DALAM hadis banyak ditekankan supaya sentiasa menekuni al-Quran.
DALAM hadis banyak ditekankan supaya sentiasa menekuni al-Quran.
Dr Mohd Khafidz Soroni

DALAM siri yang lalu dijelaskan, hadis yang diriwayatkan oleh ramai perawi dinamakan hadis mutawatir. Hadis yang hanya diriwayatkan oleh seorang atau beberapa orang perawi pula dinamakan sebagai hadis ahad. Menurut disiplin ilmu hadis, hadis ahad ialah hadis yang tidak memenuhi ciri-ciri hadis mutawatir seperti yang dijelaskan dahulu.

Hadis ahad terbahagi kepada tiga bahagian iaitu: masyhur, 'aziz dan gharib. Pertama, masyhur adalah hadis yang diriwayatkan oleh tiga perawi atau lebih namun tidak mencapai had bilangan mutawatir. Kedua, 'aziz iaitu hadis yang diriwayatkan oleh dua perawi. Ketiga, gharib iaitu hadis yang diriwayatkan oleh seorang perawi sahaja.

Bilangan minimum perawi pada setiap bahagian ditetapkan bagi membezakan antara ketiga-tiganya. Walaupun bilangan minimum itu hanya terdapat pada salah satu peringkat daripada peringkat sanad riwayatnya. Perbezaan bilangan ini boleh memberi kesan terhadap kekuatan dan nilai sesuatu hadis terutama apabila berlaku percanggahan antara hadis yang diriwayatkan.

Sekiranya dinisbahkan kepada hadis mutawatir maka hadis ahad merangkumi sebahagian besar bilangan hadis Nabi SAW yang ada iaitu kira-kira 99 peratus daripada keseluruhan hadis yang sampai kepada kita pada hari ini.

Bagaimanapun, tahap kedudukan hadis ahad tidak sama seperti al-Quran dan hadis mutawatir. Sekiranya ada orang mengingkari atau menolak hadis ahad yang sahih tidak menyebabkan dia jatuh kufur, namun tetap fasiq dan berdosa. Ini kerana dia dianggap mengingkari perkara yang benar dan sabit daripada Nabi SAW.

Perkara ini pernah menjadi isu pada zaman Imam as-Syafie (wafat 204H) apabila muncul di Basrah golongan yang menafikan kebenaran hadis ahad, sama ada mereka daripada golongan Syiah Rafidhah ataupun Muktazilah. Beliau mengarang kitab 'ar-Risalah' bagi menjelaskan perkara ini, sekali gus menjawab hujah mereka.

Golongan ini mendakwa hadis ahad tidak dapat dijadikan hujah dalam syarak kerana ia adalah khabar yang boleh diragui. Imam as-Syafie menolak kekeliruan mereka dengan mengemukakan pelbagai hujah dan dalil daripada al-Quran, hadis, amalan sahabat, tabiin serta ulama mujtahidin.

Antaranya, hadis Abdullah bin Mas'ud RA katanya: Rasulullah SAW bersabda: "Semoga Allah memperindah diri seorang hamba yang mendengar kata-kataku, lalu menghafalnya, memahaminya dan menyampaikannya kepada orang lain. Boleh jadi orang yang mendapat ilmu itu tidak begitu faham dan boleh jadi dia menyampaikannya kepada orang yang lebih faham daripadanya." Hadis riwayat as-Syafie, at-Tirmizi dan Ibn Majah

Hadis ini jelas menunjukkan Nabi SAW mengizinkan bagi seseorang itu menyampaikan hadis kepada orang lain. Secara langsung membuktikan riwayat seorang perawi itu adalah hujah yang wajib diterima dan tidak boleh ditolak.

Imam as-Syafie turut menempelak golongan ini dengan ancaman hadis Nabi SAW terhadap kemunculan kumpulan antihadis yang hanya berpegang dengan al-Quran semata-mata, iaitu sabdanya: "Janganlah sesekali aku temui seseorang daripada kamu yang duduk bersandar di atas sofanya, lalu apabila datang suatu arahan daripadaku, sama ada daripada perkara yang aku larang atau yang aku perintahkan, lantas dia berkata: 'Kami tidak tahu. Apa yang kami dapati dalam kitab Allah (al-Quran) sahaja yang kami ikut.'" Hadis riwayat as-Syafie, Abu Dawud, at-Tirmizi dan Ibn Majah

Menurut Imam as-Syafie, Nabi SAW juga mengirimkan wakil baginda ke pelbagai tempat untuk menyampaikan ajaran dan risalah baginda. Misalnya, baginda mengutuskan Qais bin 'Asim, az-Zibriqan bin Badr dan Ibn Nuwairah ke kabilah masing-masing kerana ketiga-tiganya adalah orang yang jujur dan dipercayai di sisi mereka. Baginda turut mengutus Ibn Sa'id bin al-'As ke Bahrain, Mu'az bin Jabal ke Yaman dan sebagainya.

Semua ini membuktikan penyampaian dan periwayatan hadis daripada seseorang yang dipercayai sudah memadai untuk diterima sebagai hujah. Bahkan, hal ini dipraktiskan oleh semua ulama Islam dahulu dan kini secara turun-temurun tanpa diketahui wujud perselisihan pendapat antara mereka mengenainya.

Ada pun perbuatan sebahagian ulama fiqah meninggalkan beramal dengan sesetengah hadis ahad, bukanlah disebabkan mereka menolak kehujahannya. Tetapi disebabkan oleh faktor lain seperti mereka menggunakan hadis lain yang berlawanan dengannya, tidak mengiktiraf kelayakan perawi yang meriwayatkannya atau mereka mempunyai pandangan tertentu terhadap isi hadis berkenaan. Perkara ini sebenarnya termasuk dalam aspek perbincangan yang lain dalam disiplin usul fiqah.

Penulis adalah Ketua Unit Hadis di Institut Kajian Hadis dan Akidah (Inhad), Kolej Universiti Islam Selangor (Kuis)

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Oktober 2020 @ 5:59 AM