WAN Shariza gemar berdakwah menggunakan platform media sosial.
WAN Shariza gemar berdakwah menggunakan platform media sosial.
Nurul Husna Mahmud


ANTARA kata-kata hikmat penulis tersohor dari Perancis dan penerima Nobel Sastera pada 1957, Albert Camus ialah 'pengertian sebalik kebebasan'.

Beliau yang mengangkat falsafah keberanian berdepan realiti memahami 'kebebasan itu tidak lain daripada suatu perubahan ke arah yang lebih baik'.

Falsafah tokoh pemikir tersohor dari barat itu seiring penghayatan Wan Shariza Wan Halim mengenai penghijrahan dilakukannya sejak 10 tahun lalu.

Kata wanita berusia 35 tahun itu, daripada wanita moden dan menikmati hidup seperti bebas (berdasarkan pergaulan sosial), dia drastik berhijrah kepada kehidupan lebih mendekatkan diri kepada Pencipta.

"Saya digerakkan untuk mendalami agama semula pada usia sekitar 26 tahun dan saya melihat ia adalah taufiq dan inayah daripada Allah SWT.

"Malah, perubahan saya juga pada pengamatan orang terdekat drastik kerana saya mengubah cara pemakaian termasuk berniqab penuh.

"Bukan mudah kerana sebelum ini saya suka berfesyen dan tidak takut untuk 'dress up' selain gemar aktiviti konvoi dan sebagainya," katanya.

Menurut ibu dua cahaya mata itu, dia bersyukur apabila mendapat sokongan penuh suami untuk berhijrah.

"Suami apabila mendapat tahu saya mahu mendalami agama dan mahu mengenakan niqab, dia paling teruja serta menyokong kuat.

"Awalnya saya berniqab bagi memudahkan urusan ketika mengikuti pengajian agama terutama apabila berdepan tenaga pengajar lelaki.

"Saya mahu 'melepaskan' apabila sudah selesai, tetapi suami menyuruh saya terus istiqamah dan memujuk terus kekalkan penampilan. Alhamdulillah sudah tujuh tahun saya kekal berniqab," katanya.

Tambah Wan Shariza, dorongan jiwa mendalami agama itu membuatnya berkelana termasuk mengikuti pengajian pondok bagi mempelajari bahasa Arab dan al-Quran.

"Apabila mengikuti pengajian agama termasuk mendalami kitab dalam mengenal Allah SWT, fokus saya mengenai kehidupan lebih jelas.

"Saya mula berminat menggerakkan kerja dakwah dalam membantu lebih ramai wanita memahami ilmu ketuhanan.

WAN Shariza percaya memilih kriteria pekerja yang mengutamakan suruhan agama memudahkan urusan pekerjaan.
WAN Shariza percaya memilih kriteria pekerja yang mengutamakan suruhan agama memudahkan urusan pekerjaan.

"Pada masa sama, saya turut menggunakan platform digital seperti TikTok untuk berkongsi ilmu selain menjalankan kerja dakwah," katanya.

Tambah wanita kelahiran Alor Setar, Kedah itu, kemudahan teknologi dan platform menyediakan ruang lebih baik untuk pendakwah wanita melakukan kerja dakwah.

"Di sebalik media sosial yang kerap dikaitkan membawa pengaruh negatif dan hiburan semata-mata, platform sama jika digunakan untuk kebaikan, contohnya berdakwah dengan lebih bermakna.

"Pendakwah wanita selalunya dilema kerana batas aurat dan mahu menjaga kehormatan diri. Itu membuatkan cabaran kepada pendakwah seperti saya.

"Media sosial memberi ruang atau kebebasan dalam erti memberi manfaat kepada pendengar atau orang yang mengikuti perkongsian ilmu saya.

"Saya berasa interaksi dengan orang ramai yang mengikuti kuliah ringkas dikongsikan menerusi TikTok juga satu permulaan atau pendedahan baik kepada saya," katanya.

Dalam isu terutama menarik generasi muda mengikuti kandungan agama, kata Wan Shariza, pendekatan interaktif yang mana ada 'engagement' antara dia dan pengikut.

"Kandungan saya selalunya berkait dengan topik tauhid yang mana pengenalan kepada mengenali Allah SWT.

"Saya tidak menyentuh aspek sensitif seperti isu aurat atau sebagainya kerana mahu mereka mendalami asas supaya dapat memupuk untuk lebih dekat dengan agama.

"Pendakwah wanita juga perlu lebih berinisiatif dan perlu kreatif menyampaikan dakwah supaya dapat memberi impak kepada pengikut.

"Saya buat kuiz disertakan dengan ganjaran tertentu bagi memberi keseronokan kerana lumrah manusia sukakan hadiah," katanya.

WAN Shariza mendapat sokongan suami untuk berniqab penuh.
WAN Shariza mendapat sokongan suami untuk berniqab penuh.

Menyentuh ujian besar dalam menggerakkan kerja dakwah, kata Wan Shariza, hasratnya cukup besar iaitu mahu turun ke lapangan bagi menyebarkan ajaran agama.

"Kerja dakwah terutama turun ke lapangan memerlukan kekuatan mental dan rohani. Saya rasa kekuatan dalaman masih belum cukup, maklumlah wanita semula jadinya lebih beremosi.

"Selain itu, 'kapital' atau dana membolehkan kerja dakwah digerakkan lebih agresif belum cukup kuat.

"Saya tidak menggunakan pendekatan 'meminta-minta' sebaliknya mengusahakan sendiri perniagaan iaitu mengasaskan Winwan Health & Beauty bagi tujuan kelangsungan kerja dakwah," katanya.

Menariknya mengenai personaliti ini apabila mengangkat prinsip Islam dalam budaya kerjayanya.

"Ketika berniaga saya turut menyuntik 'roh' Islam itu dalam segenap budaya kerja saya.

"Contohnya pencarian pekerja, saya memilih pekerja berdasarkan aspek dia menjaga solat dan menjaga aurat.

"Pada saya jika mampu menjaga dua perkara ini dengan baik, Insya-Allah urusan serta matlamat kami seiring ini memudahkan laluan mencapai kejayaan," tuturnya yang aktif dalam aplikasi TikTok @winwan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 September 2023 @ 7:00 AM