Kembara Mukmin

Dalam hidup ini, manusia sentiasa menghadapi persoalan yang tidak diketahuinya sama ada ia baik atau buruk untuk diri mereka.

Hanya Allah SWT yang mampu memberi petunjuk, seterusnya memudahkan segala kesukaran yang dihadapi hamba-Nya.

Melaksanakan solat istikharah adalah salah satu cara bagi memperoleh petunjuk Allah SWT.

Apabila seorang Muslim mengerjakan solat istikharah bermakna dia menyerahkan segala urusannya kepada Allah serta benar-benar yakin apa yang mereka pilih itu adalah yang terbaik buatnya.

Sebenarnya, solat istikharah bukannya bagi mengetahui perkara yang ghaib.

Ia adalah permohonan doa dan hasrat untuk mendapatkan perkara yang terbaik.

Contohnya, keputusan dalam memilih pasangan hidup atau hati rasa berbelah bahagi untuk membeli harta seperti rumah.

Oleh itu, seseorang Muslim boleh berdoa supaya Allah menyempurnakan ketetapan hatinya dalam membuat sesuatu keputusan yang terbaik.

Jelas, solat istikharah adalah bukti tahap kejujuran iman seorang hamba kepada Tuhannya.

Allah SWT Maha Berkuasa dan sekiranya Dia berkehendakkan sesuatu, ia pasti berlaku.

Jika Allah SWT mahu memudahkan setiap urusan hamba-Nya, maka tiada perkara lain yang boleh menghalang dan menyukarkan urusan itu.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Perkataan Kami kepada sesuatu apabila Kami mahu, Kami hanya berkata kepadanya: “Jadilah engkau! lalu menjadilah ia.” (Surah an-Nahl, ayat 40)

Istikharah juga perlu seiring dengan usaha yang selaras dengan syariat-Nya.

Maka, setiap Muslim tetap perlu berusaha dan selebihnya Allah SWT yang akan menentukan hasilnya.

Apabila Allah mahu menimpakan sesuatu kaum dengan bala bencana disebabkan kesalahan mereka sendiri, tiada sesiapa yang dapat menolak atau menahan apa yang ditetapkan.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Bagi setiap manusia, ada malaikat penjaga yang silih berganti dari hadapan dan dari belakang.

“Mereka mengawasi dan menjaganya dengan perintah Allah. Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri.

“Apabila Allah mahu menimpakan sesuatu kaum dengan bala bencana disebabkan kesalahan mereka sendiri, tiada sesiapapun yang dapat menolak atau menahan apa yang ditetapkan.

“Tidak ada siapa pun yang dapat menolong dan melindungi mereka selain daripada Allah SWT.” (Surah ar-Ra’d, ayat 11)

Sesudah beristikharah, seorang akan mendapat petunjuk melalui mimpi.

Ia datang sebagai mimpi baik dalam bentuk jawapan bagi persoalan yang dihadapinya.

Menurut Nabi SAW dalam riwayat asy-Syaikhani: “Mimpi itu ada tiga, mimpi benar yang berisi berita gembira daripada Allah, mimpi daripada syaitan dan mimpi yang dicipta oleh manusia sendiri.

“Apabila salah seorang daripada kamu melihat perkara yang dibencinya dalam mimpinya, bangun dan bersolatlah. Jangan menceritakan perihal mimpi itu kepada orang lain.”

Dalam satu lagi hadis yang diriwayatkan Bukhari, Nabi SAW menjelaskan berkaitan dua mimpi iaitu: “Apabila salah seorang daripada kamu melihat mimpi yang dia sukai, mimpi itu berasal daripada Allah. Pujilah Allah dan ceritakan isi mimpi itu.

“Apabila dia melihat mimpi lain yang dibencinya, mimpi itu berasal daripada syaitan. Jangan menceritakannya kepada sesiapa pun kerana mimpi itu tidak mencelakannya.”

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Mei 2018 @ 2:46 PM