UMAT Islam dinasihatkan tidak berbalah dan mempolitikkan setiap isu yang melibatkan agama Islam
UMAT Islam dinasihatkan tidak berbalah dan mempolitikkan setiap isu yang melibatkan agama Islam
Oleh Datuk Dr Luqman Abdullah

Keputusan Mahkamah Persekutuan pada 9 Februari 2024 yang mengisytiharkan bahawa 16 kesalahan syariah dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 adalah terbatal dan tidak sah dalam kes Nik Elin Zurina lawan Kerajaan Negeri Kelantan menimbulkan banyak reaksi pelbagai pihak.

Keputusan berkaitan sebenarnya menunjukkan realiti konflik perundangan di negara kita, antara undang-undang persekutuan dengan bidang kuasa negeri. Ia adalah satu konflik yang sudah lama berlaku dalam sistem perundangan di negara kita.

Hakikatnya, perkara ini sudah pun diberi perhatian sebelum ini oleh pelbagai pihak, khususnya yang berkaitan undang-undang syariah dan memang sudah ada usaha ke arah penambahbaikan bukan sahaja dalam isu konflik perundangan ini bahkan keseluruhan isu yang berkait undang-undang dan mahkamah syariah. Malah, keputusan Mahkamah Persekutuan yang diputuskan baru-baru ini seharusnya menjadi penggerak ke arah satu usaha lebih serius dalam usaha penambahbaikan sedia ada. Oleh itu, semua pihak perlu mengambil bahagian dalam usaha ini agar perundangan syariah dan kedudukan mahkamah syariah akan terus ditambahbaik kedudukannya di negara kita.

Hakikatnya, sebelum kes ini diputuskan, kerajaan sudah menubuhkan Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi Dewan Undangan Negeri (DUN) Untuk Menggubal Undang-Undang Islam yang dipengerusikan oleh Tun Zaki Tun Azmi, mantan Ketua Hakim Negara. Jawatankuasa ini ditubuhkan untuk mengkaji isu yang berkaitan dengan kompetensi DUN dalam penggubalan undang-undang Islam serta bidang kuasa mahkamah syariah. Jawatankuasa ini akan membentangkan laporan kepada Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) dan Majlis Raja-Raja. Ia adalah satu kesinambungan daripada usaha berterusan untuk meningkatkan kedudukan mahkamah syariah dan hal berkaitan perundangan syariah.  

Malah, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj selaku Pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) sempena Mesyuarat MKI kali Ke-71 pada 15 Februari 2024, bertitah supaya semua pihak harus menghormati keputusan Mahkamah Persekutuan dan Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang utama negara. Baginda meminta untuk mencari jalan bagi mengatasi permasalahan yang timbul termasuk mengkaji keperluan meminda undang-undang atau Perlembagaan Persekutuan yang berkaitan bagi memastikan kuasa Badan Perundangan Negeri untuk menggubal undang-undang jenayah syariah termaktub secara jelas dalam Perlembagaan Persekutuan.

Baginda juga menasihatkan supaya umat Islam tidak perlu berbalah dan mempolitikkan setiap isu yang melibatkan agama Islam. Baginda menyeru umat Islam agar terus memperkukuhkan komitmen terhadap perpaduan dan ukhuwah yang menjadi teras kepada kemajuan negara.

Saranan itu disambut baik Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan mengharapkan supaya semua pihak menjunjung titah Sultan Selangor. Perkara yang sama juga disarankan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Setia Dr Mohd Na'im Mokhtar.

Dalam usaha murni penambahbaikan undang-undang syariah dan mahkamah syariah ini, institusi fatwa akan sentiasa menyokong dan membantu terutamanya dalam aspek-aspek penyelidikan hukum. Input teknikal dari segi hukum syarak adalah bidang kepakaran institusi fatwa yang akan memastikan usaha penambahbaikan ini dapat menghasilkan undang-undang dan peraturan yang selari dengan hukum syarak.

Dalam hal ini, masyarakat perlu bersama-sama menyokong usaha ke arah pemerkasaan berterusan sehinggalah mahkamah syariah dapat dimartabatkan sepenuhnya dan tidak dijadikan bahan politik yang tidak membantu proses pemerkasaan ini. Sebarang idea dan buah fikiran yang jernih boleh disalurkan kepada pihak berkaitan supaya pemerkasaan ini dapat direalisasikan dalam negara kita.

Penulis Mufti Wilayah Persekutuan 

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Februari 2024 @ 6:01 AM