PERLU diingatkan bahawa segala kekuasaan dan kemuliaan adalah hak mutlak Allah SWT. FOTO AFP
PERLU diingatkan bahawa segala kekuasaan dan kemuliaan adalah hak mutlak Allah SWT. FOTO AFP
Dr Mohd Shukri Hanapi

Dalam kerancakan mana-mana pihak berkempen dan berceramah untuk menarik lebih ramai lagi pengikut, kadangkala dilihat pendekatan mereka gunakan semasa berkempen serta berceramah itu melampaui batas yang ditetapkan Islam.

Dalam hal ini, terdapat pihak yang sering menggunakan pendekatan mendedahkan segala kelemahan dan keburukan orang lain tanpa cuba menonjolkan kekuatan serta kelebihan dimiliki.

Disebabkan terlalu ingin menarik minat lebih ramai orang terhadap sesuatu pemikiran, idea dan ideologi yang diperjuangkan, mereka bertindak mencanang dan menyebarkan kelemahan serta keburukan orang lain tanpa menghiraukan sama ada perkara yang disebarkan itu benar atau tidak. Lebih mendukacitakan lagi apabila ia melibatkan perihal peribadi individu tertentu.

Sebenarnya, penggunaan pendekatan sebegini dalam berkempen dan berceramah terutamanya oleh pemimpin beragama Islam amat berbahaya. Pemimpin yang meningkat naik dengan cara sebegini bukan atas kekuatan dan kelebihannya, tetapi meningkat naik serta popular disebabkan ramai orang termakan dengan segala kelemahan dan keburukan orang lain disebarkannya.

Kebiasaannya, pemimpin sebegini tidak kekal lama, bahkan sentiasa terdedah dengan kejatuhan dan penghinaan. Kalau mereka tidak jatuh dan dihina di dunia ini, mereka akan jatuh serta dihina ketika di akhirat nanti.

Perlu diingatkan bahawa segala kekuasaan dan kemuliaan itu adalah hak mutlak Allah SWT. Dia berhak memberi kuasa pemerintahan dan kemuliaan kepada sesiapa saja yang dikehendaki dan menarik balik semua itu daripada sesiapa saja dikehendaki-Nya. Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Katakanlah (wahai Muhammad): 'Wahai Tuhan (Allah) yang mempunyai kuasa pemerintahan! Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa Engkau kehendaki dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan daripada sesiapa Engkau kehendaki. Engkaulah juga memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki dan Engkaulah yang menghina sesiapa Engkau kehendaki. Dalam kekuasaan Engkaulah sahaja adanya segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu." (Surah ali Imran ayat 26)

Pendekatan mendedahkan segala kelemahan dan keburukan pihak lawan ini jauh berbeza dengan pendekatan yang digunakan oleh Rasulullah SAW ketika melancarkan kempen Islam kepada penduduk Yaman. Tambahan pula terdapat golongan intelek yang terdiri daripada ahli kitab dalam kalangan penduduk Yaman itu.

Dalam hal ini, Rasulullah SAW tidak menggunakan pendekatan mendedahkan atau menyebarkan kesesatan dan keburukan agama yang sedang dianuti penduduk Yaman ketika itu, sebaliknya memulakan kempen itu dengan menonjolkan kekuatan dan kualiti peribadi pemimpin yang ditugaskan menyampaikan dakwah Islam iaitu Mu'az bin Jabal RA. Maksudnya di sini baginda SAW cuba untuk membina kepercayaan dalam diri pihak yang dikempen (yakni penduduk Yaman) terhadap Mu'az bin Jabal RA.

Untuk menerangkan tentang diri Mu'az bin Jabal RA yang diutuskan itu, Rasulullah SAW menulis sepucuk surat kepada penduduk Yaman. Dalam surat itu baginda SAW menyatakan: "Sesungguhnya aku telah utuskan kepada kamu orang yang terbaik daripada keluargaku." Surat baginda SAW ini sudah tentu dapat memberikan pengaruh besar dan membina kepercayaan yang tinggi dalam diri penduduk Yaman terhadap Mu'az bin Jabal RA. Paling tidak mereka mengetahui bahawa Mu'az bin Jabal RA adalah orang terbaik kerana beliau dianggap sebahagian daripada ahlul bait Rasulullah SAW.

Jelas di sini bahawa dalam berkempen atau berceramah, kualiti peribadi dan latar belakang seseorang pemimpin atau pendakwah itu antara kekuatan dan kelebihan yang patut ditonjolkan. Hal ini dapat membina kepercayaan dalam diri pihak yang dikempen terhadap seseorang pemimpin atau pendakwah.

Bagi membuktikan betapa pentingnya aspek mutu peribadi seseorang pemimpin atau pendakwah itu, Rasulullah SAW sentiasa berpesan secara khusus kepada pemimpin atau pendakwah agar memelihara kualiti diri dengan sentiasa bertakwa kepada Allah SWT, memperbanyakkan zikir dan bertaubat kepada-Nya apabila terlanjur melakukan sesuatu kesalahan.

Atha' bin Yasar menyatakan bahawa Rasulullah SAW mengutuskan Mu'az bin Jabal ke Yaman, lalu Mu'az berkata: "Wahai Rasulullah, berikanlah aku wasiat. Baginda SAW bersabda yang bermaksud: 'Hendaklah engkau bertakwa kepada Allah dengan semaksimum kemampuan. Sebutlah nama Allah SWT setiap kali engkau melintasi batu-batuan dan pohon-pohonan. Apabila engkau melakukan kesalahan, iringilah dengan taubat. Kesalahan yang tersembunyi dengan taubat yang tersembunyi, kesalahan yang terang-terangan dengan taubat terang-terangan." (Riwayat al-Bukhari)

Berdasarkan hadis ini dapatlah difahami bahawa dalam berkempen, perkara utama yang perlu dititikberatkan adalah dengan menonjolkan kekuatan dan kelebihan dimiliki iaitu aspek kualiti diri pemimpin dan perancangan pembangunan, bukan dengan cara mendedahkan kelemahan serta keburukan orang lain semata-mata untuk menutupi segala kelemahan dan kepincangan yang ada.

Kadangkala kerana terlalu asyik mendedahkan kelemahan dan keburukan orang lain, mereka terlupa untuk menonjolkan kekuatan dan kelebihan yang ada iaitu kualiti peribadi pemimpin serta perancangan pembangunan ke arah memajukan Islam dan umat Islam. Bukan setakat itu, malah mereka juga terlupa melaksanakan segala janji yang ditaburkan.

Sebagai pemimpin, terutama yang memperjuangkan Islam mereka sepatutnya membina budaya dan sikap tersendiri. Mereka tidak seharusnya terpengaruh dengan budaya dan sikap yang dilarang oleh Islam. Mesej Islam yang dibawa sepatutnya membentuk satu pasukan Islam yang sentiasa mengikut peraturan dan adab sopan Islam. Dalam hal ini biarlah orang yang dikempen itu tertarik dengan kualiti peribadi pemimpin dan perancangan pembangunan yang diatur.

Dalam berkempen mereka tidak boleh membuat fitnah, menyebar fitnah, mengumpat dan mendengar umpatan. Islam melarang umatnya mendedahkan aib orang lain sebaliknya diminta supaya menutup keaiban itu daripada pengetahuan umum.

Perkara yang paling penting dalam berkempen ialah kebaikan dan perancangan pembangunan yang berteraskan Islam perlu ditonjolkan setiap masa. Usaha ini lebih berkesan daripada menyerang musuh dengan mendedahkan keaiban mereka.

Dalam hal ini, tidak salah jika kita mempelajari sesuatu daripada bentuk iklan syarikat yang mempromosi produk mereka. Dalam iklannya, tidak pernah didedahkan kekurangan dan kelemahan produk syarikat lain. Sebaliknya kebaikan dan kelebihan yang ada pada produknya didedahkan sepenuhnya berkali-kali.

Penulis Pensyarah di Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV), Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan (PPSK), Universiti Sains Malaysia (USM)

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Februari 2024 @ 7:01 AM