SETIAP apa yang berada di langit dan di bumi adalah milik Allah.
SETIAP apa yang berada di langit dan di bumi adalah milik Allah.
Dr Zamihan Mat Zin al-Ghari

Pada siri terdahulu, kita mengetengahkan hujahan serta dalil dalam Islam yang menolak kefahaman tajsim.

Minggu ini, kita meneruskan perbincangan menerusi huraian dalil kelima iaitu firman Allah SWT bermaksud: "Allah-lah yang menjadikan bumi bagi kamu tempat menetap dan langit sebagai atap dan membentuk kamu lalu memperelokkan rupamu serta memberi kamu rezeki dengan sebahagian yang baik-baik. Yang demikian itu adalah Allah Tuhanmu, Maha Agung Allah, Tuhan semesta alam." (Surah Ghafir: 64)

Ayat ini menjelaskan bahawa Allah menciptakan langit dan bumi lalu menjadikannya sebagai tempat bagi manusia. Dialah yang membentuk manusia dengan sebaik-baik rupa lalu memberi rezeki kepada mereka.

Allah SWT menjelaskan tentang sifat ketuhanan-Nya yang menempatkan manusia di bumi, membentuk manusia dengan sebaik-baik kejadian dan memberi rezeki kepada manusia. Itulah sifat ketuhanan Allah seperti yang ditegaskan di dalam ayat di atas dengan firman-Nya: "Yang demikian itu ialah Allah Tuhanmu."

Melalui ayat ini kita dapati wujud tiga asas utama iaitu:

Allah menempatkan manusia. Manusia bersifat menempati sesuatu tempat. Tempat ialah ciri-ciri khusus bagi makhluk yang terbatas.

Allah membentuk manusia dengan sebaik-baik kejadian. Manusia mempunyai bentuk. Bentuk ialah ciri-ciri khusus bagi makhluk yang terbatas.

Allah memberi rezeki kepada manusia. Manusia memerlukan rezeki daripada Allah untuk terus hidup. Keperluan kepada rezeki ialah ciri-ciri khusus bagi makhluk yang bersifat 'memerlukan Allah'.

Ketiga-tiga kenyataan di atas menjustifikasikan kepada kita bahawa Allah SWT tidak menyerupai makhluk-Nya. Dia tidak bertempat bukan seperti mana makhluk-Nya yang bertempat.

Allah tidak berbentuk bukan seperti mana makhluk-Nya yang berbentuk dan Allah tidak memerlukan sebab untuk terus hidup seperti mana makhluk-Nya memerlukan rezeki dan sebab-sebab daripada Allah untuk terus hidup.

Ayat ini jelas menafikan bentuk dan tempat bagi Allah SWT kerana bentuk dan tempat diciptakan oleh Allah khusus untuk makhluk.

Seperti mana keperluan manusia kepada rezeki. Allah
juga menciptakan rezeki khusus untuk keperluan manusia. Manakala Allah SWT sedikit pun tidak memerlukan rezeki berkenaan.

Ayat ini juga secara jelas menafikan kelaziman jisim bagi Allah dengan menafikan bentuk dan tempat. Ini kerana bentuk dan tempat merupakan sifat makhluk yang baharu. Maka Maha Suci Allah untuk bersifat sedemikian.

Allah berfirman dalam menetapkan sifat-Nya yang Maha Membentuk bermaksud: "Dialah Allah yang Menciptakan, yang Mengadakan, yang membentuk rupa paras, yang mempunyai Asmaaul Husna. Bertasbih kepadanya apa yang ada di langit dan di bumi. Dan Dialah yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana." (Surah Al-Hasyr: 24)

Ayat ini jelas membuktikan sifat Allah yang Maha Pencipta lagi Maha Pembentuk rupa. Jika Allah Maha Pencipta maka Dia juga tidak berhajat kepada yang menciptakan-Nya dan tidak pula bersifat sama dengan makhluk yang diciptakan.

Demikian pula Allah Maha Pembentuk yang tidak sesekali berhajat kepada yang membentuk-Nya. Allah juga tidak memiliki rupa bentuk. Ini kerana bentuk merupakan sifat kemestian bagi jisim.

Dalil Keenam dan Ketujuh

Firman Allah: "Katakanlah: "Kepunyaan siapakah apa yang ada di langit dan di bumi." Katakanlah: "Kepunyaan Allah." (Surah Al-An'am: 12)

Firman Allah lagi: "Dan kepunyaan Allah-lah segala yang ada pada malam dan siang. Dan Dialah yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui." (Surah Al-An'am: 13)

Dua ayat di atas membuktikan kepada kita setiap apa bertempat di langit dan di bumi adalah milik Allah. Oleh yang demikian, mustahil bagi Allah bertempat kerana setiap yang bertempat (termasuklah tempat itu sendiri) adalah ciptaan Allah. Mustahil Allah menempati makhluk-Nya (iaitu tempat itu sendiri).

Ayat di atas juga membuktikan Allah tidak terikat dengan masa dan ruang. Ini kerana setiap yang ada pada peredaran masa dan ruang sama ada siang mahu pun malam adalah milik Allah. Oleh yang demikian, mustahil Allah menetap pada makhluk-Nya (iaitu masa dan ruang yang diciptakan-Nya).

Jelas kepada kita kedua-dua ayat ini menafikan kelaziman jisim bagi Allah. Iaitu menafikan tempat dan masa bagi Allah yang mana secara tidak langsung menafikan jisim bagi Allah itu sendiri.

Imam al-Baghdadi di dalam al-Farq Baina al-Firaq m/s 292 menjelaskan: "Sesungguhnya para ulama Ahli Sunnah bersepakat dengan ijmak bahawa Allah SWT tidak terkesan dengan peredaran masa dan tidak diliputi dengan sesuatu tempat."

Penulis Penolong Pengarah Kanan Bahagian Penerbitan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Presiden Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia (Aswaja)

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Julai 2022 @ 5:59 AM