DR Syazana menjadikan aktiviti bersukan sebagai gaya hidup.
DR Syazana menjadikan aktiviti bersukan sebagai gaya hidup.
Hafiz Ithnin


DALAM tempoh tidak sampai setahun menyertai dunia kecergasan, doktor wanita berusia 37 tahun ini memiliki tubuh yang cukup sasa, maskulin dan staminanya di dalam sukan yang disertai begitu luar biasa.

Aktiviti kecergasan, crossfit dan larian marathon ketika itu menjadi pilihannya sesuai dengan stamina yang dimiliki.

Di sebalik stamina yang cukup luar biasa yang disangkakan bakat dan latihan instensif itu, tanpa disedari ia adalah kesan daripada barah yang dihadapinya.

"Saya mula aktif di dalam dunia kecergasan pada 2018. Masih lagi baharu terbabit dalam dunia sukan tetapi tubuh saya cukup sasa. Pada 24 Disember 2019, saya disahkan menghidap barah yang jarang ditemui iaitu kanser adrenal.

"Akibat kanser itu hormon pesakit berubah secara drastik kerana ia meningkatkan hormon androgen dan testoren," kata Dr Syazana Alia Sabrudin yang kini sudah hampir tiga tahun bergelar pemandiri kanser.

Bercerita mengenai barah itu, katanya, seandainya seseorang tidak mengamalkan gaya hidup yang aktif individu itu akan mengalami emosi tidak stabil, tekanan darah tinggi dan kenaikan berat badan secara mendadak.

"Namun jika mengamalkan gaya hidup yang aktif individu itu akan kekurangan lemak badan dan kenaikan otot mendadak dan sentiasa cergas. Kesan ini berlaku kepada saya," katanya.

Katanya, kisah penyakitnya bermula pada 24 Januari 2019 apabila beliau mengalami sakit perut sehingga perlu ke unit kecemasan di hospital.

"Kemudian doktor mendapati saya mempunyai ketumbuhan dan selepas pembedahan mengeluarkan ketumbuhan seberat 800 gram itu, keputusan biopsi mengesahkan terdapatnya kanser.

"Walaupun saya seorang doktor perubatan, namun saya juga adalah manusia biasa yang apabila disahkan menghidapi kanser, perasaan ke

cewa pasti ada," katanya.

Kongsinya, pada masa sama beliau bermati-matian menafikan perkara itu meskipun sudah disahkan doktor pakar. Emosi Dr Syazana juga tidak stabil dan mengalami tekanan psikologi sehingga perlu mendapatkan kaunseling.

Jelasnya, seminggu sebelum pembedahan dilakukan beliau masih lagi aktif menyertai perlumbaan larian kerana merasakan dirinya adalah individu yang sihat.

"Selepas pembedahan bagi mengeluarkan ketumbuhan berkenaan saya perlu menjalani kimoterapi. Kesannya, badan saya menjadi letih dan mengalami cirit birit yang teruk.

"Bagi kimoterapi kanser adrenal, ia sedikit berbeza kerana saya hanya perlu mengambil ubat. Saya masih ingat pada tahun kedua rawatan, sehari 19 biji ubat perlu dimakan," katanya.

Kesan rawatan itu menjadikan emosinya begitu tertekan sehingga mengalami kemurungan. Tidak sekadar itu, beliau juga perlu mendapatkan bantuan kaunseling.

"Namun, saya bangkit daripada rasa kecewa dan menerimanya dengan cepat kerana mungkin aktiviti kecergasan yang banyak mendidik jiwa supaya lebih tahan lasak.

"Pada masa yang sama, saya juga bersyukur ahli keluarga terutama ibu saya yang juga pemandiri kanser payudara banyak memberi sokongan," katanya.

Katanya, kini selepas hampir tiga tahun bergelar pemandiri kanser, beliau dapat merasakan dirinya menjadi seperti orang lain yang aktif di dalam dunia sukan.

"Sebelum ini, disebabkan kanser itu badan saya bertenaga luar biasa. Apabila sudah tiada, saya rasa kepenatan seperti mana orang lain rasa apabila melakukan aktiviti kecergasan.

"Kini, saya semakin aktif di dalam dunia kecergasan dan sukan terutama ingin memberi fokus kepada multi sport iaitu trithlon," katanya.

Malah beliau juga ingin meningkatkan kesedaran orang ramai di luar sana mengenai kanser dan melihat sukan mampu menjadi salah satu sokongan emosi.

"Bagi saya, aktiviti kecergasan antara cara yang terbaik untuk bangkit selepas menghidapi kanser. Ia menjadikan kita sebagai seorang yang positif," katanya mengakhiri perbualan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 April 2023 @ 7:00 AM