Orang yang tidak memelihara kehormatan diri bererti dia menjatuhkan maruah diri sendiri serta maruah keluarganya. FOTO/Ramdzan Masiam
Orang yang tidak memelihara kehormatan diri bererti dia menjatuhkan maruah diri sendiri serta maruah keluarganya. FOTO/Ramdzan Masiam
Mohd Shahrizal Nasir

HARGA diri merujuk kepada maruah yang perlu dipelihara pada setiap masa. Tidak ada insan waras sanggup membiarkan dirinya diperlakukan sewenangnya oleh orang lain.

Kita tidak boleh membiarkan diri dizalimi, diperkotak-katikkan serta ditertawakan orang lain. Maruah diri perlu dipelihara tanpa mengira bangsa, keturunan, agama dan taraf hidup.

Orang miskin tanpa sebarang harta juga mempunyai harga diri yang tidak boleh diperlekehkan. Orang kaya pula tidak boleh menjatuhkan maruah orang miskin.

Contohnya, jika ada orang miskin meminta sedekah, hulurkan bantuan atau tolak permintaannya dengan cara baik. Bukan dengan penghinaan atau kemarahan yang menjatuhkan maruah dirinya.

Setiap insan perlu faham, bagi memastikan maruah diri dipelihara sebaiknya, usah biarkan diri terjebak dalam perkara yang boleh menjatuhkan maruah diri.

Bagi memastikan maruah diri tidak tercemar, kita bertanggungjawab menjaga maruah orang lain. Islam mengharamkan umatnya terbabit menjatuhkan maruah diri sendiri dan orang lain.

Menjaga kehormatan diri antara perkara yang berkaitan dengan maruah diri. Orang yang tidak memelihara kehormatan diri bererti dia menjatuhkan maruah diri sendiri serta maruah keluarganya.

Setiap Muslim perlu menonjolkan kehormatan diri antaranya dengan memakai pakaian yang digariskan syarak. Firman Allah bermaksud: “Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya…” (Surah an-Nur, ayat 31)

Selain itu, maruah diri juga berkaitan dengan perkara bersifat peribadi. Hal itu merujuk perkara yang berlaku dalam rumah yang tidak wajar diketahui orang lain.

Tidak semua perkara boleh dikongsikan kepada orang lain. Dengan kepesatan media sosial sekarang, ramai dalam kalangan kita mudah berkongsi perkara bersifat peribadi dalam laman sosial masing-masing.

Tanpa disedari, perkara itu akan diketahui khalayak awam termasuk orang yang tidak dikenali. Apabila berita itu tersebar dengan meluas, akhirnya akan menjejaskan maruah diri.

Usah marah sekiranya cerita peribadi itu disebarkan tanpa kawalan kerana hakikatnya kita yang membuka pekung diri sendiri. Sememangnya manusia suka mendengar cerita sensasi dan tanpa usul periksa menyebarkannya pula.

Sebelum maruah tergadai, elok kita berhati-hati dengan tindakan sendiri terutama apabila berkongsi kisah dalam media sosial. Antara kisah peribadi itu termasuk hal berkaitan hubungan suami isteri.

Memang benar ikatan hubungan mereka dihalalkan syarak namun agama memerintahkan supaya hubungan halal itu tidak dihebahkan secara terperinci kepada orang lain.

Sabda Rasulullah bermaksud: “Seburuk-buruk manusia pada pandangan Allah pada hari kiamat ialah suami yang melakukan hubungan intim dengan isterinya kemudian menceritakan keintimannya kepada orang lain.” (Hadis Riwayat Muslim)

Menjaga maruah diri juga tidak hanya membabitkan diri sendiri, tetapi orang yang berada di sekeliling seperti adik-beradik dan anak-anak.

Jika anak-anak dibiarkan melakukan perkara dilarang agama, maka maruah ibu dan bapa mereka turut tercemar. Ibu bapa akan dituduh dengan pelbagai tohmahan kerana tidak pandai mendidik anak serta tidak mengawal tingkah laku anak sendiri.

Insan yang baik sentiasa menjaga akhlak atau keperibadian dirinya dan orang lain. Lihatlah bagaimana Rasulullah menunjukkan akhlak peribadi yang baik sehingga diikuti keluarga dan sahabat baginda.

Didikan langsung dari Allah diterima oleh Rasulullah menjadikan diri baginda insan mulia sepanjang zaman.

Rasulullah menjelaskan kepentingan akhlak dalam diri setiap Muslim menerusi sabdanya bermaksud: “Sesungguhnya yang paling baik di antara kalian adalah orang yang paling baik akhlaknya.” (Hadis riwayat al-Bukhari)

Jika setiap umat Islam dapat menjaga maruah diri, secara tidak langsung keadaan itu menggambarkan ketinggian martabat Islam yang jelas menggariskan elemen akhlak sebagai antara perkara utama dalam agama.

Penulis pensyarah Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Terengganu

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Oktober 2018 @ 12:38 AM