MAKLUMAT kini di hujung jari dan pada masa sama mengumpat juga di hujung jari. Tekonologi berkomunikasi menerusi media sosial mesti digunakan sebaik-baiknya berpandukan syariat. FOTO Arkib NSTP
MAKLUMAT kini di hujung jari dan pada masa sama mengumpat juga di hujung jari. Tekonologi berkomunikasi menerusi media sosial mesti digunakan sebaik-baiknya berpandukan syariat. FOTO Arkib NSTP
Dr Mohd Khafidz Soroni

Dalam berkomunikasi, lidah yang kita gunakan untuk bertutur dan tangan yang kita gunakan untuk menulis atau menaip memainkan peranan cukup penting. Kedua-duanya berfungsi untuk mengungkapkan apa yang ada di dalam hati dan akal fikiran kita.

Kedua-dua anggota boleh menjadi punca bagi kita untuk meraih pahala melalui ucapan yang baik, nasihat, dakwah dan menolong orang atau menjadi punca bagi kita meraih dosa melalui ucapan keji, dusta, fitnah dan cacian. Dengan erti kata lain, kedua-dua anggota boleh menjadi sebab untuk kita masuk ke dalam syurga atau masuk ke dalam neraka.

Antara bentuk komunikasi yang dilarang oleh Islam, namun dibimbangi semakin berleluasa dengan pesatnya teknologi komunikasi kini ialah perbuatan mengumpat. Maksud mengumpat atau mengata ialah apabila kita menyebutkan seseorang kepada pihak lain dengan sesuatu perkara yang dibenci olehnya jika dia mendengarnya. Sekiranya dilakukan, kita telah mengumpat dan berbuat zalim terhadapnya meskipun apa yang dikatakan itu adalah benar.

Rasulullah SAW pernah bertanya: "Adakah kamu sekalian tahu apakah itu mengumpat?." Sahabat menjawab: "Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui." Baginda membalas: "(Iaitu) kamu membicarakan tentang saudaramu dengan sesuatu yang dia benci." Seseorang bertanya: "Bagaimanakah menurut tuan jika memang terdapat pada saudaraku itu seperti apa yang aku ucapkan?" Baginda menjawab: "Jika memang terdapat padanya seperti apa yang kamu ucapkan maka bererti kamu mengumpatnya. Namun, jika tidak terdapat padanya, bererti kamu memfitnahnya." Riwayat Muslim

Pengertian mengumpat yang diberikan oleh Nabi SAW di atas, hakikatnya membabitkan semua aspek berkaitan diri seseorang individu termasuk rupa, perbuatan dan pemikiran. Adakala ia bersifat halus tanpa kita sedari perbuatan itu sebenarnya adalah termasuk mengumpat.

Misalnya, Imam al-Ghazali di dalam kitab Bidayah al-Hidayah mengingatkan supaya janganlah kita mengumpat golongan qari (termasuk ahli ilmu juga) yang suka berbalah walaupun dalam bentuk doa sinis seperti: "Semoga Allah memperbaiki dirinya." Sekalipun kita berasa resah dan dukacita terhadap perbuatan mereka, namun doa itu hakikatnya menghimpunkan dua sifat buruk. Pertama, ia dikira mengumpat apabila berbentuk sinis. Kedua, ia menunjukkan perbuatan menyucikan diri sendiri (bersifat ujub) sebagai seorang yang soleh dan berakhlak mulia.

Bagi mengelakkan 'penyakit' halus seperti ini, doa itu sepatutnya dibaca secara sembunyi tanpa didengari oleh orang lain. Walhal jika rasa resah dan dukacita kita itu benar, pastinya kita tidak ingin memalukannya dan mendedahkan keaibannya. Dikhuatiri dalam kita melahirkan rasa dukacita terhadap keaibannya, kita sebenarnya mendedahkan keaibannya itu!

Allah SWT melarang hamba-Nya daripada mengumpat dan memberikan satu perumpamaan yang cukup keras dalam firman-Nya: "Janganlah sesetengah kamu mengumpat sesetengahnya yang lain. Adakah seseorang daripada kamu suka makan daging saudaranya yang sudah mati? (Jika demikian keadaannya) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya." Surah al-Hujurat ayat 12

Allah SWT mengumpamakan orang yang mengumpat seperti orang makan mayat saudaranya. Gambaran jijik sebegini sepatutnya sudah memadai untuk kita sentiasa berwaspada dengannya. Antara cara yang dapat menghalang diri kita daripada mengumpat ialah dengan bermuhasabah diri sendiri. Jika kita sedar diri kita juga tidaklah sempurna dan mempunyai banyak keaiban sama ada zahir mahupun batin maka begitu juga diri orang yang kita umpat.

Sebagaimana dia lemah untuk melepaskan dirinya daripada sifat buruk yang kita sandarkan kepadanya, begitu juga sebenarnya dengan diri kita. Sebagaimana kita tidak suka dimalukan dan segala aib kita disebutkan, begitu juga dengannya. Oleh itu, jika kita menutupnya maka Allah SWT akan menutup keaiban kita. Sebaliknya jika kita membukanya, Allah juga akan membuka keaiban kita di dunia. Bahkan, akan memalukan kita di hadapan khalayak umum di akhirat nanti.

Menurut Imam al-Ghazali, orang yang tidak melihat sebarang keaiban dan kekurangan pada dirinya boleh jadi adalah orang jahil paling teruk tahap kedunguannya. Sebaliknya, orang bijak akan menginsafi keaiban dan kekurangan pada diri.

Melihat dunia komunikasi moden yang semakin mencabar pada hari ini, sewajarnya hadis di atas dijadikan sebagai azimat yang wajib dipegang teguh. Ini kerana pelbagai media sosial yang ada boleh menjadi platform yang mudah digunakan untuk mengata dan mengumpat orang lain. Sedangkan ia sewajarnya dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya tanpa melanggar batas sempadan yang ditetapkan oleh agama.

Penulis Ketua Unit Hadis di Institut Kajian Hadis & Akidah (Inhad), Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (Kuis)

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Ogos 2021 @ 7:00 AM