Fairuz Mohd Shahar

Putrajaya: Sebanyak 50 peratus daripada RM500 juta dana Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN Nasional) akan diperuntukkan kepada usahawan wanita selaras dengan Tahun Memperkasakan Wanita 2018.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, menerusi langkah itu, sebanyak RM250 juta daripada jumlah keseluruhan peruntukan berkenaan akan digunakan bagi membantu usahawan wanita memulakan atau mengembangkan perniagaan mereka.

“Seperti diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, 2018 adalah Tahun Memperkasakan Wanita. Selain menetapkan sasaran 30 peratus wanita di peringkat pembuat keputusan, satu lagi perkara penting ialah menggalakkan golongan terbabit mempunyai sumber kewangan sendiri.

“Sebagai contoh, ada banyak kes isteri yang ditinggalkan suami yang menjadi pencari nafkah tunggal dalam keluarga atau ibu tunggal yang bertungkus-lumus untuk membina kehidupan yang lebih baik.

AHMAD Shabery (tengah) bersama penerima bantuan TEKUN ketika majlis perasmian Seminar Asas Keusahawanan Negeri Selangor dan pelancaran aplikasi telefon pintar, TEKUN Pay  di Putrajaya.
AHMAD Shabery (tengah) bersama penerima bantuan TEKUN ketika majlis perasmian Seminar Asas Keusahawanan Negeri Selangor dan pelancaran aplikasi telefon pintar, TEKUN Pay di Putrajaya.

“Jadi, pemerkasaan ini akan memberi mereka keupayaan membina hidup sendiri selain mempunyai sumber kewangan sendiri,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Seminar Asas Keusahawanan Negeri Selangor dan pelancaran aplikasi telefon pintar, TEKUN Pay di sini, semalam.

Turut hadir Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman dan Pengerusi TEKUN Nasional Datuk Norazita Abdul Rahman.Ketika pembentangan Bajet 2018, Perdana Menteri mengumumkan peruntukan sebanyak RM500 juta bagi TEKUN Nasional yang akan membantu usahawan kecil mengembangkan perniagaan mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Februari 2018 @ 9:25 AM