KHALID berkongsi minat terhadap bangunan warisan dengan pengunjung Artists’ Corner.
KHALID berkongsi minat terhadap bangunan warisan dengan pengunjung Artists’ Corner.
BAZAR seni itu membantu pelukis tempatan jana pendapatan dalam tempoh pandemik.
BAZAR seni itu membantu pelukis tempatan jana pendapatan dalam tempoh pandemik.
Nurul Husna Mahmud


PELUKIS bangunan warisan, Khalid Mohd Sapari, 49, mewujudkan Artists' Corner di Amcorp Mall, Petaling Jaya, Selangor dalam usaha membantu kelangsungan pelukis tempatan yang turut hilang pendapatan akibat penularan pandemik Covid-19.

Khalid menyedari pelukis tempatan tidak mempunyai ruang untuk mempamerkan atau memasarkan bakat mereka apabila beberapa acara membabitkan pameran lukisan tidak dapat dijalankan akibat pandemik berkenaan.

"Saya sudah melakukan pameran atau jualan lukisan sendiri di Amcorp Mall sejak 10 tahun lalu. Sementara untuk komuniti pelukis ada sudut atau bazar khas seperti hari ini ideanya sudah lama, cuma peluangnya datang ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang mana pusat beli-belah ini menawarkan ruang khas untuk disewa.

"Jadi, saya sahut tawaran itu sebagai satu cabaran buat saya apabila sanggup mengambil risiko untuk teruskan jualan lukisan selain menawarkan tempat kepada rakan lain dalam bidang sama untuk turun padang meskipun menyedari ketika ini cukup berisiko untuk kembang atau jalankan perniagaan," katanya.

Sejak ia dibuka hujung minggu awal November lalu, kata Khalid, sambutan dalam kalangan peminat seni dan pelanggan baharu sungguh menggalakkan meskipun tidak ramai pengunjung.

"Dari segi jualan lukisan pada saya, sejak Artists' Corner ini dibuka, ada pembelian dan pengunjung iaitu orang tempatan membeli karya artis kita.

"Objektif sudah tercapai apabila ada pengunjung datang, lihat dan membeli karya artis di sini. Bagi peminat seni, ini salah satu bazar atau pameran lukisan yang membenarkan aktiviti tawar-menawar berlangsung antara pembeli dengan pelukis," katanya.

Pengunjung yang hadir pula kata Khalid, pelbagai kumpulan pembeli yang ditemui sejak bazar berkenaan dibuka.

"Amcorp Mall ini dikenali sebagai lokasi tumpuan pengumpul pelbagai koleksi termasuk produk seni. Pemerhatian saya bukan sahaja pengumpul lukisan dan barangan seni semata-mata, sebaliknya ada orang perseorangan dan pelanggan korporat yang berkunjung ke Artists' Corner," katanya.

Tambah Khalid, ketika ini ruang jualan hanya mampu menempatkan 10 artis sahaja berikutan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19.

"Saya terpaksa memilih artis tertentu dan berbeza genre sebagai variasi kepada pengunjung Artists' Corner. Mungkin selepas pandemik saya akan buka lebih banyak meja jualan untuk pelukis tempatan," katanya.

Sementara itu, bagi pelukis cat minyak, Nor Aishah Alli, 38, berkata, platform yang ditubuhkan Khalid itu membantu pelukis tempatan yang terkesan mempunyai ruang memasarkan lukisan sendiri.

"Dalam tempoh ini bukan sahaja mereka dalam industri perhotelan dan pelancongan terjejas, kami pelukis juga antara terkesan kerana tiada acara atau pameran dijalankan secara terbuka.

SEORANG artis seni bersama karyanya.
SEORANG artis seni bersama karyanya.

PELBAGAI genre lukisan dan artis di Artists’ Corner Amcorp Mall, Petaling Jaya.
PELBAGAI genre lukisan dan artis di Artists’ Corner Amcorp Mall, Petaling Jaya.

"Saya sendiri terpaksa menjalankan kelas menerusi atas talian dan menjual lukisan dalam media sosial untuk kelangsungan hidup," katanya.

Kata Aishah, lukisan adalah produk memerlukan penghayatan secara fizikal kerana ada yang bernilai tinggi sehingga mencecah empat angka.

"Menarik bagi pengunjung bazar ini kerana ada penawaran harga selain mereka boleh berunding dengan pelukis secara langsung. Harga lukisan yang ada boleh berkurang sehingga 30 peratus berbanding sebelum ini di acara ataupun galeri pameran," katanya.

Tambah Aishah, dia berharap lebih ramai pengumpul dan peminat lukisan datang membeli selain menyokong pelukis tempatan.

"Artists' Corner menampilkan artis tempatan yang autentik selain karya berkualiti tinggi pada harga munasabah. Kami berada di sini setiap hujung minggu bermula jam 10 pagi hingga jam 6 petang," katanya.

Selain melihat karya pelukis, pengunjung juga berkesempatan menyaksikan pelukis berkarya di depan mata.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Disember 2020 @ 6:49 AM