WAWASAN akhirat sukar dicapai seandainya diri dibiarkan berselimutkan sifat dengki sesama manusia.
WAWASAN akhirat sukar dicapai seandainya diri dibiarkan berselimutkan sifat dengki sesama manusia.
Mohd Rizal Azman Rifin

Sifat hasad dengki sangat hina di sisi Allah. Pun begitu, dalam kehidupan manusia hari ini, sifat tercela ini sentiasa membayangi peribadi hingga ia tidak ditakuti akan akibatnya di akhirat. Islam begitu prihatin dengan cara dan gaya hidup bermasyarakat lalu Islam menawarkan 'pakej sosial' yang jitu untuk dijadikan panduan.

Islam sangat mengambil berat persoalan hidup bersosial hingga perkara sekecil-kecil sekalipun diambil cakna dan diberikan kedudukan tinggi. Semuanya itu tidak lain kerana Islam datang untuk menjadikan kehidupan manusia di atas muka bumi sebagai 'khalifah' bermaruah.

Tetapi, sayang sekali kerana akibat tidak mahu mengikuti apa digariskan Islam,
banyak peristiwa kurang menyenangkan berlaku yang berpunca daripada sifat dengki. Mentaliti dengki seolah-olah membarah 8hingga tanpa sedar dan tanpa bimbang sifat keji itu dimurkai Illahi.

Sufyan at-Tsaur pernah berpesani yang kata ulama tabiin itu, 'Sentiasalah berdiam diri dan bersunyi-sunyi. Keadaan ini akan memupuk ketaqwaan dan warak dalam dirimu. Janganlah kamu tamak, supaya kamu tidak terjerumus ke dalam fitnah dan kerosakan. Jauhi dari mengulas orang lain agar terhindar dari ejekan dan fitnah. Jauhkan diri daripada hasad dengki untuk mencapai akal dan kepekaan dan wawasan rohani.'

Jadi, di sini menjelaskan kepada kita 'Wawasan Akhirat' pasti sukar untuk kita capai seandainya diri dibiarkan 'berselimutkan sifat dengki' sesama manusia. Dalam apapun lapangan kehidupan, sayugia kita peringatkan diri bahawa kita mustahil berasa tenang, bahagia dan ceria apabila hati berkesumat hasad dan dengki.

Sebenarnya sifat dengki itu tidak lain membuktikan seseorang itu tiada kekuatan sendiri sehingga menggunakan jalan songsang dengan berdengki dan menyebarkan persepsi buruk terhadap kejayaan orang lain.

Sedangkan Islam mengajak kita supaya bermentaliti 'berasa gembira dan tumpeng berbangga' dengan kejayaan, kecemerlangan dan kebahagiaan orang lain. Dengan adanya sikap 'tumpang gembira' dengan keupayaan dan kejayaan orang lain, dengan menjadikannya sebagai obor yang membara semangat untuk turut sama mencapai apa yang orang lain telah perolehi.

Seorang lain ulama, Hatim Asam tidak ketinggalan memberi nasihatnya agar kita berhati-hati dan jangan sampai membiarkan hati berkarat dengan debu dengki. Katanya, 'Orang yang hasad bukanlah orang yang beragama. Seseorang yang mencari kesalahan orang lain tidak boleh menjadi orang yang soleh dan khusyuk. Seorang pengumpat tidak dapat menjalani kehidupan yang aman. Dia terhalang dari rahmat dan pertolongan Allah.'

Hati yang bersarang dengan debu dengki petanda jiwa yang gersang dengan iman. Hal ini kerana seseorang yang benar-benar teguh imannya mustahil mahu menjebakkan diri dengan rasa dengki di hati dan tidak sanggup bermentaliti iri terhadap orang lain.

Abu Hurairah ada melaporkan baginda Rasulullah SAW pernah memberitahunya, 'Wajiblah kamu jauhi sifat dengki kerana dengki itu boleh memakan segala kebaikan (merosakkan akhlak dan menghapuskan pahala) seperti api yang memakan kayu.' (Hadis diriwayat oleh Abu Daud dan Ibnu Majah) Demikian
tegasnya Islam dalam menegahkan umatnya daripada memiliki hati yang berhasad dengki terhadap manusia lain. Tentunya kita tidak sanggup melihat di akhirat kelak,
segala penat lelah kita beribadah dan berbuat kebaikan hangus begitu sahaja tanpa sebarang pahala.

Kita melakukan ibadah baik yang bersifat wajib ataupun amalan soleh lain dengan harapan memperoleh ganjaran pahala di sisi Allah sebagai bekalan di hari pembalasan kelak. Justeru, usah dipersia-siakan amalan kita semata-mata mahu mengikut 'telunjuk syaitan dan nafsu' dengan menjerumuskan diri selaku seorang bermentaliti dengki.

Meskipun sifat dengki itu keji dan hina di sisi Allah namun rasa dengki positif tetap dibuka ruang untuk kita terapkan dalam diri. Ya, kita timbulkan gerak hati 'dengki' dengan kesungguhan seseorang yang istiqamah melakukan amal ibadah. Lantas tergerak di hati kita rasa dengki positif untuk mahu mengikut jejak soleh yang dilakukannya. Jika begini, elok dan sangat digalakkan Islam.

Baginda Rasulullah SAW berpesan, 'Perasaan hasad dan dengki itu dilarang kecuali pada dua perkara; dengki terhadap seseorang yang Allah SWT kurniakan kepadanya harta dan dia membelanjakannya pada jalan kebenaran, serta seseorang yang dikurniakan hikmah dan dia berhukum dengannya dan mengajarkannya.' (Hadis sahih riwayat Bukhari)

Juga seharusnya kita insafi dengki selain yang dinyatakan baginda SAW itu tadi lebih bersifat dengki keji yang wajib kita hindari. Dengki negatif itu lebih ke arah meruntuhkan kejayaan dan kecemerlangan orang lain, sedangkan sifat dengki positif yang diberitahu baginda merupakan daya inisiatif membangkit semangat diri mencapai kecemerlangan hidup.

Apabila kita melihat adanya rakan taulan, jiran tetangga ataupun sesiapa sahaja yang berjaya dalam pekerjaan, maka seharusnya kita turut belajar bermuhasabah diri untuk meneliti bagaimana menjadikan diri sendiri berjaya seperti mereka. Rasa mahu berlumba mengejar kejayaan atas usaha sendiri dan bukannya mahu 'mematikan dan meruntuhkan' kejayaan orang lain.

Rasa dengki itu adalah penyakit. Ya penyakit rohani yang 'berumah' dalam hati. Maka jadilah hati itu sakit dan tidak mampu lagi melihat kebenaran bahawa Allah berhak mengurniakan kepada sesiapa sahaja kurniaan nikmat-Nya. Jika kita yakin dengan 'kuasa mutlak' Allah dalam pemberian sumber rezeki dan kejayaan hidup, maka hati kita pasti mampu kekal tenang.

Abdullah bin Mas'ud, seorang sahabat Nabi SAW pernah menuturkan ungkapan nasihatnya, 'Demi Allah, jika hatimu sakit, walaupun tubuhmu sihat, maka engkau lebih hina di sisi Allah daripada seekor lipas.' Jadilah kita insan yang sentiasa bersyukur dan reda dengan apa yang kita ada, dan bersikap 'tumpang gembira' dengan apa yang dicapai oleh orang lain.

Insya Allah, hati pasti menjadi tenang dan kekal bersemangat untuk menjalani kehidupan dengan harmoni dan tenteram. Tanpa dengki, hidup diredai Ilahi.

Penulis Pensyarah Kanan Politeknik Muadzam Shah

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 January 2024 @ 6:00 AM