SENTIASA fokus kepada latihan.
SENTIASA fokus kepada latihan.
Lizam Ridzuan


MENDAPAT inspirasi daripada bapanya yang juga bekas juruterbang jet pejuang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), pelatih juruterbang, Samantha Laura John, 24, sudah banyak terdedah dengan dunia penerbangan sejak kecil lagi.

Peluang mengikuti bapanya, Leftenan Kolonel John Sham Alagarsamy melawat pangkalan udara di pelbagai lokasi dan negara serta melihat aksi dan cara menerbangkan pesawat menimbulkan minat mendalam terhadap bidang itu.

"Bapa saya pernah bertugas di beberapa bandar dan negara selain saya sungguh teruja melihat pelbagai aksi aerobatik. Sejak itu terdetik di hati, saya mahu menjadi sebahagian daripada mereka," katanya dalam satu temu bual baru-baru ini.

Menyusuri kehidupannya dalam keluarga tentera menyebabkannya sering berkelana dan ke sekolah berbeza namun akhirnya belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Convent Bukit Nanas Kuala Lumpur sebelum melanjutkan pengajian Cambridge IGCSE di Chempaka Damansara.

Dia kemudian meneruskan pengajian Australian Matriculation (Ausmat) di Kolej Sunway pada 2018 sebelum menyertai Program Kadet Multi-pilot licence (MPL) AirAsia sehingga 2020 yang menjadi titik penting dalam kehidupannya pada hari ini.

Bermulanya kisah itu, selepas tamat di sana dia mula mengejar impian lain dengan bekerja sebagai Pengurus Operasi di Inside Scoop (jenama ais krim) selama lima tahun sementara merencana impiannya.

Pada 2022 Samantha mengambil keputusan berpindah ke Kota Kinabalu, Sabah bagi mengejar Lesen Juruterbang Komersial/Instrument Rating (CPL (IR) di Layang-Layang Flying Academy bagi mengukuhkan kemahiran dan minat dalam bidang penerbangannya.

"Dunia juruterbang sebati dengan jiwa dan apa yang dimahukan dalam diri membuatkan saya terdorong berusaha lebih keras mencapai cita-cita itu.

"Selain itu ketika membesar saya sering terdengar kenyataan juruterbang wanita perkara jarang ditemui hingga saya bangkitkan semangat untuk membawa perubahan dalam bidang ini," kata anak kelahiran Pulau Pinang itu.

Menurutnya lagi 'terbang' itu menggambarkan ekspresi segala tentang diri yang membolehkan ia mendapat nilai-nilai penting bagi membentuk sahsiah diri seperti disiplin, ketahanan, sifat ekstrovet, daya saing, ketabahan dan rasa rendah diri untuk saling menghormati.

Namun paling utama akuinya ialah, pemandangan dari kokpit yang sangat indah melihat alam semesta dari sudut berbeza membuatkannya sering terpanggil untuk kembali ke ruang itu.

Untuk menjadi seorang juruterbang bukan perkara mudah kerana banyak cabaran yang perlu dilalui selain faktor kos mendapatkan lesen yang sangat tinggi iaitu sekitar RM400,000.

"Pengalaman menerbangkan pesawat sangat menarik dan mencabar. Ia memerlukan dedikasi tinggi bagi mempelajari kemahiran baharu yang kompleks serta dalam jadual kerja padat.

"Namun saya beruntung kerana mendapat jurulatih yang berpengalaman dan infrastruktur lengkap boleh disesuaikan dengan kaedah pembelajaran mengikut setiap individu," katanya yang bakal menamatkan latihan hujung tahun ini.

Selain itu faktor cuaca juga sering mempengaruhi latihan penerbangannya dan perlu bersedia menghadapi pembatalan jadual atau penjadualan semula pelajaran yang mana mereka dilatih bagi disesuaikan dengan gaya pekerjaan sebenar kelak.

Cabaran lain seperti kesihatan fizikal, mental dan emosi selain berusaha mengambil masa rehat yang cukup untuk prestasi terbaik dalam latihan.

Adakalanya Samantha juga mengalami tekanan atau stres namun dia tidak mahu terlalu fokus kepada perkara itu lalu mencari jalan keluar dengan bermain badminton bersama rakan sekelas, berbual bersama rakan, jurulatih dan keluarga.

Katanya, untuk menjadi juruterbang, seseorang itu perlu memenuhi beberapa kriteria yang terbahagi kepada dua kategori iaitu akademik dan kesihatan.

Untuk akademik seseorang itu perlu meraih sekurang-kurang lima kredit untuk subjek termasuk bahasa Inggeris, matematik dan sains pada peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau yang setaraf dengannya.

Selain pendidikan dan latihan, calon juruterbang perlu memenuhi keperluan kesihatan tertentu. Ini termasuk memperoleh lesen perubatan Kelas 1 dan lulus ujian memastikan mereka tidak buta warna dan beberapa lagi syarat perlu dipenuhi.

Pada masa sama, Samantha akur dan menerima tempias disebabkan pandangan berbeza masyarakat berkenaan wanita yang menjadi juruterbang.

"Ada komen negatif dilempar di dalam media sosial merendahkan keupayaan dan kelebihan wanita dan saya sendiri turut menerimanya namun segala komen itu bukan melemahkan tapi membuatkan saya lebih bersemangat mencapai cita-cita ini.

"Namun saya bersyukur dikelilingi insan positif daripada juruterbang, kapten lelaki daripada syarikat penerbangan dan rakan sekerja yang melontarkan kata-kata semangat," katanya.

Untuk itu Samantha baru-baru ini berjaya melakukan penerbangan sulung secara solo menggunakan pesawat Cessna 172P Skyhwak II (Single enjin) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA).

Dalam tempoh beberapa bulan akan datang, dia akan melakukan pula dengan kapal terbang Piper Seneca PA-34 (Twin Engine).

Di sebalik jiwa penerbangan dan keberanian itu, Samantha sebenarnya meminati dunia nyanyian serta sudah bermula seawal usia lima tahun lagi iaitu sering berduet dengan bapanya.

Seiring dengan perjalanan masa, dia mengasah bakat itu dengan tampil membuat persembahan di sekolah, pertandingan tempatan dan memenangi beberapa kejuaraan ketika masih belajar di kolej lalu.

"Saya mula serius pada usia 14 tahun dan mula tampil secara profesional pada usia 15 tahun dengan merakamkan lagu 'cover' yang kini juga sebagai artis bebas untuk sebarang acara dan membuat persembahan pentas.

"Meskipun penerbangan sentiasa menjadi kerjaya impian, namun nyanyian sisi minat lain dalam diri yang bukan sahaja dapat melepaskan segala tekanan, malah dapat menghiburkan ramai orang," katanya.

Samantha juga berkata, buat mereka yang meminati bidang penerbangan, harus yakin pada diri sendiri dan percaya pada impian.

Katanya, setiap impian bermula dengan satu langkah kecil dan jadikan ia sebagai aspirasi dalam apa juga bidang dengan objektif jelas.

"Hidup sebagai seorang juruterbang mungkin mempunyai pasang surutnya, tetapi kebolehan untuk bertahan dan menyesuaikan diri adalah penting bagi menempuhi laluan sukar dan akhirnya kita lebih kuat," katanya.

Mengenai perancangan masa hadapan, dia mengambil pendekatan langkah demi langkah dan berharap terus berada dalam bidang Penerbangan Am sebagai jurulatih atau juruterbang profesional. Selain sentiasa terbuka menerima tawaran daripada mana-mana syarikat penerbangan sebagai perkembangan kariernya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Mac 2024 @ 7:00 AM