GARAM mengandungi flourida asli yang membantu menjaga kesihatan gigi dan gusi. - FOTO Google
GARAM mengandungi flourida asli yang membantu menjaga kesihatan gigi dan gusi. - FOTO Google
Nurul Husna Mahmud


PERCAYA atau tidak hanya kerana garam, manusia sanggup berperang. Ini dibuktikan menerusi kisah sejarah China yang mana ada satu tasik yang bernama Yuncheng di daerah Shangxi menjadi rebutan beberapa wilayah berdekatan.

Peristiwa itu juga memberi gambaran bahawa garam antara ramuan penting kepada manusia. Bukan sahaja sebagai penambah rasa makanan, malah garam mempunyai peranan lain kerana kandungan mineral di dalamnya seperti potasium, magnesium dan kalsium mempunyai impak penting bagi kesihatan manusia.

Fakta itu dipersetujui Pakar Kulit dan juga Pengarah Kosmetik dan Kajian Klinikal Dermatologi Hospital Mount Sinai New York, Amerika Syarikat, Joshua Zeichner, apabila beliau mengatakan mineral yang ada dalam garam boleh mengurangkan radang, mencerah dan menganjalkan kulit.

Kata beliau, contoh terdekat ialah peranan garam laut yang banyak digunakan dalam perawatan kulit kerana dipercayai memiliki kebaikan sebagai agen pengelupasan yang baik selain sifatnya anti bakteria.

Dalam rutin penjagaan kecantikan, terdapat amalan digalakkan pakar dermatologi yang membabitkan penggunaan garam antaranya:

1. Pupur muka

Antara kebaikan garam dan madu ialah mempunyai elemen anti radang. Tidak hairanlah kedua-dua bahan ini sering digunakan bagi merawat masalah bintik-bintik merah dan radang pada kulit.

Garam seperti juga madu mampu memberikan kesegaran dan menenangkan permukaan kulit. Paling penting garam boleh mengekalkan kelembapan yang sangat diperlukan bagi kulit sihat.

Kaedahnya ialah campurkan dua sudu besar garam laut bersama empat sudu besar madu. Sapukan pada permukaan muka dengan ketebalan ringan kecuali pada bahagian mata. Biarkan 15 minit dan bilas dengan air suam. Kemudian lakukan urutan ringan dalam pergerakan membulat pada air sejuk pula.

LULUR badan menggunakan garam boleh memberi kesegaran dan melembutkan kulit. - FOTO Google
LULUR badan menggunakan garam boleh memberi kesegaran dan melembutkan kulit. - FOTO Google

KELEMUMUR antara masalah sering dihadapi berkait dengan kulit kepala. - FOTO Google
KELEMUMUR antara masalah sering dihadapi berkait dengan kulit kepala. - FOTO Google

2. Lulur badan

Garam adalah ramuan pengelupasan kulit secara semula jadi yang dapat menyingkirkan kulit mati. Ia juga mengandungi mineral boleh melembutkan kulit dan mengekalkan kelembapan.

Kaedahnya, campurkan suku cawan garam dalam setengah cawan minyak zaitun atau minyak kelapa. Gaul sehingga menghasilkan tekstur seperti pes. Boleh juga tambah minyak aromaterapi untuk haruman.

Gunakan campuran itu dengan meletakkan pada kain lembut atau tapak tangan dan diurut dalam gerakan membulat pada tubuh. Mulakan dengan gosokan lembut sebelum beralih kepada gerakan lebih keras untuk melihat tindak balas kulit.

3. Mandian terapi

Garam boleh menyerap kotoran, daki dan toksin di bahagian pori-pori kulit. Pada masa yang sama, ia agen baik sebagai pelindung terutama aspek kelembapan kulit.

Kaedahnya ialah campurkan 1/3 cawan garam epsom (magnesium sulfat) ke dalam tab atau besen mandian yang sudah diisi dengan air suam. Kacau sehingga garam melarut dan rendamkan diri untuk tempoh 15 hingga 30 minit.

4. Rawatan kelemumur

Garam boleh menyingkirkan kulit mati sementara menggalakkan pengaliran darah di kulit kepala. Ramuan itu juga menyerap minyak dan lembapan berlebihan sekali gus mencegah pembiakan kulat dan membantutkan pertumbuhan kelemumur.

Kaedahnya ialah urut lembut beberapa bahagian kepala dan kemudian taburkan satu hingga dua sudu kecil garam ke kepala. Menggunakan jari yang sudah dibasah terlebih dahulu urut kepala 10 hingga ke 15 minit. Cuci kepala dengan syampu dan pelembap.

5. Pemutih gigi

Garam dan serbuk penaik antara bahan mampu menyingkirkan kotoran serta memutihkan gigi. Garam juga mengandungi sumber fluorida yang mana penting bagi penjagaan kesihatan gigi dan gusi.

Kaedahnya ialah campurkan satu sudu kecil garam bersama dua sudu kecil serbuk penaik. Kemudian rendam berus gigi ke dalam campuran dan mula memberus seperti biasa. Jika rasanya terlalu kuat, oles ubat gigi tipis sahaja pada berus. Kemudian barulah dicelup ke dalam serbuk sebelum mula menggosok.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 Julai 2021 @ 6:38 AM