperasi Ladang Sungai Ambat, Mersing, Johor.

Menurut Setiausaha KLPKM, Mohd Damanhuri Mohd Jamli, sebanyak 18 unit pam dan empat solar pam dipasang di kawasan ladang berkenaan bagi memantapkan sistem pengairan bersepadu.

Beliau berkata, harga bagi satu unit pam KL-4 ialah RM10,000 sementara KL solar pam pula RM8,000 mampu mengepam air hingga dapat menyalurkan air di puncak bukit.

TANGKI besar disediakan untuk menyimpan air yang disalurkan melalui pam.
TANGKI besar disediakan untuk menyimpan air yang disalurkan melalui pam.

“Kawasan ladang terdiri daripada 30 peratus kawasan beralun sementara 70 peratus permukaan tanah yang berbukit. Air adalah penyumbang utama terbesar untuk peningkatan hasil tanaman kelapa sawit.

“Kelebihan utama pam berkenaan direka khusus menggunakan tenaga graviti. Pam ini beroperasi dan digerakkan kuasa tujahan air daripada sesuatu ketinggian yang diperlukan.

“Lokasi pemasangan mestilah strategik dan mempunyai kecerunan yang cukup,” katanya yang ditemui sempena lawatan rakan niaga FGV Holdings Berhad (FGV) di KLPKM Sungai Ambat, baru-baru ini.

PAM air menggunakan solar.
PAM air menggunakan solar.

Hadir sama, Pengurus Besar KLPKM, Mohd Tarmizi Mohd Nordin, Ahli Lembaga Pengarah KLPKM, Mohd Syahrullaizam Mohamad Aris dan Pengurus Perladangan KLPKM, Samsudin Saat.

Mohd Damanhuri berkata, pihaknya mengambil inisiatif itu bagi menangani kos operasi kerana ia tidak menggunakan tenaga elektrik, motor atau bahan bakar yang diperlukan untuk operasi pam ini.

“Sistem pengairan bersepadu turut menggunakan jentera Shakerator untuk kawasan rata dan beralun yang mempunyai akses jentera memasuki kawasan berkenaan serta pembinaan lubang kecil silt pit untuk memerangkap air hujan.

“Bagi kawasan yang mempunyai kecerunan, kami menggunakan pam air KL-4 untuk mengepam air ke puncak bukit dan dialirkan secara graviti.

“Kawasan yang tidak mempunyai kecerunan pula, KLPKM menggunakan KL solar pam. Ia mampu beroperasi lapan jam tanpa henti dan menjadikannya amat berbeza dengan pam lain yang terdapat di pasaran,” katanya.

JENTERA Shakerator digunakan untuk kawasan rata dan beralun.
JENTERA Shakerator digunakan untuk kawasan rata dan beralun.

Menurutnya, fungsi pam KL-4 yang dipasang itu akan mengepam air ke puncak bukit yang tinggi. Dari puncak bukit, air secara graviti dialirkan semula ke kawasan ladang menggunakan saluran paip dan parit kecil.

“Kolam kecil juga dibina di atas puncak bukit untuk menyimpan air apabila diperlukan. Satu unit pam KL-4 mampu mengepam air ke puncak bukit pada kapasiti minimum 10 liter seminit iaitu 600 liter/jam atau 14,000 liter/hari.

RAKAN niaga FGV tertarik melihat dron yang digunakan KLPKM dalam melakukan aktiviti ladang.
RAKAN niaga FGV tertarik melihat dron yang digunakan KLPKM dalam melakukan aktiviti ladang.

“Pembinaan empangan mini salah satu cara untuk mengekalkan kelembapan tanah dan membekalkan sumber air di ladang kelapa sawit. Ia bertujuan bagi mengurangkan kelajuan air sewaktu musim hujan dan mengurangkan kerosakan kepada parit, culvert dan jambatan.

“Kebergantungan air hujan juga dapat dikurangkan kerana sumber air diperoleh dari parit, air sungai atau kolam tadahan yang berada di kawasan tanah yang lebih rendah.

“Pam ini juga boleh dikategorikan sebagai teknologi hijau yang memberi manfaat kepada alam sekitar kerana beroperasi tanpa menggunakan bahan bakar,” katanya.

PENGGUNAAN dron untuk aktiviti ladang.
PENGGUNAAN dron untuk aktiviti ladang.

Sementara itu, Mohd Tarmizi berkata, pada pertengahan tahun 2013 strategi dirangka untuk meningkat­kan hasil di mana fokus utama diberikan kepada pengairan dan infrastruktur (jalan serta parit di kawasan sempadan).

Menurutnya, sasaran adalah sekurang-kurangnya setara dengan pengeluaran purata sawit di Johor. Pemasangan pam berkenaan memberi kesan positif terhadap peningkatan hasil sawit.

“Sejak menggunakan sistem teknologi pengairan bersepadu ini, hasil sawit meningkat sebanyak 24.9 metrik tan/perhektar berbanding 15 hingga 17 metrik tan/perhektar sebelum ini.

KLPKM turut menternak lembu di Ladang Sungai Ambat, Mersing, Johor.
KLPKM turut menternak lembu di Ladang Sungai Ambat, Mersing, Johor.

“Selain tanaman sawit, kami turut mengusahakan ternakan 1,600 ekor lembu, burung walet, ayam kampung, input pertanian seperti baja, racun dan peralatan pertanian.

“KLPKM turut menawarkan perkhidmatan pengurusan ladang, tapak semaian kelapa sawit dan membeli serta menjual buah tandan kelapa sawit.

“Malah projek terbaru kami ialah tanaman durian Musang King membabitkan 2,500 pokok yang akan ditanam di kawasan ladang Sungai Ambat,” katanya yang mempunyai seramai 4,522 ahli di seluruh negara.

MOHD Syahrullaizam (tiga dari kiri), Mohd Damanhuri, Mohd Tarmizi dan Samsudin (tiga dari kanan)
MOHD Syahrullaizam (tiga dari kiri), Mohd Damanhuri, Mohd Tarmizi dan Samsudin (tiga dari kanan)

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Julai 2018 @ 2:54 PM