HADIS berkaitan kasih sayang sering dibacakan pada awal majlis ilmu bertujuan supaya sentiasa memulakan sesuatu dengan perasaan berkenaan.
HADIS berkaitan kasih sayang sering dibacakan pada awal majlis ilmu bertujuan supaya sentiasa memulakan sesuatu dengan perasaan berkenaan.
Dr Mohd Khafidz Soroni

Pada siri lalu penulis telah membawakan hadis Nabi SAW yang berbunyi: "Orang yang mengasihi nescaya akan dikasihi oleh Allah Yang Maha Pengasih. Kasihilah siapa yang di bumi, nescaya kalian akan dikasihi siapa yang di langit." (Riwayat Ahmad, Abu Dawud dan at-Tirmizi, katanya: hasan sahih)

Hadis ini turut disebut sebagai 'hadith ar-rahmah' (hadis kasih sayang) kerana maksud hadis jelas berkaitan dengan perintah supaya berkasih sayang. Terdapat baki bagi matan hadis itu berbunyi: "Rahim (silaturahim) itu adalah satu cabang sifat daripada ar-Rahman (Yang Maha Pengasih). Maka, sesiapa yang menyambungnya, Allah juga akan menyambungnya, dan sesiapa yang memutuskannya, Allah juga akan memutuskannya".

Penulis juga menerangkan bahawa ulama hadis menjadikan pembacaan riwayat hadis ini sebagai adat kebiasaan pada awal majlis ilmu mereka dengan tujuan supaya kita sentiasa memulakan sesuatu pertemuan dengan kasih sayang dan tidak mudah merendah atau membenci antara satu sama lain. Semoga dengan niat tersebut dapat menarik rahmat dan kasih sayang Allah SWT kerana Rasulullah SAW bersabda: "Tatkala Allah selesai menetapkan penciptaan makhluk, Dia telah menulis di dalam Kitab-Nya, yang berada di sisi-Nya di atas Arasy: 'Sesungguhnya rahmat-Ku mengatasi kemurkaan-Ku.'" (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Oleh kerana ia dibaca pada awal majlis pertemuan antara guru dengan murid dan adat itu berterusan secara langsung daripada satu generasi ke satu generasi, lama-kelamaan sanad hadis berkenaan berantai-rantai atau berturut-turut dengan murid menyebut hadis berkenaan adalah riwayat pertama yang didengar daripada gurunya. Maka, setiap perawi akan berkata ketika meriwayatkan semula hadis itu: "Diberitakan kepada kami oleh syeikh polan dan ia hadis pertama yang aku dengar daripadanya...". Atau setiap perawi menyebut daripada gurunya: "Inilah hadis pertama yang aku dengar daripadanya."

Justeru, hadis ini masyhur dikenali sebagai hadis 'musalsal bil-awwaliyyah' (berturut-turut dengan menyebut riwayat pertama).

Secara ringkas, hadis 'musalsal' bermaksud hadis yang berantai-rantai atau berturut-turut perawi dalam rantaian sanadnya mengikut suatu ciri, sifat, perbuatan atau keadaan yang sama semasa meriwayatkannya.

Justeru, setiap perawi seorang demi seorang perlu mengikut gaya periwayatannya secara sama berurutan. Jika tidak, sifat musalsal itu hilang dan terputus.

Adakalanya musalsal berlaku pada sifat dan keadaan perawi dan adakalanya pula berlaku pada bentuk riwayat hadis‎ itu sendiri. Antara kelebihan meriwayatkan hadis secara musalsal ialah menjadikan hadis yang diriwayatkan oleh perawi lebih tepat dan benar-benar mengikut perihal baginda Nabi SAW dan sekalian salafussoleh. Meskipun demikian, amat sedikit hadis musalsal yang selamat daripada kecacatan dan kelemahan pada sifat musalsalnya walaupun matan hadisnya berstatus sahih.

Menurut al-Hafiz Ibn Hajar, antara hadis musalsal paling sahih diriwayatkan di dunia ialah hadis musalsal membaca Surah as-Saf. Menurut al-Hafiz as-Sakhawi, yang kedua sahih ialah hadis musalsal bil-awwaliyah ini. (Lihat: Fath al-Mughith, 3/59)

Perkataan 'bil-awwaliyyah' bermaksud hadis pertama kali didengari perawi semasa bertemu seseorang guru, lalu dimulakan pertemuan dengan periwayatan hadis berkenaan. Periwayatan begini disebut hadis 'musalsal bil-awwaliyyah haqiqiyyah'. Adapun jika hadis itu pernah diperdengarkan sebelumnya oleh guru di tempat lain, namun di tempat tersebut ia baru pertama kali diperdengarkan, maka riwayat ini disebut 'musalsal bil-awwaliyyah nisbiyyah'.

Penyampaian riwayat hadis ini boleh dibuat sama ada secara sama' yakni guru membacakan hadis dan murid mendengarnya, atau secara qira'ah yakni murid membacakan hadis di hadapan guru dan guru menyemaknya serta memperakuinya.

Bagaimanapun, antara yang perlu diketahui, sifat musalsal hadis ini hanya berlaku pada sebahagian rantaian sanad sahaja, bukan keseluruhan sanad. Ini kerana jalur riwayatnya yang bersambung secara musalsal bil-awwaliyyah terhenti setakat Imam Sufyan bin Uyainah sahaja. Justeru, sesiapa yang meriwayatkan hadis itu secara musalsal sehingga sampai akhirnya kepada Nabi SAW maka ia telah silap dan keliru.

Disebabkan peri pentingnya hadis ini, ramai ulama yang telah mengkhususkan perbincangannya dalam sebuah karya berasingan. Berdasarkan penelitian penulis, terdapat lebih 40 karya yang disusun oleh ulama bagi meriwayatkan dan menjelaskan kedudukan hadis yang cukup istimewa ini. Antara tokoh yang menghasilkan karya mengenainya ialah Abu Tahir as-Silafi, Ibn as-Solah, Abdul Mu'min ad-Dimyati, az-Zahabi, Taqiy ad-Din as-Subki, Ibn al-Mulaqqin, Zain ad-Din al-'Iraqi, Ibn Nasir ad-Din ad-Dimasyqi, Murtadha az-Zabidi, 'Abdul Hayy al-Kattani, Muhammad Yasin al-Fadani, Abdul Aziz as-Siddiq al-Ghumari dan ramai lagi.

Penulis Ketua Unit Hadis di Institut Kajian Hadis & Akidah (Inhad), Universiti Islam Selangor (UIS)

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 January 2023 @ 5:59 AM