RUTIN harian memerlukan Nur Afifah memeriksa jana kuasa.
RUTIN harian memerlukan Nur Afifah memeriksa jana kuasa.
Muhamaad Razis Ismail


JAM sudah menunjukkan ke angka 8 malam, tapi Nur Afifah Abdul Wahid, 27, dilihat masih bekerja membaiki kerosakan sebuah jana kuasa di sebuah kilang yang menyebabkan bekalan elektrik terputus.

Biasanya, pada waktu begini anak sulung daripada empat beradik ini sudah berada di rumahnya di Baling, Kedah, namun atas sebab kecemasan, dia yang bekerja sebagai 'chargeman' A4 sejak setahun lalu perlu kerja lebih masa supaya kilang dapat beroperasi.

Dengan memakai sut perlindungan arka api, Nur Afifah fokus dan teliti melaksanakan tugasnya kerana sedikit kesilapan boleh mengundang bahaya kepada nyawanya.

Antara kejadian tidak diingini yang boleh berlaku termasuk berlaku letupan dan renjatan elektrik yang boleh membawa maut.

Biarpun menyedari risiko itu, minat mendalam terhadap bidang elektrik dan elektronik sejak kecil apabila sering mengikut bapa saudaranya membaiki peralatan elektrik mendorongnya untuk terbabit secara serius dalam bidang itu.

Menerusi kepakaran dan kemahiran yang dimiliki, Nur Afifah berjaya menyelesaikan masalah bekalan elektrik itu kurang daripada sejam dan kilang terbabit dapat beroperasi seperti biasa.

Nur Afifah berkata, sebagai 'chargeman' dia perlu sentiasa bersedia selama 24 jam kerana masalah bekalan elektrik boleh berlaku pada bila-bila masa.

"Tanpa bekalan elektrik, kilang akan berdepan masalah untuk beroperasi, sekali gus boleh menjejaskan pengeluaran. Kerosakan perlu dibaiki segera dan saya perlu sentiasa bersedia sepanjang masa.

"Saya seronok dan puas apabila dapat mencari punca kerosakan papan suis utama dan dapat baiki semula," katanya.

Menurutnya, sebagai 'chargeman' A4, dia bertanggungjawab untuk memastikan pemasangan jana kuasa di mana-mana fasiliti pelanggan dibuat mengikut peraturan ditetapkan.

"Saya juga perlu mengawal selia jana kuasa daripada segi teknikal dan fizikal termasuk peralatan kerja jana kuasa, membuat pengujian dan pentauliahan sebelum menghidupkan bekalan.

"Selain itu, saya perlu mengesahkan dan memberi kelulusan untuk pensuisan dan bekalan kuasa kepada pengguna, memantau dan menyemak semua laporan harian oleh GC (General chargeman) masing-masing dan bertanggungjawab menyerahkan semua senarai semak dan melaporkan kepada bahagian Jaminan Mutu (QA) dan Kawalan Kualiti (QC)," katanya.

Katanya, setiap hari dia mengambil bacaan paparan suis utama, memastikan jana kuasa dan peralatan dalam bilik papan suis utama dalam keadaan baik serta memastikan pekerja melakukan kerja dengan selamat.

"Dalam melaksanakan tugas ini, saya mengutamakan aspek keselamatan termasuk menitikberatkan pemakaian termasuk cermin mata, topi, sarung tangan dan jaket keselamatan.

"Pengalaman pernah terkena percikan api daripada kabel sehingga tercedera ketika latihan industri memberi pengajaran berguna kepada saya untuk sentiasa berhati-hati," katanya.

Nur Afifah bersyukur biarpun bekerja dalam bidang berisiko tinggi, ibu bapa sentiasa menyokong dengan pilihan kerjayanya.

"Sejak awal, ibu bapa sudah memberi lampu hijau untuk terbabit dalam bidang yang saya minati. Bagi mereka tidak salah mencuba melakukan perkara diminati," katanya.

Tambahnya, tidak ramai wanita terbabit dalam bidang itu kerana dikategorikan sebagai antara pekerjaan berisiko tinggi kerana membabitkan nyawa.

"Kepada wanita yang ingin terbabit dalam bidang ini perlu kuatkan semangat dan jangan pernah berputus asa untuk buktikan wanita juga mampu berjaya.

"Saya juga aktif menggunakan platform media sosial untuk berkongsi ilmu dan menarik minat lebih ramai wanita terbabit dalam bidang ini," katanya.

Ditanya berkenaan perancangannya, Nur Afifah berhasrat mengembangkan kerjaya ke peringkat lebih tinggi.

"Untuk itu, saya perlu menjalani kursus lanjutan untuk merealisasikan impian menjadi 'chargeman' B.

"Pada masa sama saya ingin cuba nasib bekerja di luar negara untuk menambah pengalaman dan memohon bekerja di syarikat minyak dan gas terkemuka seperti Petronas," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Mac 2024 @ 7:00 AM