SEGERALAH beristighfar memohon keampunan daripada Allah SWT sekiranya bisikan hati ingin melayani hasad yang timbul dalam diri. FOTO Reuters
SEGERALAH beristighfar memohon keampunan daripada Allah SWT sekiranya bisikan hati ingin melayani hasad yang timbul dalam diri. FOTO Reuters
Mohd Shahrizal Nasir

Setiap Muslim tidak sunyi daripada berdepan dengan perkara-perkara negatif yang muncul dalam diri. Bagaimana untuk membersihkan diri daripada dosa yang berpunca daripada sifat buruk dalam diri? Bagaimana pula ingin menjaga diri daripada menuruti sifat buruk tersebut sehingga akhirnya menyebabkan diri mendapat dosa?

Inilah antara perkara yang perlu menjadi keutamaan dalam usaha menjadikan diri seorang Muslim yang bebas daripada sifat tercela. Muslim yang terbaik ialah mereka yang berusaha menjauhkan diri daripada terjebak dalam perkara yang membawa kepada dosa dan kemurkaan Allah SWT. Allah SWT sangat mengasihi setiap hamba-Nya yang sentiasa berusaha untuk kembali kepada-Nya melalui jalan taubat.

Rasulullah SAW bersabda yang mafhumnya:  "Sesungguhnya Allah itu begitu gembira dengan taubat hamba-Nya melebihi kegembiraan seseorang di antara kalian yang menemukan kembali untanya yang telah hilang di suatu tanah yang luas."  (Muttafaq 'alaih)

Antara perkara buruk yang sentiasa hadir dalam hati manusia biasa ialah penyakit hasad. Ia merupakan satu penyakit hati yang sekiranya tidak diurus dengan baik akan menyebabkan diri seseorang terjebak dalam perkara yang dilarang oleh Allah SWT dan mendapat dosa. Tiada sesiapa pun yang boleh mengatakan bahawa dirinya bebas daripada sifat hasad.

Hasad secara mudahnya boleh difahami dengan makna iri hati atau seseorang yang tidak boleh melihat sesuatu nikmat itu dirasai oleh orang lain. Orang yang memiliki hasad berharap agar sesuatu nikmat yang dirasai oleh orang lain itu segera hilang dan nikmat itu dapat dirasai oleh dirinya sendiri. Sekalipun nikmat yang hilang daripada orang lain tersebut tidak berpindah kepada diri orang yang berhasad, dia tetap mengharap orang yang menerima nikmat tersebut tidak terus menikmatinya.

Begitulah buruknya hasad dalam diri. Orang yang memiliki hasad tidak memahami atau sengaja tidak faham tentang betapa luasnya nikmat Allah SWT. Dialah Tuhan berhak menganugerahkan nikmat kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya. Hakikatnya Allah SWT telah membahagi-bahagikan nikmat-Nya kepada setiap hamba-Nya yang berusaha dan bergantung harap kepada-Nya. Jika perkara ini difahami dengan iman, mana mungkin ada orang berasa hasad atau iri hati dengan nikmat yang diperoleh orang lain.

Hasad bukan sahaja berada dalam hati, sebaliknya boleh dijelmakan menerusi tindakan. Orang yang tidak dapat mengawal hasad dalam diri akan berusaha melakukan perbuatan yang boleh mengakibatkan orang lain teraniaya. Contohnya jika seseorang mempunyai perasaan hasad terhadap orang yang membeli sebuah kereta baharu. Rasa hasad tidak dapat dikawal sehingga berusaha untuk mencuri kereta tersebut daripada tuannya, atau merancang untuk merosakkan kereta baharu tersebut sehingga tuannya diselubungi perasaan sedih. Semua perbuatan tersebut berlaku disebabkan hasad dalam diri pelaku yang berasa tidak senang dengan nikmat yang diperoleh orang lain dan berusaha agar nikmat tersebut hilang daripada diri orang tersebut.

Sememangnya hasad boleh merosakkan hubungan antara manusia termasuk sesama Muslim. Ingatlah pesan Rasulullah SAW yang bermaksud:  "Janganlah kalian saling iri hati (hasad), saling menipu, saling marah dan saling memutuskan hubungan. Dan janganlah kalian menjual sesuatu yang telah dijual kepada orang lain. Jadilah kalian para hamba Allah yang bersaudara."  (Hadis riwayat Muslim)

Sebenarnya, ada keadaan yang dikaitkan dengan hasad namun ia tidak mendatangkan dosa. Inilah yang disebut sebagai  ghibtah. Istilah  ghibtah  dapat difahami sebagai perasaan iri hati atas nikmat yang diterima oleh orang lain dan menginginkan nikmat yang sama diterimanya. Namun  ghibtah  tidak disertai dengan harapan mahupun tindakan agar nikmat tersebut hilang daripada orang lain.

Perasaan iri hati hadir dalam hati seseorang, namun tidak dizahirkan oleh si empunya diri. Iri hati tersebut ditukar menjadi azam dalam dirinya. Jika orang lain mendapat sesuatu nikmat, dirinya berasa iri  hati namun berusaha untuk mendapat nikmat yang sama tanpa memudaratkan orang lain. Sifat iri hati kekal dalam hatinya namun bertujuan untuk menjadi pendorong agar dirinya mampu memperoleh nikmat sama sepertimana yang diperoleh orang lain. Maka perasaan dalam hati seperti itu tidak berdosa kerana individu yang memiliki iri hati tersebut tidak memudaratkan orang lain.

Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya:  "Perasaan hasad itu dilarang kecuali pada dua perkara iaitu dengki terhadap seseorang yang Allah kurniakan kepadanya harta dan dia membelanjakannya pada jalan kebenaran serta seseorang yang dikurniakan hikmah (ilmu) dan dia berhukum dengannya dan mengajarkannya (kepada orang lain)."  (Muttafaq 'alaih)

Menurut Ibnu Hajar al-'Asqalani, hadis tersebut menggambarkan bahawa tidak ada keringanan pada hasad kecuali pada dua hal yang dinyatakan oleh Rasulullah SAW. Justeru, istilah 'hasad' yang terdapat dalam hadis tersebut merujuk makna  ghibtah  iaitu keinginan untuk memperoleh nikmat seperti orang lain, tanpa wujud perasaan ingin melihat nikmat tersebut ditarik balik daripada orang lain. 

Hakikatnya tidak ada manusia biasa yang maksum daripada hasad. Walau bagaimanapun, segalanya bergantung kepada kehendak dan keputusan yang dibuat oleh diri sendiri. Adakah kita memilih untuk melayani sifat hasad dalam diri lantas berusaha memudaratkan kehidupan orang lain? Atau kita jadikan rasa  ghibtah  terhadap rezeki dan nikmat orang lain sebagai pembakar semangat untuk diri terus berusaha untuk mendapat nikmat yang sama, tanpa memudaratkan orang lain? 

Tepuk dada tanyalah iman. Manusia tidak akan mudah untuk berasa cukup dengan nikmat yang diperolehinya. Allah SWT menjelaskan hal ini dalam al-Quran bermaksud:  "Kemudian Qarun keluar kepada kaumnya dengan memakai perhiasannya. (Pada saat itu) berkatalah orang yang semata-mata inginkan kesenangan kehidupan dunia: Alangkah baiknya kalau kita ada kekayaan seperti yang didapati oleh Qarun! Sesungguhnya dia adalah seorang yang bernasib baik."  (Surah al-Qasas, ayat 79)

Marilah kita berusaha untuk menjadi orang yang bebas daripada hasad dalam diri. Segeralah beristighfar memohon keampunan daripada Allah SWT sekiranya bisikan hati ingin melayani hasad yang timbul dalam diri. Ingatlah bahawa setiap nikmat yang diperoleh dalam kehidupan dunia ini hanyalah bersifat sementara. Maka usah jadikan dunia ini matlamat akhir dalam kehidupan kerana di sana ada alam akhirat yang lebih kekal abadi.  Ghibtah  adalah laluan untuk menyelamatkan diri daripada dosa hasad. Pasanglah cita-cita untuk mendapat nikmat seperti orang lain memperolehinya tanpa melakukan dosa.

Penulis Pensyarah Pusat Pengajian Bahasa Arab, Fakulti Bahasa Dan Komunikasi, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Ogos 2022 @ 7:00 AM