MANFAATKAN media sosial  dengan sebaik-baiknya tanpa melanggar sempadan ditetapkan syarak.
MANFAATKAN media sosial dengan sebaik-baiknya tanpa melanggar sempadan ditetapkan syarak.
Dr Mohd Khafidz Soroni

Pada era media sosial kini, sesiapa sahaja boleh menjadi pembikin kandungan (content creator) atau pembicara media sosial (social media influencer). Bagus atau tidak kandungan yang dihasilkan bergantung kepada tujuan, kemahiran dan idea pemikiran individu terbabit. Menurut perspektif Islam, selagi kandungan berkenaan tidak melanggar akidah dan hukum syarak, ia tidak dilarang. Kandungan berbentuk informasi, pembelajaran, nasihat, dakwah, peringatan dan seumpamanya sudah tentu amat digalakkan.

Tidak dinafikan, kegiatan mendidik dan menyampaikan ilmu pengetahuan kepada masyarakat juga dapat dilakukan melalui media sosial. Namun, adakalanya ia memerlukan kreativiti pembikin kandungan untuk menarik pengguna media sosial melihat kandungannya. Antara kreativiti yang turut menjadi trend di media sosial ialah memberi reaksi(react) terhadap sesuatu perkara, isu, peristiwa dan seumpamanya.

Namun, sudah pasti ada batas dan etika yang wajib dipatuhi. Ini kerana tindakan memberi reaksi boleh terdedah kepada perbuatan mengumpat yang ditegah oleh syarak. Perbuatan mengumpat atau mengata ialah apabila kita menyebutkan mengenai seseorang dengan sesuatu perkara yang dibenci olehnya jika dia mendengarnya. Sekiranya dilakukan, kita dianggap berbuat zalim terhadapnya, meskipun apa yang dikatakan itu benar.

Ini berdasarkan hadis Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW pernah bertanya: "Adakah kamu sekalian tahu apakah itu mengumpat?" Sahabat menjawab: "Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui." Baginda membalas: "(Iaitu) kamu membicarakan tentang saudaramu dengan sesuatu yang dia benci." Seseorang bertanya: "Bagaimanakah menurut tuan jika memang terdapat pada saudaraku itu seperti apa yang kukatakan?" Baginda menjawab: "Jika memang ada padanya seperti apa kamu ucapkan, bererti kamu mengumpatnya. Namun, jika tidak ada padanya, bererti kamu telah memfitnahnya." (Riwayat Ahmad, Muslim, Abu Dawud dan al-Tirmizi)

Definisi mengumpat yang diberikan Nabi SAW ini hakikatnya mencakupi semua aspek berkaitan diri seseorang individu, baik daripada segi rupanya, tindakannya, pemikirannya dan lain-lain. Adakalanya ia bersifat halus tanpa kita sedari bahawa perbuatan itu hakikatnya adalah termasuk mengumpat. Ringkasnya, jika sudah membicarakan mengenai seseorang dengan perkara yang dibenci jika dia mendengarnya walaupun yang dibicarakan itu benar, itu namanya mengumpat. Tidak kira atas slogan apa pun kita berbicara sama ada untuk memandaikan umat, kembali kepada sunah, demi menegak kebenaran atau sebagainya. Sekiranya menepati definisi mengumpat maka ia tetap dinamakan mengumpat serta berdosa melakukannya.

Ini jika apa yang dibicarakan itu benar. Bagaimana sekiranya ia tidak benar? Sudah tentu ia perbuatan fitnah yang dicela oleh syarak. Kedua-dua perbuatan keji ini mewajibkan pelakunya perlu bertaubat serta memohon maaf terhadap orang yang dibicarakan. Apa yang lebih parah, sekiranya pembikin kandungan tidak peduli sama ada kandungannya itu berbentuk mengumpat atau memfitnah. Ini boleh berlaku disebabkan pelbagai faktor, antaranya perbezaan fahaman politik dan aliran pemikiran. Satu pihak yang berbeza pandangan memberi reaksi terhadap satu pihak lain yang bertentangan dengannya. Maka, apa yang anda duga boleh berlaku?

Lebih menyedihkan, apabila pembikin kandungan jahil mengenai perkara yang dia berikan reaksi atau menganggap kebenaran milik mutlak dirinya. Ia bukan saja menampakkan kebodohan dirinya, tetapi turut mengajak orang lain berkongsi kebodohan terbabit. Kita memaklumi perbezaan fahaman dan aliran tidak dapat dielakkan. Namun, ia perlu diurus dengan kebijaksanaan, bukan dengan cara kotor seperti tadi. Budaya menanam kebencian dan mencalarkan maruah sewenang-wenangnya perlu dihentikan.

Allah SWT melarang kita mengumpat dan memberikan satu perumpamaan cukup keras dalam firman-Nya: "Dan janganlah sesetengah kamu mengumpat sesetengah yang lain. Adakah seseorang daripada kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya." (Surah al-Hujurat ayat 12)

Perumpamaan yang cukup buruk ini sepatutnya sudah memadai untuk kita sentiasa berwaspada daripada perbuatan keji itu. Justeru, hendaklah kita banyakkan memuhasabah diri sendiri. Jika kita sedar diri kita tidak sempurna serta mempunyai banyak keaiban sama ada zahir atau batin, begitu juga dengan diri orang lain. Jika kita tidak suka dimalukan dan aib kita didedahkan, begitu juga dengan orang yang kita bicarakan.

Media sosial pada masa kini sewajarnya dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya tanpa melanggar batas sempadan yang digariskan agama. Maka, jangan biarkan ia dijadikan platform untuk berbuat dosa terhadap orang lain. Jika tidak, tunggu sahaja balasannya di akhirat kelak.

Penulis Ketua Unit Hadis di Institut Kajian Hadis & Akidah (Inhad), Universiti Islam Selangor (UIS)

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Julai 2023 @ 6:00 AM