SETIAP individu Muslim harus menjaga tutur kata yang boleh menggugurkan iman.
SETIAP individu Muslim harus menjaga tutur kata yang boleh menggugurkan iman.
Dr Mohd Khafidz Soroni

Adalah lumrah manusia sering melakukan kesalahan dan kesilapan. Ini kerana tiada manusia yang maksum melainkan Nabi AS. Namun, kesalahan dan kesilapan yang berlaku perlulah segera dibaiki dan diperbetulkan. Sekiranya ia berkait dengan hak Allah SWT, maka segeralah dia memohon ampun dan bertaubat kepada-Nya.

Sesetengah orang mungkin tersilap tutur kata yang boleh menggugurkan imannya, seperti contohnya dia berkata: "Tuhan juga adalah makhluk halus." Sama ada sedar atau tidak, dia sebenarnya telah mengatakan bahawa Allah SWT adalah makhluk atau menyamakan Allah dengan makhluk. Sedangkan Allah SWT adalah Khaliq yang mencipta dan menjadikan, bukannya makhluk yang dicipta dan dijadikan. Segala yang wujud selain Allah SWT adalah makhluk tanpa syak dan ragu lagi. Dia yang berkuasa mencipta dan menjadikan segalanya, sedangkan makhluk tiada berkuasa sedikit pun.

Jika dia sengaja mengucapkan perkataan tersebut serta tahu maksudnya, maka ia adalah satu kekufuran yang jelas. Wajib dia bertaubat dan memohon ampun kepada Allah SWT. Bagaimanapun, jika dia tidak sengaja mengucapkannya kerana jahil atau tidak sedar, maka ia dimaafkan dan tidak jatuh kufur. Ini berdasarkan sabda Nabi SAW: "Sesungguhnya Allah memaafkan bagi umatku kerana tersalah, terlupa dan perbuatan yang dipaksakan ke atasnya." (Riwayat al-Hakim, dan katanya: Sahih)

Namun begitu, dia perlu lebih berhati-hati untuk tidak lagi mengulanginya. Kesilapan mirip seperti ini pernah disebutkan oleh Nabi SAW dalam sebuah hadis baginda sabdanya: "Sungguh kegembiraan Allah kerana taubat hamba-Nya melebihi kegembiraan salah seorang daripada kalian terhadap binatang tunggangannya di sebuah padang pasir yang luas, namun tiba-tiba binatang tersebut lepas. Sedangkan di atasnya ada bekalan makanan dan minumannya sehinggalah akhirnya dia berasa putus asa untuk mencari. Kemudian dia beristirehat di bawah sebatang pohon dalam keadaan putus asa untuk menemuinya kembali. Sewaktu dalam keadaan itu, tiba-tiba dia mendapati binatang tunggangannya sudah ada berdiri di sisinya. Dia pun segera mengambil tali kekangnya kemudian berkata dengan sangat gembira: "Ya Allah, Engkau hambaku dan aku ini Tuhanmu." Dia tersalah tutur kata kerana terlalu gembira." (Riwayat Muslim)

Nabi SAW menggambarkan perasaan pengembara tersebut amat gembira sehingga tanpa sengaja dia telah tersalah tutur kata. Padahal sebenarnya dia ingin menyebut: "Ya Allah, Engkau Tuhanku dan aku ini hamba-Mu." Walaupun dimaafkan kerana hakikatnya dia tidak mengiktikadkan maksudnya, namun kesilapan sebegini hendaklah dijauhi dalam keadaan seseorang itu sejahtera dan waras akal fikirannya.

Terdapat berbagai ucapan yang wajar dijauhi oleh seorang Muslim sama ada ia boleh jatuh kufur atau menunjukkan kurang adab terhadap Allah SWT. Perkara ini turut dibincangkan dan dijelaskan dengan baik oleh Imam an-Nawawi dalam kitab al-Azkar. Antaranya berkaitan sabda Nabi SAW: "Janganlah kamu sekalian berkata: 'Apa yang dikehendaki Allah dan dikehendaki si-polan', tetapi katakanlah: 'Apa yang dikehendaki Allah, kemudian apa yang dikehendaki si-polan'." (Riwayat Abu Dawud dengan sanad sahih)

Menurut Imam al-Khattabi, hadis ini menunjukkan kepada aspek adab (dalam pertuturan). Ini kerana perkataan 'dan' adalah bagi menunjukkan perkumpulan dan perkongsian bersama, sedangkan perkataan 'kemudian' adalah bagi menunjukkan persambungan kata serta adanya tertib susunan dan selang masa. Maka, Nabi SAW mengajarkan mereka supaya mendahulukan kehendak Allah SWT ke atas kehendak yang selain-Nya. Diriwayatkan daripada Ibrahim an-Nakhaie bahawa beliau tidak suka seseorang berkata: "Aku berlindung dengan Allah dan juga denganmu", tetapi harus dia berkata: "Aku berlindung dengan Allah, kemudian denganmu." Ulama turut menyatakan, harus dia berkata: "Kalau bukan kerana Allah, kemudian si-polan, nescaya aku lakukan sekian, sekian", tetapi janganlah dia berkata: "Kalau bukan kerana Allah dan si-polan."

Ini membuktikan bahawa perkataan yang sedikit jika tidak berhati-hati boleh memberi kesan negatif yang cukup besar. Perkataan 'dan' seperti contoh di atas boleh menggambarkan seolah-olah dia mensyirikkan Allah SWT meskipun tanpa disedari.

Dalam hadis lain Nabi SAW bersabda: "Sesungguhnya nama yang paling buruk di sisi Allah Taala ialah seseorang yang digelar Malik al-Amlak (Raja segala raja)." - (Riwayat al-Bukhari dan Muslim). Sufyan bin 'Uyainah berkata: "Ia adalah sama seperti Syahan Syah", yang juga bermaksud 'Raja segala raja' dalam bahasa Parsi. Kata Imam an-Nawawi: "Diharamkan dengan pengharaman yang keras seseorang berkata kepada sultan atau selainnya daripada makhluk: 'Syahan Syah' kerana maknanya ialah Raja segala raja, dan tidak disifatkan sedemikian melainkan hanya Allah SWT sahaja."

Penulis Ketua Unit Hadis di Institut Kajian Hadis & Akidah (INHAD), Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (Kuis)

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Disember 2021 @ 11:47 AM