KELAS pengajian turut dilangsungkan dalam talian.
KELAS pengajian turut dilangsungkan dalam talian.
Nurul Husna Mahmud


MESKIPUN lebih 40 tahun memeluk Islam, kata Pengasas dan Penceramah Peoplzone Training and Consultancy, Khadijah Saraspathy Abdullah, masih tidak melupakan pengalaman ketika mula mengenal Islam.

Katanya yang dikenali sebagai Ustazah Khadijah, selaku anak perempuan kesayangan dan juga paling bongsu dalam keluarga, keputusan memeluk Islam awalnya suatu yang sukar diterima keluarga.

"Secara peribadi saya sudah lama mencari 'Tuhan' sejak usia 13 tahun. Saya hendak sangat mengenali 'Dia' dan tercari-cari sehinggakan membawa kepada penemuan satu buku bahasa Tamil dari India mengenai Islam pada usia 18 tahun.

"Selepas baca saya terus pergi ke madrasah India Muslim kemudian mengucap dua kalimah syahadah. Kemudian saya belajar sedikit demi sedikit dengan kakak angkat yang juga jiran dalam perkampungan nelayan di Tanjung Lumpur, Kuantan, Pahang mengenai solat dan sebagainya.

"Saya belajar dan amal sedikit demi sedikit dengan bantuan jiran sehinggalah saya disarankan supaya keluar dari rumah demi akidah saya ketika itu," katanya.

Perjalanannya dalam mendalami agama Islam, dia sempat mengikuti bimbingan agama di Pertubuhan Kebajikan Islam (Perkim) Kuala Lumpur kira-kira lebih setahun.

"Saya kemudian pulang ke rumah orang tua dan alhamdulillah mereka terima meskipun terluka.

"Dalam kalangan rakan mualaf, ada yang ingin menjodohkan saya dengan saudara baru kerana fikirkan saya ketika itu seorang diri dan memerlukan perlindungan. Ketika itu saya tidak mahu kerana ingin belajar dan menghafal al-Quran.

"Lalu saya buat keputusan ingin ke Klang, Selangor untuk mencari seorang kenalan yang tahu mengenai pusat pengajian berkenaan. Walaupun saya berdepan cabaran kerana tidak jumpa dengan kenalan terbabit, saya masih dapat sampai ke tahfiz menerusi satu pasangan yang saya sendiri tidak kenal ketika itu.

TIDAK lokek berkongsi ilmu dengan pengasuh atau guru taska.
TIDAK lokek berkongsi ilmu dengan pengasuh atau guru taska.

"Ketika mengikuti pengajian di pusat tahfiz itu juga saya berkahwin dengan suami, Profesor Madya Dr Osman Abdullah, 73, kerana sudah berjanji untuk menerima lamarannya. Lucunya ustaz di pusat tahfiz itu juga yang kahwinkan dan raikan kami dengan hasil kutipan duit rakan-rakan belajar di situ," katanya.

Menjelaskan ketika ini hubungan dengan keluarga kandung semakin rapat kerana saudara kandungnya semakin memahami dan menghormati pegangan agamanya.

Katanya, sehingga kini dia gemarkan kerja-kerja dakwah terutama membimbing kaum Muslimat dalam mengenali Islam.

"Sehingga hari ini saya akan mengajar apa sahaja mengenai al-Quran, hadis, akidah dan juga fikah berkait dengan wanita untuk panduan saudara baru.

"Saya ambil inisiatif buka kelas bimbingan untuk ajar mereka mengenai Islam supaya boleh menjadi Muslim terbaik dan membimbing orang lain pula," katanya yang juga Panel Dakwah dilantik Pusat Zakat Selangor di Hulu Langat sejak 2012 lagi.

Selain dikenali sebagai aktivis Muslimat dan giat dalam kerja-kerja membimbing mualaf, ustazah Khadijah juga cukup berpengaruh dalam perkembangan awal kanak-kanak apabila mempunyai pengalaman hampir 20 tahun dalam bidang berkenaan.

MEMPUNYAI hubungan baik dengan keluarga kandung.
MEMPUNYAI hubungan baik dengan keluarga kandung.

"Selain sibuk dengan kerja-kerja dakwah, saya juga mempunyai pengetahuan dan kepakaran dalam kerja pembangunan insan termasuklah pendidikan awal kanak-kanak.

"Saya ada taska sendiri dan juga mempunyai pusat latihan sendiri untuk melatih guru dan pengasuh dalam bidang terbabit," katanya.

"Seterusnya saya mula serius untuk mendalami dalam bidang kanak-kanak menerusi Diploma Pengajaran Montessori dari Montessori World Educational Institute California pada 2002.

"Ketika itu saya turut menjadi pengusaha dan uruskan taska sehinggalah mengambil keputusan untuk fokus kepada melatih tenaga pengasuh atau guru taska.

"Selain itu, saya aktif dalam seminar dan juga tampil sebagai penceramah bagi bidang berkaitan keibubapaan kerana pada saya penting kongsi ilmu bersama dalam mencorak kehidupan anak-anak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Mac 2021 @ 7:00 AM