Nor 'Asyikin Mat Hayin


WALAUPUN baru tujuh tahun berkhidmat di Angkatan Tentera Malaysia (ATM), namun wanita ini antara insan bertuah kerana terpilih menyertai misi kemanusiaan bencana besar di Turkiye pada 9 Februari hingga 28 Mac tahun lalu.

Dia berada di lokasi bencana itu selama enam minggu untuk merawat mangsa cedera gempa bumi dalam OP STARLIGHT II di Celikhan, Adiyaman, Turkiye.

Untuk rekod, gempa bumi bermagnitud 7.8 di selatan Turkiye dan Syria meragut nyawa lebih 100 mangsa yang tertimbus di bawah runtuhan bangunan.

Mejar Dr Nur Hidayah Amran,32, berkata, dia tidak menyangka diberikan peluang itu kerana lazimnya keutamaan kepada pegawai lebih berpengalaman.

Akuinya, situasi itu tidak menghalangnya untuk memberikan perkhidmatan perubatan terbaik kepada mangsa, di samping mengharumkan nama ATM dan Malaysia.

"Peringkat awal menjejakkan kaki ke lokasi bencana berhadapan sedikit kesukaran untuk menyesuaikan diri dengan keadaan di sana kerana beberapa perkara.

"Antaranya tiada penempatan yang baik, liputan internet tidak bagus dan paling menyukarkan ialah suhu mencecah -10 darjah Celsius.

"Saya dan pasukan tidak membuat persiapan kelengkapan pakaian sejuk kerana tidak dimaklumkan keadaan cuaca sesejuk itu.

MEMERIKSA mangsa gempa bumi kanak-kanak di Turkiye.
MEMERIKSA mangsa gempa bumi kanak-kanak di Turkiye.

"Ditambah pula mendapat arahan notis pendek untuk misi berkenaan dan persiapan dilakukan dalam tempoh 24 jam sahaja," katanya.

Dia yang berasal dari Melaka bersyukur kerana selepas beberapa hari dapat menyesuaikan diri dengan keadaan dan cuaca lebih baik. Itu antara pengalaman manis sepanjang berkhidmat dalam ATM.

Katanya, satu lagi kenangan menarik tidak boleh dilupakan ialah ketika bertugas bersama pasukan elit gerak khas ATM di Pusat Latihan Peperangan Khusus Tentera Darat (Pulpak) selama tiga tahun.

"Saya mengendalikan satu kes seorang penuntut yang menjalani kursus asas payung terjun.

"Tetapi, penuntut kursus itu tidak bernasib baik kerana payung terjun dipakainya tidak terbuka sempurna, lalu tersangkut atas tempat parkir kapal terbang.

"Insiden ini menyebabkan penuntut terbabit cedera teruk di kepala dan tidak sedarkan diri," katanya.

Dr Nur Hidayah berkata, dia berdebar kerana kali pertama berhadapan kes kecederaan serius membabitkan bahagian kepala dan sebelum ini hanya mendengar pengalaman daripada rakan setugas lain.

"Sebelum ini saya banyak mengendalikan kes kepatahan tulang dan luka kecil sahaja. Insiden itu mendebarkan, tetapi perlu bijak mengawal perasaan, situasi dan merawat pesakit sebaiknya.

 BERSAMA pasukan sebelum berlepas ke misi bantuan kemanusiaan OP STARLIGHT II di Celikhan, Adiyaman, Turkiye 2023.
BERSAMA pasukan sebelum berlepas ke misi bantuan kemanusiaan OP STARLIGHT II di Celikhan, Adiyaman, Turkiye 2023.

"Alhamdulillah penuntut itu dapat diselamatkan dan dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut," katanya.

Ditanya cabaran utama sebagai pegawai tentera wanita Dr Nur Hidayah berkata, ia adalah pembahagian masa kepada keluarga, anak-anak, rumah tangga dan kerjaya.

Katanya lagi, dia bersyukur dianugerahkan suami, Kapten Syeikh Muhammad Hidayahtullah Roslan, 32, yang sangat memahami dan sentiasa memberikan sokongan. Ini memudahkannya memikul tanggungjawab besar itu dengan sebaiknya.

"Suami juga memberikan sokongan atas kemajuan kerjaya dan kenaikan pangkat. Saya gembira kerana suami dapat hadir serta turut bersama memakaikan pangkat pegawai perubatan daripada kapten ke mejar, baru-baru ini.

"Perkara seperti ini jarang berlaku dan ditambah pula suami berada di luar kawasan iaitu Sungai Petani, Kedah. Tetapi, dengan izin Allah, suami dapat menghadirkan diri dalam majlis berkenaan," katanya.

KETUA Pengarah Perkhidmatan Kesihatan ATM, Leftenan Jeneral Datuk Dr Zulkeffeli Mat Jusoh (kiri) bersama Pegawai Staf 3 Markas ATM - Cawangan Tenaga Kerja, Kapten Syeikh Muhammad Hidayatullah Roslan yang juga suami Dr Nur Hidayah (tengah) ketika Majlis Pemakaian Pangkat dari Kapten kepada Mejar di Kem Kementah, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
KETUA Pengarah Perkhidmatan Kesihatan ATM, Leftenan Jeneral Datuk Dr Zulkeffeli Mat Jusoh (kiri) bersama Pegawai Staf 3 Markas ATM - Cawangan Tenaga Kerja, Kapten Syeikh Muhammad Hidayatullah Roslan yang juga suami Dr Nur Hidayah (tengah) ketika Majlis Pemakaian Pangkat dari Kapten kepada Mejar di Kem Kementah, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Pemegang Ijazah Sarjana Muda Perubatan Ketenteraan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) itu berkata, tahun 2023 dan 2024 adalah tahun tuahnya dalam kerjaya kerana selain kenaikan pangkat, dia turut menerima Anugerah OP STARLIGHT II di Celikhan, Adiyaman, Turkiye.

"Pada masa hadapan, saya mengharapkan untuk mencapai kemajuan lebih tinggi dalam kerjaya dan diberi peluang melanjutkan pengajian kepakaran perubatan.

"Saya mahu merebut setiap peluang yang diberikan kerana ia adalah rezeki yang datang hanya sekali," katanya.

Dr Nur Hidayah berkata, tugas wanita dalam ATM kebanyakannya di belakang tabir, tetapi pemerkasaan kaum hawa perlu kerana memberikan keseimbangan dan kesinambungan kepada organisasi ATM secara tidak langsung.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Mac 2024 @ 7:00 AM