CHAN bersama kereta McLaren yang dilukisnya.
CHAN bersama kereta McLaren yang dilukisnya.
Nurul Husna Mahmud


PENGALAMAN berkolaborasi dengan McLaren pada 2022 antara momen paling indah buat Chan Karwai, 27, sepanjang bergelar pelukis.

"Kerjasama saya bersama McLaren antara paling menarik kerana saya perlu mengecat kereta. Melukis terus kepada kereta pada saya antara keputusan yang sangat berani pernah dilakukan.

"Disebabkan saya banyak menerima tawaran melukis gambar pelumba dan kereta sejak bergelar pelukis sepenuh masa kira-kira 16 tahun lalu, saya berkolaborasi dengan Formula 1 pada tahun sama bersama beberapa jenama 'supercar'. Situasi itu membuatkan saya sangat teruja.

"Saya suka mencuba sesuatu yang baharu dan ini sangat membantu portfolio sebagai artis seni tempatan untuk mengembangkan kerjaya seni atau pergi lebih jauh," katanya.

Malah, pesona dimiliki wanita ini bukan sekadar terletak pada bakat melukis semata-mata.

Chan bijak menggunakan platform seninya dalam usaha meningkatkan kesedaran mengenai memperkasakan wanita.

Akui Chan, dia tidak pernah mengikuti sebarang pendidikan formal, tetapi bernasib baik kerana karyanya diterima masyarakat.

"Industri seni di Malaysia boleh disifatkan sangat mencabar terutama kepada artis 'self taught' (belajar sendiri) kerana karya atau seni diterima peminat lukisan tempatan selalunya karya seni abstrak atau pelukis yang terlahir daripada 'produk' mengikuti pendidikan formal.

"Apatah lagi untuk artis wanita, ia satu industri yang sangat mencabar. Peluang menjana pendapatan stabil dengan menjual lukisan atau bergelar pelukis sepenuh masa membabitkan artis belajar sendiri jarang berlaku.

"Rasanya 'tuah' mungkin perkataan sesuai bagi menggambarkan peluang saya peroleh apabila memulakan karier seawal usia 16 tahun sehingga hari ini dengan karya diterima baik oleh masyarakat.

"Saya bukan hanya melukis atas kanvas, tapi karya atau hasil seni saya juga boleh dilihat pada kereta dan kolaborasi terbaharu ialah lukisan saya pada perabot bersama Cuura iaitu platform jualan perabot dalam talian," katanya.

KARYA ketika Formula 1 pada 2022.
KARYA ketika Formula 1 pada 2022.

Kata gadis kelahiran Ipoh, Perak itu, karyanya kini bukan hanya di Malaysia, malah turut menerima reaksi positif dari negara jiran.

"Perjalanan karier saya sebagai pelukis lukisan minyak sepenuh masa boleh dikatakan satu anugerah apabila turut menerima perhatian negara jiran.

"Karya saya The Odd One Out pernah dilelong Galeri Nasional Singapura secara tidak langsung mengiktiraf hasil kerja saya sebagai pelukis," katanya.

Inspirasi seninya pula adalah sesuatu yang dekat dengan wanita itu termasuk kehidupannya atau kisah yang berlaku di sekelilingnya.

"Subjek atau inspirasi saya pelbagai dan mengikut pengamatan apa yang boleh membantu memberi aura positif.

"Karya saya contohnya 'Man Wonder Woman' mencabar pertimbangan masyarakat terhadap wanita supaya tidak menilai luaran semata-mata," katanya.

Lukisan ditampilkan ialah karakter menyerupai sut 'Wonder Woman' yang wajah ditutupi plastik merah antara karya unik dihasilkan pelukis itu dalam siri Superheroes: Redefined.

Pelukis itu mengakui kehidupan kanak-kanak mencabar dilaluinya banyak mengajarnya lebih matang menjalani kehidupan.

"Saya belajar melukis sendiri dengan melihat Youtube. Saya tidak berpeluang mengikuti kelas seni berbayar kerana keluarga saya tidak mampu.

"Saya dibesarkan ibu, Wong Chai Kiew sendiri apabila bapa saya meninggal pada usia saya 14 tahun.

"Ibu berstatus ibu tunggal dan memiliki tiga anak tentu sahaja tidak mampu menghantar kelas melukis berbayar," katanya.

Menyentuh mengenai suasana Tahun Baharu Cina, kata Chan, biasanya diraikan secara sederhana.

"Saya lahir dalam keluarga yang kecil dan biasanya setiap kali Tahun Baharu Cina, saya akan pulang dan meraikan bersama keluarga di Ipoh.

"Saya dan keluarga menziarahi sepupu yang berada di bandar yang sama.

"Mendiang bapa saya berasal dari Hong Kong dan untuk melawat sebelah keluarganya terlalu jauh. Sebenarnya sejak bapa saya meninggal dunia 13 tahun lalu, kami jarang sekali pulang ke Hong Kong," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Februari 2024 @ 7:01 AM