SESEORANG yang sedang mendirikan solat fardu tidak boleh membatalkan solatnya melainkan jika terdapat keuzuran yang  dibenarkan oleh syarak. FOTO Arkib NSTP
SESEORANG yang sedang mendirikan solat fardu tidak boleh membatalkan solatnya melainkan jika terdapat keuzuran yang dibenarkan oleh syarak. FOTO Arkib NSTP
Sahibus Samahah Datuk Dr Luqman Abdullah

Baru-baru ini, ada persoalan berhubung hukum membatalkan solat fardu kerana kadang-kadang apabila tengah solat anak menangis tiba-tiba dan terkadang itu tangisannya sangat teresak-esak. Untuk itu, kami ingin merungkai persoalan ini berdasarkan beberapa hujah yang akan dinyatakan.

Secara ringkasnya, haram membatalkan solat fardu kerana anak menangis selagi tidak sampai ke tahap yang membimbangkan tentang keselamatan si anak. Jalan terbaik ialah penjaga anak berkenaan meringan dan mempercepatkan solat dengan melakukan perbuatan rukun dalam solat sahaja tanpa melakukan perkara sunat dalam solat.

Namun, boleh membatalkan solat fardu sekiranya tangisan tersebut seolah-olah anak itu berada dalam bahaya.

Untuk memperincikan jawapan ini, alhamdulillah segala puji bagi Allah SWT Tuhan Semesta Alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari kiamat.

Dalam Islam membatalkan sesuatu amalan dengan sengaja tanpa sebab yang dibolehkan syarak adalah dilarang dan hal ini adalah perkara yang disepakati oleh fuqaha. (al-Mausuʻah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah)

Oleh itu, seseorang yang sedang mendirikan solat fardu, tidak boleh membatalkan solatnya melainkan jika terdapat keuzuran yang dibenarkan oleh syarak.

Ini berdasarkan firman Allah SWT bermaksud: "Wahai orang yang beriman! Taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kepada Rasul Allah dan janganlah kamu batalkan amal kamu!" (Surah Muhammad, ayat 33)

Antara keuzuran yang dibenarkan syarak itu ialah seperti membunuh kala jengking, ular, menyelamatkan diri daripada bahaya atau apa sahaja yang boleh memberikan mudarat kepada diri orang yang sedang menunaikan solat.

Perkara ini berdasarkan kepada hadis Nabi SAW, Abu Hurairah RA meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda: "Bunuhlah dua binatang hitam ketika solat iaitu ular dan kala jengking." (Hadis Riwayat Abu Daud)

Dalam Tuhfah al-Muhtaj menyebutkan bahawa: "Sesiapa melaksanakan puasa sunat atau solat sunat dan seumpamanya daripada amalan sunat kecuali haji, maka dia boleh membatalkannya bersandarkan kepada hadis sahih: "Seorang yang berpuasa sunat berkuasa terhadap dirinya sendiri, jika sekiranya dia ingin terus berpuasa atau berbuka puasa, maka dia boleh melakukan demikian."

Oleh itu, diqiyaskan hal ini kepada solat dan seumpamanya. Oleh itu, firman Allah SWT: "Dan janganlah kamu batalkan amal-amal kamu, merujuk kepada ibadah yang fardu."

Maka isu anak menangis ketika penjaganya sedang melakukan solat fardu bukan termasuk dalam perkara darurat yang membolehkan penjaganya membatalkan solat fardu melainkan jika tangisan tersebut seolah-olah boleh membahayakan nyawanya.

Oleh itu, jalan penyelesaian yang terbaik bagi situasi ini adalah dengan meringan dan mempercepatkan solat dengan melakukan perbuatan rukun solat sahaja tanpa melakukan perkara sunat dalam solat.

Hal ini berdasarkan kepada hadis diriwayatkan oleh Abu Qatadah RA, bahawa Nabi SAW bersabda: "Ketika aku sedang solat, aku ingin memanjangkan solat. Lalu aku mendengar tangisan seorang kanak-kanak hingga menyebabkan aku memendekkan solatku kerana bimbang akan menyusahkan ibu kepada kanak-kanak tersebut." (Hadis Riwayat Abu Daud)

Kesimpulannya, haram membatalkan solat fardu bagi penjaga kanak-kanak kerana risau  keadaan anaknya yang sedang menangis melainkan jika tangisan tersebut seolah-olah boleh membahayakan nyawanya. Namun, dia boleh meringan dan mempercepatkan solat dengan melakukan rukun-rukun solat sahaja tanpa melakukan perkara-perkara sunat dalam solat. Wallahua'lam.

Penulis Mufti Wilayah Persekutuan

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Mei 2023 @ 7:00 AM