JALAN Ahli Bait  dipenuhi ranjau perjuangan dalam menyebarkan ilmu, memperteguh amal ibadah dan menegakkan dakwah.
JALAN Ahli Bait dipenuhi ranjau perjuangan dalam menyebarkan ilmu, memperteguh amal ibadah dan menegakkan dakwah.
Oleh Dr Mohd. Khafidz Soroni

Kewujudan zuriat keturunan baginda Nabi SAW melalui anak-anak Fatimah RA, iaitu Hasan RA dan Husain RA pada hari ini adalah satu perkara yang tidak boleh kita nafikan. Kejahilan sesetengah pihak mengenai aspek ini tidak menjadi hujah untuk menafikannya. Antara dalil jelas mengenai wujudnya keberadaan mereka ialah pelbagai hadis berkaitan Imam al-Mahdi yang akan muncul di akhir zaman menyatakan bahawa beliau adalah daripada keturunan Nabi SAW. Antara sabdanya: "Dunia tidak akan hancur dan berakhir sehinggalah seorang lelaki daripada Ahli Baitku menguasai bangsa Arab, yang namanya juga menyamai namaku." (Riwayat Ahmad, Abu Dawud dan at-Tirmizi, katanya: Hasan sahih)

 Ini menunjukkan bahawa keturunan mulia baginda SAW yang disebut sebagai Ahli Bait sentiasa ada dan dipelihara sepanjang zaman sehingga apabila munculnya Imam al-Mahdi perkara itu dapat disahkan sebagai benar. Apatah lagi banyak bukti berbentuk dokumentasi data dan saksi yang menunjukkan kebenaran nasab keturunan mereka. Bukti-bukti ini kemas dijaga oleh badan yang berperanan merekodkan dan menjaga nasab keturunan mereka daripada satu generasi ke satu generasi sehingga hari ini. Misalnya di Timur Tengah, nasab keturunan mereka berada di bawah pemantauan Niqabah al-Asyraf. Manakala di Nusantara, ia berada di bawah pemantauan Pertubuhan Rabitah 'Alawiyyah.

 Rekod ini cukup penting sebagai bukti, selain turut membabitkan beberapa hukum berkaitan dengannya. Adapun bukti lain seperti kaedah pembuktian melalui ujian DNA (Deoxyribonucleic Acid), walaupun boleh diterima sebagai bukti mengenai keturunan seseorang dalam jarak tempoh masa yang dekat, namun ia masih tidak dapat diterima sebagai bukti tepat mengenai susur galur keturunan seseorang dalam jarak tempoh masa yang sangat jauh, apatah lagi melebihi tempoh seribu tahun. Meskipun demikian, ada juga segelintir yang masih percaya dengan bukti rapuh sebegitu bagi tujuan untuk menjelekkan pihak tertentu apabila keputusan ujian DNA didapati berbeza.        

 Dari segi akidah, majoriti mereka yang dikatakan nasab keturunan mereka sampai kepada Nabi SAW berpegang dengan fahaman Ahlus Sunnah Waljamaah (ASWJ). Namun, tidak sedikit juga didapati mereka yang mendakwa berketurunan baginda, tetapi berpegang dengan fahaman yang bercanggah dengan ASWJ seperti Syiah, Wahhabiyyah, liberalisme dan ajaran sesat lain. Apa pun kita menyerahkan hakikat sebenar dakwaan mereka itu kepada Allah SWT. Perbuatan mendakwa sebagai keturunan Nabi SAW juga banyak dikesan berlaku dalam sejarah. Jika benar sekalipun, keturunan mulia bukanlah jaminan untuk seseorang terselamat daripada fahaman menyeleweng atau menjadi bukti terhadap kebenaran pegangannya.

 Perbuatan mendakwa sebagai keturunan baginda SAW bagi mendapatkan layanan istimewa seperti raja atau menteri bukanlah jalan sebenar yang ditunjukkan oleh golongan Ahli Bait. Jika kita teliti lembaran sejarah, jalan sebenar mereka dipenuhi dengan pelbagai ranjau perjuangan dalam menyebarkan ilmu, memperteguhkan amal ibadah dan menegakkan dakwah secara istiqamah. Sekalipun pengakuannya betul, dia tidak sepatutnya mengeksploitasi situasi atau membiarkan orang lain mengeksploitasi dirinya untuk meraih pengaruh, mengutip dana atau mengaut keuntungan.

 Bukan tidak pernah terjadi kes penipu yang mengaku sebagai keturunan Nabi SAW semata-mata untuk mendapatkan layanan istimewa dan mendapatkan sumbangan dana. Walhal, terdapat ancaman keras daripada Nabi SAW terhadap perbuatan seperti itu. Sabda baginda: "Sesiapa yang mendakwa kepada selain bapanya, sedangkan dia tahu ia bukan bapanya, maka syurga haram baginya." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Hakikatnya nasab keturunan mulia ini bukan untuk dibangga-banggakan, sebaliknya ia merupakan suatu ujian. Sama juga seperti harta kekayaan dan rupa tampan atau cantik yang dimiliki oleh seseorang. Kesemuanya itu hanyalah pinjaman daripada Allah SWT serta ujian daripada-Nya semata-mata. Kerana yang diambil kira kelak tetap amalan diri seseorang. Kerana itu Nabi SAW bersabda: "Sesiapa yang amalannya lambat (kerana malas dan berasa senang), nasab keturunannya pun tidak akan dapat mempercepatkannya (membantunya)." (Riwayat Muslim)

Allah SWT juga jelas menyebut dalam al-Quran yang bermaksud: "Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya)." (Surah al-Hujurat: 13)

Ini merupakan peringatan buat mereka yang mempunyai keturunan mulia. Adapun peringatan buat umat Islam umumnya, mereka perlulah menghormati dan menjaga hak zuriat keturunan Nabi SAW atau Ahli Bait ini. Banyak hadis diriwayatkan mengenai kelebihan dan keistimewaan mereka. Antara kitab-kitab yang boleh dirujuk mengenainya ialah Fadhl Al al-Bait oleh Imam al-Maqrizi (wafat 845H) dan Ihya' al-Mayyit bi Fadha'il Ahli al-Bait oleh Imam as-Suyuti (wafat 911H).

Penulis Ketua Unit Hadis di Institut Kajian Hadis & Akidah (Inhad), Universiti Islam Selangor (UIS

 

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Februari 2024 @ 7:00 AM