BEKAM antara rawatan diberikan pengamal rawatan alternatif.
BEKAM antara rawatan diberikan pengamal rawatan alternatif.
Nor ‘Asyikin Binti Mat Hayin


PESAKIT barah perlu berhati-hati dengan 'perangkap' pengamal perubatan alternatif yang menawarkan kaedah rawatan alternatif sebagai rawatan utama penyakit itu.

Ini kerana kaedah rawatan alternatif itu bukan sahaja tidak diiktiraf sebagai rawatan barah utama tetapi ada diantaranya boleh menyebabkan kesan sampingan yang serius.

Pakar Perunding Ginekologi Onkologi Datuk Dr Mohd Rushdan Md Noor berkata, kumpulan pengamal perubatan alternatif ini antaranya adalah doktor perubatan dan bukan doktor perubatan, tetapi mempunyai latar belakang pendidikan dalam bidang sains tulen yang lain.

Menurut Dr Mohd Rushdan, lebih ramai lagi dalam kalangan mereka tidak mempunyai latar belakang pengetahuan dan kelulusan dalam bidang perubatan serta sains.

"Saya menggelarkan kumpulan ini sebagai 'Dr Quack Kanser' iaitu individu tidak berkelayakan atau diiktiraf untuk merawat penyakit barah, tetapi melakukannya dengan menggunakan kaedah rawatan yang berbeza daripada rawatan konvensional atau standard.

"Kaedah rawatan digunakan bukan sahaja tidak diiktiraf kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), tetapi juga semua pertubuhan dan institusi barah antarabangsa yang berwibawa.

"Mereka menjalankan aktiviti rawatan alternatif barah di pusat rawatan dan klinik. Saya mendedahkan perkara ini memandangkan aktiviti golongan terbabit semakin berleluasa hingga mengakibatkan banyak kemudaratan kepada pesakit barah," katanya.

Dr Mohd Rushdan berkata, di samping kaedah rawatan meragukan, terdapat ubat-ubatan yang digunakan tidak diketahui kandungannya selain penggunaan bahan terlarang contohnya marijuana (hem) dan petua tidak berasas.

"Kos rawatan diberikan bukanlah murah. Jadi pesakit yang menerima rawatan bukan sahaja berdepan dengan ancaman kesihatan, tetapi juga kerugian wang.

"Mereka ini berpenampilan seperti doktor perubatan dengan memakai kot putih bersama stetoskop di leher, petah menyebut istilah perubatan, boleh memasang branula dan menyuntik jarum serta ada yang berkemahiran melakukan pembedahan.

"Ia menyebabkan pesakit barah mudah terpedaya dengan mereka sedangkan amalan mereka jauh menyimpang daripada etika perubatan," katanya.

Dr Mohd Rushdan berkata, setakat ini kaedah rawatan kanser yang diiktiraf pihak berkuasa kesihatan di dalam dan luar negara adalah pembedahan, kemoterapi, radioterapi, terapi hormon, terapi sasaran (targeted therapy) dan terapi imun (immunotherapy) atau gabungan antaranya.

MINYAK pati dan herba antara produk rawatan alternatif.
MINYAK pati dan herba antara produk rawatan alternatif.

"Rawatan ini hendaklah diberikan dan dipantau oleh pakar barah atau onkologi yang bertauliah.

"Semua kaedah rawatan ini sudah menjalani kajian klinikal menguji keberkesanan dan keselamatannya," katanya.

Menurut Dr Mohd Rushdan, pesakit barah tidak disaran memilih rawatan alternatif ini sebagai rawatan utama penyakit berkenaan.

Kata Dr Mohd Rushdan, ini kerana barah adalah penyakit yang boleh merebak jika tidak dirawat dengan betul.

"Jadi pilihan terbaik adalah rawatan konvensional atau standard.

"Jika menggunakan kaedah yang tidak terbukti berkesan dan selamat, barah boleh bertukar daripada peringkat awal kepada peringkat lewat.

"Apabila barah bertukar menjadi peringkat lewat, ia tidak boleh dikembalikan semula ke peringkat awal," katanya.

Jelasnya, dalam keadaan ini, rawatan menjadi lebih sukar dan peluang untuk sembuh semakin tipis dan kadar kematian lebih tinggi.

"Banyak kajian dilakukan mendapati pesakit barah yang dirawat menggunakan kaedah rawatan alternatif mempunyai peluang hidup dan sembuh lebih rendah.

"Hasil kajian yang diterbitkan dalam jurnal 'National Cancer Institute' (NCI) mendapati pesakit yang dirawat dengan rawatan alternatif sebagai rawatan utama, mempunyai kadar kematian 250 peratus lebih tinggi daripada rawatan konvensional.

"Malah ada yang mencapai kadar kematian lebih 400 peratus lebih tinggi," katanya.

Kata Dr Mohd Rushdan, pakar onkologi tidak menolak terus rawatan alternatif, tetapi menetapkan syarat yang pesakit hendaklah terlebih dahulu dirawat sepenuhnya dengan rawatan konvensional atau standard.

"Bagi pesakit tertentu, sampai satu tahap, pakar onkologi terpaksa mengambil keputusan tidak meneruskan rawatan apabila mendapati mudaratnya lebih besar daripada manfaat dan barah tidak dapat dipulihkan.

"Dalam keadaan ini, barulah pesakit dibenarkan mencuba kaedah lain. Namun, perlu terlebih dulu mendapatkan nasihat pakar onkologi ketika memilih kaedah rawatan itu untuk mengetahui ia selamat dan sesuai diamalkan.

"Syarat kedua, ada beberapa jenis rawatan tradisional yang terpilih digunakan sebagai kaedah sampingan atau komplimentari bersama rawatan utama.

"Ini dikenali sebagai rawatan integratif tapi hanya untuk mengurangkan gejala dan tekanan perasaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Julai 2021 @ 7:00 AM